Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aina Abdul dijulang ‘Bintang Paling Popular’

Oct 14, 2024 | 7:04 PM
Penyanyi dan penggubah lagu, Aina Abdul, bersyukur diberikan rezeki peminat yang menyokongnya hingga meraih lebih 8.8 juta undian iaitu jumlah terbanyak sehingga meraih Anugerah Bintang Paling Popular.
Penyanyi dan penggubah lagu, Aina Abdul, bersyukur diberikan rezeki peminat yang menyokongnya hingga meraih lebih 8.8 juta undian iaitu jumlah terbanyak sehingga meraih Anugerah Bintang Paling Popular. - Foto INSTAGRAM AINA ABDUL

Selama 10 tahun, penyanyi dan penggubah lagu yang namanya kian meningkat naik, Aina Abdul, bertungkus lumus membina jenamanya agar lebih dikenali sebagai anak seni yang serius dalam memburu cita-citanya.

Akhirnya, pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36 pada 11 Oktober, anugerah Bintang Paling Popular yang menjadi idaman ramai menjadi milik Aina, 30 tahun.

Beliau turut diumumkan sebagai Penyanyi Wanita Paling Popular dengan undian tertinggi dalam kalangan penerima anugerah, yang mencecah sebanyak 8,882,662, hasil undian peminat.

Aina, atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, dalam wawancara bersama Berita Harian Malaysia (BHM), berkata:

“Alhamdulillah saya tak sangka menang kerana perjalanan yang saya lalui tidak mudah. Ini semua atas 100 peratus sokongan peminat.

“Saya berterima kasih dengan anugerah ini dan sudah tentu kepada juri, BHM dan TV3. Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya.”

Mengulas lebih lanjut, Aina berkata meskipun mencapai kemenangan besar pada malam itu, ia belum lagi dianggap lengkap kerana beliau sendiri belum bertemu dengan peminat daripada kelab peminat Ainations.

“Saya tahu jasa mereka tidak terbalas dengan undian setiap masa. Jadi, kemenangan ini akan lengkap apabila saya bertemu peminat,” katanya.

Pada edisi kali ini, Aina turut tercalon dalam kategori Ekstra Tonton Paling Popular iaitu Lagu Paling Boom.

Bagaimanapun, beliau kecundang di tangan gandingan Ernie Zakri dan Ade Govinda yang mempertaruhkan lagu Masing Masing.

Sepanjang 2023, Aina banyak mencatat kejayaan termasuk meraih tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 38 menerusi lagu Jangan Mati Rasa Itu serta mempertahankan trofi Vokal Terbaik.

Aina juga melakar sejarah peribadi apabila mementaskan, Konsert A Night With Aina Abdul (ANWAA) 3.0, di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada November 2023.

Sinonim dengan fesyen pelik yang dianggap ‘gila-gila’ tetapi menarik perhatian, Aina tidak pernah sunyi dengan kontroversi apabila penampilan ketika membuat persembahan atau menghadiri acara hiburan menjadi topik perbincangan dalam media sosial.

Bagaimanapun, pada 11 November, Aina mengambil keputusan untuk menggunakan busana yang lebih sederhana iaitu kebaya jenama Amazae, atas nasihat ibunya yang enggan si anak menjadi bahan percakapan ramai.

Dalam hantaran Instagram pada 12 Oktober, Aina menulis:

“Saya bangun tidur bersebelahan dua ekor kucing saya dan terfikir apa yang sebenarnya berlaku pada 11 Oktober.

“Rezeki Allah sebesar ini, dikurniakan pendengar dan kesayanganku, Ainations... 2024 bukanlah yang tidak selalunya indah, banyak cabaran... tetapi apabila saya bersedih, saya akan duduk membatu di papan nada saya serta memikirkan kerja keras Ainations yang sentiasa teguh berdiri di belakang saya.

“Saya langsung memberitahu diri saya, ‘Saya harus terus menulis lagu yang baik. Saya kena terus bernada’.

“Dan itulah yang akan saya lakukan tanpa menghiraukan suara-suara bising di belakang dan terus berjalan tanpa henti.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg