KUALA LUMPUR: Sejak bakatnya dicungkil seorang daripada anggota kumpulan The Fan Club, iaitu ketika figura ini menyambung pengajian di New Zealand, langkah beraninya itu menyaksikan bagaimana lahir sebutir bintang kelahiran Jempol, Negeri Sembilan, yang menempuh perjalanan menakjubkan sebagai vokalis wanita disegani.

Pembabitan Datuk Aishah dalam kumpulan The Fan Club yang diasaskan pada 1988, menyaksikan mereka bukan sahaja menawan industri muzik New Zealand, malah berkelana jauh merentas Lautan Pasifik ke Amerika Syarikat (AS), di mana ‘single’, Don’t Let Me Fall Alone, pernah bolos carta Billboard Hot 100 pada 1990.

Justeru, sudah menjadi impian Aishah, yang kini berusia 61 tahun, untuk melihat anggota The Fan Club kembali berkumpul pada malam yang cukup bermakna sempena Konsert Aishah 40 Chapters Of Love yang bakal dipentaskan di Mega Star Arena, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada 4 Julai depan, sempena empat dekad pembabitan Aishah dalam dunia muzik.

Namun, Aishah menyedari usaha menyatukan semua anggota The Fan Club bukan mudah berikutan rakannya itu menetap jauh.

“Sudah tentu saya akan menyampaikan lagu daripada The Fan Club. Pada malam itu, saya akan berkongsi dan mengimbau perjalanan kerjaya nyanyian dari dahulu sampai sekarang.

“Empat dekad tentu banyak nostalgia yang ingin saya kongsi dan satunya daripadanya bersama The Fan Club. Saya ada hubungi semula anggota band, pengurus, Paul Ellis dan rakan, Glenn Peters.

“Kami cuba mana yang termampu. Jika ada pihak sudi menaja kos penerbangan mereka, bolehlah kami jadikan konsert malam itu seperti ‘reunion’.

“Lagipun lagu The Fan Club menjadi sebahagian daripada dekad pertama saya sebagai penyanyi. Jadi, takkanlah saya hendak buang katalog lagu The Fan Club,” katanya pada sidang media Konsert Aishah 40 Chapters Of Love di ibu negara, 28 April lalu, lapor BH Online.

Empat dekad menantikan peluang mementaskan konsert solo berskala mega, Aishah mengakui timbul perasaan gementar, terutama memastikan peminat berpuas hati dengan persembahannya kelak.

Cabaran paling berat kata penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manis itu adalah pada lagu nada tinggi.

Akui Aishah, dia terkilan apabila ada segelintir pihak terlalu kritikal sehingga mempertikai mutu vokalnya pada usia sekarang.

Katanya, pada usia enam ‘siri’, lumrah bagi seseorang penyanyi mengalami perubahan suara mengikut peredaran waktu dan faktor biologi.

“Hendak membuat persembahan hingga tiga jam pada usia 61 tahun bukannya mudah, lebih-lebih lagi, lagu saya kebanyakan bernada tinggi.

“Kepada mereka yang terlalu kritikal, cubalah berfikiran realistik. Tanyalah mana-mana guru vokal, suara manusia pasti akan mengalami perubahan.

“Ibaratkan seperti beli kereta. Jika kita beli kenderaan itu 30 tahun atau 40 tahun lalu, adakah kita jangka prestasinya masih sama seperti hari pertama keluar dari kedai? Jadi, cubalah realistik,” katanya.

Tambah Aishah, walaupun vokal tidak sama seperti zaman muda, faktor usia memberikan kelebihan dari sudut kematangan dan penghayatan yang lebih mendalam terhadap setiap karya dibawa.

Aishah berkata beliau menyanyikan semula karya lama dengan jiwa yang lebih matang dan sarat dengan pengalaman hidup.

“Mula-mula memang rasa tersinggung, tetapi apabila saya fikirkan semula, mana mungkin penyanyi yang sudah 40 tahun dalam industri muzik mempunyai mutu suara serupa. Apa yang saya miliki sekarang adalah kematangan.

“Kadang kala apabila saya teliti semula lagu seperti Wajah dan menyanyikannya semula pada usia sekarang, penghayatannya sangat berbeza berbanding ketika usia 20-an.

“Saya lebih mudah berasa hiba kerana kini saya mempunyai lebih banyak pengalaman hidup untuk dikaitkan dengan lirik itu,” katanya.

Demi memastikan konsert Aishah 40 Chapters Of Love lancar, Aishah gigih menjalani rutin latihan yang cukup padat.

Selain menghafal setiap susunan muzik orkestra tanpa bantuan ‘prompter’, Aishah terpaksa menukar waktu tidur demi melatih stamina mengikut waktu konsert.

“Saya jenis tidur awal selepas Isyak. Tetapi, sekarang rutin itu perlu diubah. Saya lakukan senaman zumba supaya tubuh saya biasa untuk kekal bertenaga dan berjaga.

“Setiap perincian saya ambil tahu, termasuk pemilihan kasut dan korset yang tidak terlalu ketat agar tidak mengganggu pernafasan.

“Walaupun nampak remeh, semua itu penting demi memastikan fokus saya tidak terganggu di atas pentas nanti,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai keputusannya untuk tidak bergantung kepada ‘prompter’ di pentas, Aishah berkata beliau lebih selesa bersandarkan kepada kekuatan memori.

Pemenang Anugerah Juara Lagu kelim pada 1990 menerusi lagi Janji Manismu itu, berkata disiplin menghafal lirik dan susunan muzik membuatkannya merasa lebih bebas di atas pentas.

“Saya lebih selesa dan bebas untuk meluah ekspresi. Saya pernah membuktikan kemampuan itu ketika membuat persembahan bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), yang mana saya perlu hafal 28 lagu.

“Bukan sekadar lirik, malah saya hafal setiap susunan muzik orkestra.

“Pernah berlaku dalam satu latihan, saya dapat kesan ada bahagian instrumen yang tidak dimainkan sehingga maestro orkestra tertawa dan kagum dengan ketelitian saya.

“Maestro pernah berseloroh supaya pemain orkestra berhati-hati kerana walaupun saya tidak tahu membaca nota muzik, tapi saya menghadam setiap inci susunan muzik mereka,” katanya.

Berkongsi mengenai pilihan lagu pula, Aishah mengakui proses itu bukan mudah apatah lagi dia memiliki kira-kira 170 lagu.

Aishah berkata beliau banyak menerima permintaan daripada peminat untuk menyanyikan lagu kegemaran mereka.

Biarpun akui perkara itu rumit, Aishah cuba penuhi agar tidak menghampakan mereka.

“Saya sebenarnya kasihan dengan peminat yang minta saya nyanyikan lagu kegemaran.

“Saya tiada masalah untuk penuhi tetapi macam mana hendak susun ‘repertoire’, itu yang susah.

“Hendak penuhi permintaan tiada masalah, tetapi hendak susun jadi cerita perjalanan empat dekad saya, itu rumit,” katanya.