Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ajai: ‘Ku Teruskan’, nyanyian anak Siti Sarah, besar erti

Jan 21, 2025 | 5:40 PM
Ajai (kiri) yakin suara Talita dapat memberi kesegaran pada lagu ‘Ku Teruskan’, dendangan asal arwah ibunya, Allahyarhamha Siti Sarah Raisuddin.
Ajai (kiri) yakin suara Talita dapat memberi kesegaran pada lagu ‘Ku Teruskan’, dendangan asal arwah ibunya, Allahyarhamha Siti Sarah Raisuddin. - Foto INSTAGRAM AJAI

Dengan sentuhan suara muda belia Dzahira Talita Zahra pada lagu ibunya, Allahyarhamha Siti Sarah Raisuddin, Ku Teruskan, komposer dan penyanyi prolifik, Ajai, yakin versi baru itu akan menjadi karya malar segar.

Ini yang dikongsi Ajai, atau nama sebenarnya, Faizal Maas, 50 tahun, kepada Berita Harian Malaysia (BHM), ketika mengulas pengertian mendalam lagu ciptaannya itu pada dirinya.

Ku Teruskan adalah naskhah yang lahir bersama album sulung arwah Siti Sarah pada 2002. Antara lagu kegemaran sepanjang masa saya sebenarnya. Liriknya pula ditulis oleh penulis lirik tidak asing lagi, Musrad, menambahkan lagi ‘perisa’ lagu ini.

“Sangat mengimbau kenangan bersama sang pelantunnya. Moga semakin malar segar juga untuk lagu ini kelak apabila dinyanyikan Talita. Mungkinkah lagu ini tersenarai dalam senarai lagu Konsert By Ajai and Mega Friends di Singapura nanti? Anda rasa?” kongsi Ajai.

Terdahulu, Talita diumumkan akan berkongsi pentas dengan ramai nama besar dalam industri muzik apabila diundang menyertai barisan artis Konsert By Ajai and Mega Friends di The Star Theatre, Singapura, pada 10 Mei ini.

Pengumuman itu dibuat menyusuli persembahan Talita di kaki lima Bukit Bintang, atas undangan stesen radio Era, pada 3 Januari.

Pada 10 Mei, Talita, 12 tahun, akan bersama dengan artis jemputan lain termasuk Hafiz Suip, Dayang Nurfaizah, Aina Abdul, Hazama dan Asmidar.

Sementara itu, bapa Talita, Shuib, 40 tahun, seorang usahawan dan pelawak, menolak dakwaan mahu ‘menjual’ anak apabila dilihat semakin kerap berkongsi video nyanyian gadis yang dikenali dengan panggilan manja ‘Dik Ta’.

Bukan itu sahaja, sesi langsung mereka di platform TikTok meraih puluhan ribu tontonan hingga ada yang menuduh Shuib melakukannya demi menghasilkan kandungan tular.

Shuib, atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad, menjelaskan setiap ibu bapa akan melakukan perkara serupa bagi menyokong minat anak.

“Sebagai bapa, saya perlu sokong minat anak-anak hingga dia dapat apa yang dimahukan.

“Saya bapa Talita. Saya tahu apa yang bagus dan tidak bagus untuknya. Apa yang penting, pertamanya, saya letakkan agama, kemudian pelajaran dan diikuti minatnya.

“Saya tidak boleh halang minat Talita. Mungkin nyanyian boleh membuatkan Talita gembira. Jadi, kenapa saya hendak halang?” kata Shuib sewaktu ditemui pada majlis pengumuman ‘Top 5 Gempak Most Wanted Award (GMWA)‘, baru-baru ini.

Sebagai persiapan menghadapi konsert Ajai itu, Shuib menghantar Talita mengikuti kelas vokal bersama Cikgu Shafi.

Shuib mendakwa terkejut apabila Talita tiba-tiba menunjukkan minat dalam bidang nyanyian sekembali daripada percutian mereka di Jepun pada Disember 2024.

“Semua ini saya anggap rezeki. Saya mengaku pernah mengeluarkan kenyataan tidak mahu anak jadi artis.

“Tetapi, Allahyarhamha Siti Sarah pernah cakap, apa yang penting, kita kena bimbing anak-anak,” katanya lagi.

Siti Sarah meninggal dunia pada usia 36 tahun pada 9 Ogos 2021 selepas ditidurkan menyusuli jangkitan Covid-19 yang melandanya sewaktu hamil.

Anak dalam kandungannya, Ayash Affan, yang berusia empat tahun kini, dilahirkan dalam keadaan pramatang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg