Sebelum ini, hanya kelihatan beberapa klip video bersahaja Talita, anak kedua Allahyarhamha Siti Sarah Raisuddin, menyanyi karaoke sebagai hobi keluarganya yang berdarah seni.
Bagaimanapun, setelah diundang stesen radio Era untuk menyanyi di khalayak ramai di kaki lima sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada 3 Januari lalu, nama Talita, yang baru berusia 12 tahun, mula menjadi sebutan ramai.
Bahkan, gadis yang nama sebenarnya, Dzahira Talita Zahra, itu menyimpan hasrat bergelar penyanyi seperti ibunya yang meninggal dunia pada 9 Ogos 2021, menyusuli jangkitan Covid-19 yang kronik.
Sarah yang ketika itu hamil telah ditidurkan demi keselamatan kandungannya, anak keempat hasil perkongsian hidup dengan pelawak dan usahawan, Shuib, atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad, 40 tahun.
Kini, apa yang lebih membanggakan, Talita yang bersuara matang dan gigih dilatih datuknya, Raisuddin Hamzah, seorang penyanyi veteran, bakal muncul dalam Konsert By Ajai and Mega Friends di The Star Theatre, Singapura, pada 10 Mei ini.
Talita mendapat undangan peribadi daripada penggubah lagu, Ajai, atau nama sebenarnya, Faizal Maas, 50 tahun, yang ingin membimbing remaja itu menjadi seorang penyanyi berpotensi besar, sebagaimana ibunya mencipta nama melalui lagu Kesetiaan, ciptaan Ajai.
Saya kira tawaran Ajai ini bagaikan pucuk dicita, ulam mendatang buat Talita yang berkongsi keinginannya menempa nama hingga ke Amerika melalui peraduan realiti yang dibuka buat peserta antarabangsa.
Bak peribahasa ‘Ke mana tumpah kuah, kalau tak ke nasi?’, Talita mewarisi bakat ibunya dan bapanya yang juga boleh menyanyi dengan baik.
Ibu tirinya, usahawan dan pempengaruh, Watie Hanafiah, 37 tahun, juga memiliki suara yang lunak dan kelihatan kerap mendorong Talita untuk beri yang terbaik.
Talita tentunya telah mencipta satu fenomena meskipun sewaktu menyanyikan lagu ibunya, Kesetiaan, dia begitu terkesan dan sebak sehingga menangis tersedu-sedan.
Nyanyian lagu itu terpaksa disambung seorang lagi fenomena remaja dan anak saudara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ummi Umairah, 14 tahun, yang mendapat pujian kerana memujuk Talita sepanjang rakan seninya itu tidak dapat meneruskan persembahan.
Umairah, anak adik Siti, Siti Saerah, juga penyanyi, mencipta nama di California, Amerika, menerusi kejayaannya memenangi pingat emas pada Kejuaraan Seni Persembahan Sedunia (WCOPA) pada 2024.
Dia sekali gus menamatkan kemarau 10 tahun Malaysia yang tidak berjaya membawa pulang pingat emas selama sedekad dalam pertandingan WCOPA.
Saya kira Talita dan Umairah memang berhasrat meneruskan legasi ibu dan ibu saudara mereka dalam bidang seni.
Tanggungjawab itu besar dan sebagaimana yang kita lihat pada artis lain yang mempunyai ibu atau ayah terkenal dalam bidang nyanyian atau lakonan, menggalasnya menjadi perit apabila terlalu banyak saingan sekeliling.
Tambahan pula, kededua Siti (Siti Nurhaliza dan Siti Sarah) memang memiliki bakat dan vokal luar biasa yang sentiasa terpahat di ingatan peminat muzik. Mereka merupakan nama besar dalam industri muzik Nusantara.
Saya membaca beberapa rencana mengenai kesan populariti selebriti terkenal terhadap anak-anak mereka yang pada awalnya ingin mengikuti kerjaya ibu bapa mereka sebagai pelakon atau penyanyi.
Terdapat siri dokumentari yang dihasilkan pelakon Ethan Hawke mengenai pelakon legenda Paul Newman dan anaknya, Scott Newman, juga pelakon dan bakat aksi nekad.
Dokumentari itu menunjukkan betapa Scott hidup dibelenggu keresahan dan rasa benci menjadi anak Paul.
Hidup Scott sentiasa dibayangi populariti bapanya, malahan Paul akur bahawa dia sendiri enggan berada di tempat Scott yang tertekan.
“Saya adalah pelakon yang mencapai prestasi membanggakan. Saya rasa ini memberi lebih tekanan buat Scott sebab dia akan selalu rasa dia perlu membuktikan kebolehannya setara atau jauh lebih baik daripada saya,” kata Paul dalam wawancara dokumentari tersebut.
Brooklyn Beckham, anak sulung pemain bola sepak terkenal, David Beckham, dan penyanyi dari kumpulan Spice Girls, Victoria Beckham, juga pernah tersingkir daripada pasukan bola sepak pada usia remaja.
Beliau tidak mampu bermain bola sebaik bapanya.
Mujurlah, beliau tidak memaksa diri atau dipaksa ibu bapanya, lantas memilih kerjaya peragawan dan pereka fesyen yang dekat di hatinya.
Namun, terdapat juga selebriti di Barat yang jauh lebih terkenal daripada ibu bapa yang mencipta nama lebih dahulu dalam dunia hiburan.
Sebagai contoh, Miley Cyrus, yang lebih berjaya daripada bapanya, Billy Ray Cyrus, dalam bidang muzik.
Angelina Jolie juga dianggap pelakon berkaliber, lebih daripada bapanya, Jon Voight, yang dianggap ikon Hollywood.
Mendiang Whitney Houston juga diperkenalkan kepada dunia hiburan oleh ibunya, mendiang Cissy Houston, juga seorang penyanyi bersuara bertenaga.
Tapi nama Whitney jauh lebih dijulang dalam dunia hiburan.
Kerana itu, dalam Talita dan Umairah membina kerjaya seni sebagai sesuatu yang diwarisi daripada ibu (Talita) dan ibu saudara (Umairah), satu perkara penting yang mereka perlu lakukan ialah berlatih bersungguh-sungguh dalam mencipta identiti sendiri.
Mereka memang tidak boleh lari daripada kaitan dengan bintang besar yang disegani ramai (Siti Nurhaliza dan Siti Sarah) tetapi mereka pastinya enggan dicap menumpang populariti atau dapat peluang keemasan hanya kerana kaitan keluarga.
Sebagai seseorang yang mengikuti Instagram Umairah sejak dia masih berusia enam atau tujuh tahun, saya tahu dia memiliki bakat besar daripada gelaran ‘anak saudara Tok Ti’ yang sering ‘melekat’ padanya.
Pingat emas WCOPA itu satu bukti nyata Umairah memiliki kebolehan tersendiri.
Rasanya, mereka boleh mencontohi dua anak seni, Azlina Aziz dan Liza Aziz, yang saya anggap ‘steady’ sahaja hingga ke usia melepasi 60 tahun kini.
Liza yang bermula sebagai penyanyi latar dan lagu iklan atau ‘jingle’ bahkan menjadi sebutan pada usia emasnya apabila membuktikan beliau mampu merebut gelaran juara bagi konsert mingguan Gegar Vaganza 11 (GV11) sebanyak lima kali.
Kalau selama lima dekad orang tidak begitu mempedulikan tentang potensi besar dan vokal ‘super power’ beliau, mungkin rezeki akhirnya berpihak padanya dalam alaf baru.
Yang penting adalah kerendahan hati dan sikap tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian yang diraih.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg