Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Al Jawaher lancar lagu tembusi pasaran luar Nusantara

Projek bagi kumpulan nasyid S'pura berusia 44 tahun itu inisiatif Jamiyah dengan kerjasama firma M'sia
Apr 02, 2023 | 05:30 AM



MASIH terpahat dalam ingatan beberapa anggota kumpulan nasyid legenda Singapura, Al Jawaher, tentang kenangan merakam lagu di studio sehingga dinihari untuk benar-benar menepati kehendak komposer Datuk M. Nasir.



Usia mereka ketika itu masih belasan tahun lagi dan bersekolah sehingga perlu membuat permohonan bertulis kepada guru untuk pulang awal dari sekolah bagi sesi rakaman berkenaan yang makan masa panjang.



Kepuasan di sebalik segala jerih payah bagaimanapun tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata apabila lagu-lagu seperti Perjalanan 2, Kembara Di Tanah Gersang, Adam dan Hawa serta Jauhkanlah Sengketa mendapat tempat di hati ramai.



Hari ini, selepas 44 tahun berada dalam persada seni, Al Jawaher yang terdiri daripada Habibah Othman (vokalis utama), Siti Rusminah Ja'afar, Hajar Mohamed, Normala Mohd, Latifah Johari, Jumuyah Kasbari dan Norhaiyati Yusop masih kekal bertahan bahkan menghasilkan karya baru yang boleh dibanggakan.



Baru-baru ini, hasil satu inisiatif Jamiyah Singapura dalam menyokong usaha dakwah Al Jawaher melalui muzik kerohanian, dua lagu ciptaan Yazri Malik telah dihasilkan demi mengubati rindu peminat.



Jamiyah Singapura bekerjasama dengan syarikat Malaysia, Impact Music & Entertainment, untuk mengeluarkan dua lagu berkenaan, Bring Me Close To You dan Sejadah di pasaran digital.



Al Jawaher bahkan terbang ke Kuala Lumpur untuk satu sidang media bagi melancarkan lagu Inggeris-Arab, Bring Me Close To You, di Hotel Royale Chulan The Curve pada Februari.



Turut hadir di sidang media itu adalah Presiden Jamiyah, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar, dan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam, serta rakan seni Datuk Nora Ariffin dan Fauziah Latiff.



Kolaborasi juga dibuat antara Jamiyah dengan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Melaka bagi penggambaran klip video yang diterbitkan dan diarah Suhaimi Yusof.



Perancangan Impact Music & Entertainment adalah untuk membawa Bring Me Close To You menembusi pasaran digital kandungan keislaman di Timur Tengah dan China melalui platform digital my music dan @anghami.



Yang menggembirakan Al Jawaher dalam masa sebulan dilancarkan, lagu Bring Me Close To You telah menduduki carta radio Astro Zayan FM di tangga kelapan dan disenaraikan dalam Carta 'Top 20' Radio IKIM.



Lagu ini juga dipersembahkan buat kali pertama di Singapura di Our Tampines Hub (OTH) disusuli dengan Festival Muslim Singapura anjuran Jamiyah di Dewan Singapore Expo.



Sewaktu dihubungi Berita Minggu (BM), ketua kumpulan, Norhaiyati berkata:



"Kami harus berterima kasih dengan Jamiyah dan Dr Hasbi yang komited dalam menyokong kami dan membawa muzik kami di luar pasaran Nusantara.



"Apabila usulan dibuat Dr Hasbi agar lagu Arab dan Inggeris dihasilkan, kami kekok juga sebab tidak pernah mencubanya. Sebelum ini, Al Jawaher hanya nyanyi lagu Melayu.



"Dr Hasbi merasakan kelainan harus kami terapkan kali ini agar kami boleh pergi jauh dan membuat persembahan di luar Nusantara atau Singapura, Malaysia dan Indonesia.



"Alhamdulillah selepas Yazri menyiapkan lagu ini, kami dapat hadam betul-betul apa yang perlu disampaikan dan perhalusi sebutan bahasa Arab dan Inggeris. Aspek sebutan kami tekankan kerana tidak mahu tersilap makna atau kurang jelas pada pendengaran ramai."



Dalam pada itu, Norhaiyati merasakan seni kata berulang dalam Bring Me Close To You itu sesuai dan mudah dijadikan ikutan buat kanak-kanak yang mendengar.



"Semoga lagu kali ini juga dapat memenuhi cita rasa setiap lapisan masyarakat," jelasnya.



Mengupas pengertian lagu Bring Me Close To You dan Sejadah, Siti Rusminah berkata:



"Sambil menyanyi, ia juga usaha mendekatkan diri kita dengan Allah. Banyak refleksi diri yang boleh dibuat. Misalnya, usah lambat-lambatkan solat. Ada iktibar mengenai taubat, mesej yang menginsafkan."



Penglibatan dalam projek ini bahkan membawa Al Jawaher kembali dalam 'radar' media seperti dahulu.



Mereka menjalankan promosi bersama media Malaysia dan turut diundang membuat persembahan di saluran televisyen seberang Tambak.



"Kami juga berkesempatan bikin klip video arahan 'orang kuat' Jamiyah, Suhaimi Yusof.



"Lokasi yang dikunjungi adalah tempat-tempat bersejarah seperti Masjid Selat Melaka (Masjid Terapung), Padang Pasir Klebang dan Muzium Hang Tuah," tambah Norhaiyati lagi.



Mengimbas antara kenangan manis yang dilalui bersama Al Jawaher, Norhaiyati berkata mereka sama-sama muda dan sama-sama tua dalam perjalanan panjang hingga sesetengahnya sudah bergelar nenek kini.



"Yang kami syukuri adalah kami sudah melalui era peralihan rakaman daripada piring hitam kepada kaset, cakera padat, USB dan akhirnya gedung penstriman digital," kongsinya.



Dengan Ramadan yang dilalui kini, Al Jawaher juga berbesar hati memenuhi undangan membuat persembahan di acara Iftar Utara (Marsiling-Yew Tee) di Marsiling Mega Sports pada petang ini dan acara dagangan MakBesar di Singapore Expo pada 15 April.



"Undangan bagi Syawal hanya dapat kami penuhi pada minggu ketiga sementara kami menantikan pengesahan daripada pihak penganjur di Mesir yang mengundang kami bagi acara Hari Ibu," tambah Norhaiyati.



Dalam sembang tempoh hari, setiap anggota turut menceritakan tentang lagu kegemaran mereka.



Perjalanan 2 menjadi pilihan Hajar kerana menampilkan M. Nasir. Latifah gemarkan lagu Warna Alam kerana melodi dan seni katanya yang menusuk kalbu dan menenangkan.



Siti Rusminah pula menyifatkan Adam dan Hawa sebagai lagu sarat penceritaan mengenai asal-usul manusia.



Kata Norhaiyati:



"Kadangkala terfikir kalaulah lagu Adam dan Hawa ini dapat mencetus idea bagi penghasilan taridra atau muzikal tentang asal-usul dan perjalanan hidup manusia, bukankah menarik?"




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >