Komposer lagu kelahiran Singapura, S. Atan, yang terkenal kerana menulis lagu-lagu untuk bintang seperti Siti Nurhaliza, Allahyarham Sudirman Haji Arshad dan Jamal Abdillah, meninggal dunia pada 16 November.
Allahyarham, yang nama sebenarnya Hashim Said, berusia 75 tahun. Beliau meninggalkan isteri, Cik Norizan Yeob, 10 anak dan 10 cucu.
Apabila dihubungi Berita Minggu, menantu Allahyarham, Cik Shazana Darawin, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar 3.53 petang di rumahnya di Kajang, Selangor. Keluarganya berada di sisinya. Jenazah dijadual dikebumikan pada 17 November.
Cik Shazana berkata Allahyarham sebelum ini dimasukkan ke hospital kerana jangkitan paru-paru.
Allahyarham, yang telah menulis lebih 1,000 lagu, juga terkenal sebagai ‘Raja lagu Raya’ kerana lagu-lagu yang dihasilkannya sempena Hari Raya bersifat malar segar dan sering dimainkan di radio.
Antaranya ialah Dari Jauh Ku Pohon Maaf (nyanyian Allahyarham Sudirman), Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone) dan Salam Aidilfitri (Jamal Abdillah).
Pada 11 Oktober, sumbangan S. Atan selama lima dekad kepada arena muzik diiktiraf apabila beliau diberikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36.
S. Atan memulakan kerjaya seninya pada usia 17 tahun.
Beliau yang dianggap garang tetapi berdisiplin dan prihatin, banyak berurusan dengan penyanyi hebat seperti Allahyarham Tan Sri SM Salim, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Sheila Majid, Carefree dan Black Dog Bone.
Dalam satu wawancara Allahyarham bersama Berita Harian pada 13 Julai 2020, beliau menceritakan kisahnya dibesarkan di kampung sekitar Geylang Serai serta mendapat pendidikan di sekolah Cina, Happy Garden.
Di situlah kemahiran muziknya dikembangkan menerusi kelab muzik sekolah tersebut, katanya.
Penerbit dan penulis lirik terkenal, Datuk Habsah Hassan, apabila dihubungi BM berkata Allahyarham berada dalam keadaan kurang sihat.
“Dia sudah tidak sihat agak lama... keluar masuk hospital mendapatkan rawatan. Namun dia tetap bersemangat,” kata Datuk Habsah, yang berkata Allahyarham seorang yang sangat sopan.
“Saya kehilangan seorang saudara dan sahabat yang baik.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg