Legenda muzik, Tan Sri Ahmad Nawab, 92 tahun, meninggal dunia di kediamannya di Taman Melewar, Batu Caves di sini, pada jam 3.15 petang, 24 November.
Berita sedih pemergian Allahyarham Ahmad Nawab atau nama penuhnya, Ahmad Khan Nawab Khan itu, disahkan cucunya, Khairul Hafis Khan.
Khairul Hafis berkata, datuknya tidak mempunyai penyakit kronik, namun, keadaannya lemah selepas dibenarkan pulang daripada rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), pada Oktober lalu.
“Bulan lalu, kami bawa datuk ke IJN sebab beliau sesak nafas. Selepas dibenarkan pulang, keadaan datuk okay, tetapi, agak lemah.
“Tadi, selepas datuk ke tandas, beliau lemah dan tidak sedar. Emak telefon saya suruh datang. Setibanya saya, datuk sudah tiada. Kalau hendak kata datuk sakit kronik... Tiada penyakit kronik,” katanya ketika dihubungi Berita Harian Malaysia (BHM)
Hafis berkata, pengebumian arwah datuk mungkin disempurnakan, pada 25 November.
“Pengebumian datuk insya-Allah esok pagi... Kemungkinan di Tanah perkuburan di Taman Samudera,” katanya.
Allahyarham Ahmad Nawab dianggap maestro muzik yang mencipta legasi dalam industri rakaman negara dengan lebih 2,000 lagu digubah sejak era 1950-an.
Pada 5 Jun 2023, Allahyarham Ahmad Nawab dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Memulakan kerjaya muzik sejak berusia 16 tahun, Allahyarham Ahmad Nawab dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ketujuh oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006, iaitu penganugerahan tertinggi negara kepada seniman terutama dalam bidang muzik.
Sepanjang kerjayanya, Allahyarham Ahmad Nawab, menghasilkan lebih 200 album yang didendangkan artis tempatan seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Khadijah Ibrahim. Allahyarham Ahmad Nawab juga mencipta lagu untuk bintang Indonesia seperti Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.
Allahyarham yang pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun, memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi lagu ciptaan pertamanya, Bintang Malam, pada 1980.
Atas kepakaran dan pencapaiannya, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengurniakan anugerah Doktor Falsafah dalam bidang penulisan kehormat pada 2000 buatnya.
Datuk Jamal Abdillah pula ralat tidak berpeluang bertemu arwah biarpun sudah berhajat menziarahi komposer yang bertanggungjawab memperkenalkan namanya di persada muzik tempatan sejak era 1970-an.
Jamal berkata, beliau mahu menziarahi Allahyarham Ahmad Nawab di kediamannya, pada 23 November, namun, dinasihatkan agar tidak berbuat demikian berikutan keadaan arwah yang lemah.
“Dua hari lalu, saya hubungi anaknya, Ismail. Saya nyatakan hasrat mahu menziarah arwah, iaitu semalam. Tetapi Ismail nasihat biarlah dahulu kerana ayahnya baru keluar dari Institut Jantung Negara (IJN).
“Kalau tidak, dapatlah jumpa arwah semalam. Hari ini saya berada di Johor. Tetapi, saya akan pergi ke majlis pengebumiannya esok,” jelas beliau.
Menurutnya, arwah lemah lembut dan kurang bercakap. Tetapi, lagu-lagunya mekar hingga hari ini.
“Kebanyakan peminat mahukan saya nyanyikan lagu-lagu arwah cipta.
“Arwah seperti abang buat saya, beliau dekat dengan saya. Kalau pergi rakaman pun, rasa selesa dan akrab dengannya.
“Arwah banyak mengajar daripada segi penyampaian... Beliau individu yang mahukan kesempurnaan. Beliau jaga semuanya dan saya banyak belajar daripada arwah,” kata Jamal lagi.
Penyanyi Ramlah Ram yang mendendangkan lagu Allahyarham, Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu, pula berkata:
“Orang cakap arwah garang, tetapi, bagi saya, beliau kelakar dalam tegas.
“Beliau individu penting dalam membuka pintu buat saya bertapak dalam dunia muzik sejak era 1980-an.
“Kami rapat seperti keluarga. Arwah jaga saya seperti anak sendiri. Arwah ibarat bapa kerana dia banyak menjaga saya. Apabila beliau sudah tiada, banyak ‘flashback’ (imbas kembali) yang datang... Terutama detik arwah jaga saya,” jelasnya.
Datuk Khadijah pula berkata, ratusan karya Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab pernah dinyanyikan, justeru, sumbangannya tidak boleh dilupakan.
“Kita kehilangan insan berbakat besar. Arwah seorang insan yang begitu lembut dan sangat prihatin kepada anak-anak didik. Arwah dikenali dengan keikhlasan mendidik dan membantu kami dalam kerjaya.
“Tidak terbalas jasa dan sumbangan arwah kepada kami. Beliau mentor dan bapa muzik di negara kita selepas Allahyarham Tan Sri P Ramlee... Itu pada pandangan saya” ujarnya.
Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Veteran (YKAT), Datuk DJ Dave, menyifatkan Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab sebagai komposer dan penulis lirik hebat serta tegas dalam kerjaya seninya.
DJ Dave berkata, setiap artis yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham Ahmad Nawab pasti bersetuju bahawa ketegasan arwah adalah satu daripada caranya mendidik dan berkongsi ilmu.
“Arwah salah seorang tokoh pencipta lagu yang hebat dan tidak dapat ditandingi. Saya termasuk semua artis yang pernah bekerjasama dengannya tahu dia banyak mengajar mengenai ilmu muzik.
“Saya sedih kerana dalam minggu ini kita kehilangan dua tokoh penting dalam industri muzik tempatan. Selain beliau, Datuk S. Atan.
“Ketika terima perkhabaran ini saya terkejut. Baru sahaja tahun lalu (2023), kami dapat anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Arwah terima gelaran Tan Sri manakala saya dapat Datuk,” katanya ditemui selepas menziarahi jenazah Allahyarham Ahmad Nawab di kediaman maestro muzik itu.
Menurutnya lagi, arwah tegas dalam kerjanya.
“Arwah hendak kita ikut rentak beliau. Kami rakan-rakan artis banyak belajar daripadanya.
“Apabila masuk studio, kebanyakan rakaman lagu dibuat di Singapura. Saya masih ingat, arwah banyak kali tegur saya apabila ada seni kata yang tidak dapat saya bawa dengan baik atau tidak berapa sesuai dengan ciptaannya.
“Arwah akan marah... Teguran itu beri semangat untuk kami bekerja kuat dan pertingkatkan mutu nyanyian. Kita sudah kehilangan permata yang amat berharga dalam bidang seni,” katanya lagi.
Seniwati legenda, Datuk Rosnani Jamil, 88 tahun, tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi mengenai teman rapatnya, Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab.
Rosnani atau mesra disapa Mak Nani berkata, beliau baru berbincang idea membuka galeri khas buat temannya itu.
Namun, apa yang menyentuh hati Rosnani, Allahyarham Ahmad Nawab tidak berkesempatan melihat projek itu direalisasikan.
“Mak dengan arwah terlalu rapat. Kebetulan, Mak baru balik dari Pulau Pinang, merasmikan galeri untuk Allahyarham Nordin Ahmad bersama Persatuan Karyawan Pulau Pinang.
“Orang ingatkan Allahyarham Tan Sri P Ramlee sahaja. Jadi, dalam pada itu, kita berbicara memikirkan mengenai arwah sebab beliau pun orang Pulau Pinang.
“Disebabkan itu, persatuan berpandangan, insya-Allah, sekarang kita sudah selesai buat untuk Allahyarham Nordin, kita akan buat untuk Ahmad Nawab pula.
“Kami sangat gembira bercakap mengenai arwah. Kemudian, tadi anak telefon beritahu Ahmad Nawab sudah tiada. Jadi, Mak tak tahu hendak cakap apa... Mak sedih tidak dapat berjumpa pun,” katanya ditemui ketika menziarahi jenazah Allahyarham Ahmad Nawab di kediaman arwah di Taman Melewar.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Perdana Menteri dalam hantaran menerusi akaun Facebook miliknya, menyifatkan Ahmad Nawab bukan sekadar komposer dan pemuzik unggul tetapi seseorang yang memiliki jiwa seni yang menyentuh hati jutaan rakyat melalui karya-karya puitis yang penuh keindahan dan makna.
“Negara kehilangan seorang tokoh dan permata seni yang begitu besar jasanya dalam memperkayakan landskap muzik tanah air, bukan sahaja menjadi warisan seni, tetapi juga menjadi pengikat perpaduan di dalam masyarakat kita.
“Jasa Allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai legenda yang tiada galang gantinya,” tulisnya.
Antara lagu ciptaan Allahyarham termasuk Seloka Hari Raya (dendangan Hail Amir dan Uji Rashid), Tiada Maaf Bagimu (Sharifah Aini), Sehari Ku Rasa Setahun (Rose Iskandar), Wajah Kesayangan Hamba (Hail Amir) dan Kenalan Pertama (Serena Hashim).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg