Sedikit harapan sudah cukup untuk membakar semangat di dapur Yellow Ribbon Bakery.
Harapan itu dipamerkan golongan banduan yang bekerja menghasilkan setiap roti, pastri dan kini, kuih bulan sempena Perayaan Kuih Bulan.
Ditubuhkan pada 2004 di Kompleks Penjara Changi, Yellow Ribbon Bakery bermula sebagai bengkel untuk mengisi masa banduan dengan kerja yang bermakna.
Kini, ia menjadi pusat latihan profesional yang melengkapkan mereka dengan kemahiran membuat roti dan konfeksi, di samping dapat menanam sikap disiplin, kerja berpasukan dan komunikasi berkesan iaitu antara kemahiran penting bagi kehidupan selepas dibebaskan.
Di bawah bimbingan profesional, sekitar 100 banduan terlibat dalam pengeluaran roti, pastri dan konfeksi.
Sempena Perayaan Kuih Bulan dan ulang tahun ke-60 Reben Kuning Singapura, bakeri itu memperkenalkan koleksi istimewa ‘Heritage and Hope’, gabungan warisan tradisional dengan semangat baru.
Antara perisa kuih bulannya ialah, Purple Potato & Yam with Macadamia, Putri Salat, Green Tea Rose with Blueberries, dan Red Date with Salted Egg.
Bagi Baker V (bukan nama sebenar), seorang pesalah dadah, setiap kuih bulan yang dihasilkan menandakan detik dia meninggalkan masa silam.
“Saya tidak pernah terfikir akan bekerja di sebuah bakeri yang membuka pintu kepada peluang kedua,” katanya.
Di dapur itu, dia menemui semula keyakinan diri bagi persiapan kembali ke masyarakat.
Baker V menghasilkan ciptaan Red Date with Salted Egg, gabungan manisan kurma merah dan kuning telur masin yang kaya dengan rasa manis dan lemak berkrim.
Perisa itu bak penghargaan buat isterinya yang setia menyokong sepanjang tempoh hukuman yang dilaluinya.
“Saya fikir tentang hidup saya yang mungkin saya miliki jika tidak terjebak dengan dadah.
“Tapi saya bersyukur apa yang saya ada sekarang dan pada isteri saya yang tetap menyokong saya,” luahnya.
Rakan sepasukan, Baker F, pula pernah melalui keperitan akibat ketagihan dadah berulang.
“Kalau saya boleh memberi nasihat kepada diri saya yang muda, saya ingin berpesan untuk sentiasa bersikap rendah diri.
“Jangan cuba terbang sebelum belajar untuk berjalan dan cuba lakukan sesuatu langkah demi langkah,” katanya.
Di Yellow Ribbon Bakery, dia menemui keberanian untuk membuka hati belajar meminta pertolongan dan melihatnya bukan sebagai satu kelemahan, tetapi kekuatan.
Ciptaannya, Green Tea Rose with Blueberries, menampilkan keharuman teh hijau dan manisan buah beri.
Baker F kini berhasrat memulakan bakeri dari rumah apabila kembali ke masyarakat.
Seorang yang dahulunya pendiam dan pesimis, Baker W kini lebih terbuka, belajar menyesuaikan diri dan melihat hidup dengan positif.
“Bekerja di sini memerlukan lebih pemikiran dan kreativiti. Mereka cabar kami untuk berfikir di luar kebiasaan,” katanya.
Cita-citanya ialah melanjutkan pengajian kulinari untuk menjadi cef pastri dan mempunyai keluarga sendiri.
Jika dahulu Baker F seronok mengejar dadah dan wang, kini dia menemui keseronokan baru dalam menghasilkan sesuatu dengan rasa unik.
Ciptaan yang menjadi kebanggaannya, Putri Salat, merupakan kuih tradisional dengan sentuhan moden.
“Ibu saya belikan buku resipi, dorong saya belajar dan manfaatkan masa di sini sepenuhnya,” katanya penuh rasa syukur.
Sambutan orang ramai begitu memberangsangkan hingga setiap perisa habis terjual.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg