KUALA LUMPUR: Seiring pengalaman dan kematangan, pengarah Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri gabungkan sudut rohani dan mistik agar filem seram terbarunya, Anak Perjanjian Syaitan 2, tidak berhadapan dengan rasuk atau gangguan.
Selepas menghasilkan filem, Jangan Pandang Belakang pada 2007, Ahmad Idham berkata banyak yang dipelajari dan mematangkan diri dalam pengarahan dan penghasilan naskhah seram.
Justeru, filem, Anak Perjanjian Syaitan 2 yang bakal menemui penonton pada 4 Januari itu diakui sebagai naskhah yang memaparkan sisi kematangannya.
Mengulas mengenainya, Ahmad Idham, 49 tahun, berkata penggambaran filem yang diilhamkan daripada pengalaman sebenar itu berjalan lancar.
“Saya membesar daripada filem, Jangan Pandang Belakang, dan banyak yang dipelajari.
“Dalam proses kematangan ini, saya kurangkan pelbagai benda yang tidak perlu, jadi untuk penggambaran filem ini tiada yang kena rasuk.
“Cuma ada kru demam, tapi itu pun sebab babak di kubur. Untuk babak ini, kami korek tanah kubur betul-betul dan keesokannya seluruh pasukan demam.
“Selain itu, kami berjaya kawal sebab saya sudah ada cara nak kawal. Bukanlah nak kata saya bomoh, tapi nak buat cerita seram ada risiko tinggi.
“Tapi, saya cuba kurangkan risiko. Misalnya, saya boleh tengok Eyka Farhana banyak kali nak putus asa, tapi alhamdulillah berjaya lakukan babak mencabar dengan baik,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM) Online.
Selepas kejayaan sekuel pertama yang dikeluarkan pada Oktober 2019, Anak Perjanjian Syaitan 2 terbitan Grand Brilliance Studio dikatakan naskhah yang mengujakan selepas empat tahun berehat daripada menghasilkan filem.
Selain Eyka, filem berkenaan dibintangi Alif Satar, Fasha Sandha, Azizah Mahzan, Azlan Komeng, Dian P. Ramlee, Shaharuddin Thamby, Nadzmi Adhwa, Chacha Maembong, Sera Melissa dan Elly Arifin.
Bercakap soal barisan pelakon, Ahmad Idham berpuas hati dengan pemilihan pelakon kerana mereka memaparkan komitmen dan disiplin yang bagus.
“Alhamdulillah, saya berjaya dapatkan Eyka. Saya juga paksa Alif sebab pernah berlakon bersamanya.
“Ketika itu, ada satu babak saya dapat tahu Alif pandai baca Al-Quran. Saya tertarik dengar Alif mengaji dengan sangat baik.
“Secara kebetulan, bila saya buka Instagram, hantaran pertama Alif berkongsi foto di Makkah.
“Jadi, dari situ saya tekad nak gunakan Alif sebagai Ustaz Taha. Saya cari Alif sampai dapat dan kerah dapatkan tarikh. Alhamdulillah, saya dapat bekerjasama dengan Alif,” katanya.
Bintang utama, Ekya tidak menafikan cabaran menjayakan naskhah seram, apatah lagi, beliau seorang penakut.
Katanya, disebabkan ketakutan itulah yang membuatkannya tidak pernah menjayakan naskhah seram.
Namun, Eyka atau nama sebenarnya, Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, berkata beliau cuba mencabar diri menjayakan watak di luar zon selesa.
“Saya penakut dan tidak banyak menjayakan cerita seram. Selama ini, saya hanya berlakon satu drama seram dan komedi. Kemudiannya, saya memainkan watak sampingan menerusi filem Jengka.
“Namun selepas sekian lama, saya rasa mahu karakter lain daripada lain. Tiba-tiba saya dapat tawaran daripada Ahmad Idham membawakan watak Azlinda dalam filem, Anak Perjanjian Syaitan 2.
“Bagi watak Azlinda, lama juga saya ambil masa nak beranikan diri.
“Mujurlah sepanjang penggambaran saya tidak nampak apa-apa yang menakutkan atau kejadian mistik.
“Cuma, ada masanya bila nak pulang ke rumah dan duduk seorang diri, ada juga perasaan tidak sedap hati. Tapi, itu mungkin hanya dalam fikiran saya sahaja,” katanya.
Berkongsi pengalaman menjayakan filem itu, Eyka tidak sedap badan selepas melakonkan babak yang memerlukannya mengorek kubur di tanah perkuburan.
Kongsi Eyka, beliau perlu menggali dan masuk ke dalam lubang kubur ketika hujan.
“Cerita ini memenatkan, tapi saya berpuas hati sebab tak pernah bawa. Babak masuk dalam kubur sebenarnya tiada dalam skrip, ia memang satu cabaran bagi saya.
“Babak menggali kubur dilakukan di kawasan tanah perkuburan. Seperti dikongsikan Ahmad Idham, semua orang demam selepas penggambaran babak ini.
“Saya juga rasa tidak sedap badan. Mungkin sebab keadaan hujan semasa penggambaran dengan bau tanah melekat kepada saya.
“Sebelum balik ke rumah, saya mandi dan buang semua kotoran. Saya dengar juga nasihat orang sekeliling untuk tidak terus pulang ke rumah, sebaliknya singgah dahulu di mana-mana.
“Cuma keesokan hari, bila bangun tidur, badan terus rasa tidak sihat,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg