Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Nyala rasa 2 gitaris terus membara

Album metal wira alaf baru pikat pendengar AS dan Austria

Sebelum ini, dua gitaris ini sentiasa kelihatan di balik tabir menyokong bakat setempat dengan mengiringi persembahan mereka atau sebagai pemacu semangat anak seni Singapura. Namun, kedua-duanya juga memiliki projek nyala rasa sendiri untuk diteroka. BERITA HARIAN melaporkan.
Jan 31, 2022 | 05:30 AM



DI dalam persada seni setempat, pemuzik dan pencipta lagu, Amyr Abadawn, dikenali sebagai penyokong kuat bakat Singapura.



Beliau sering memberi galakan dan panduan kepada penyanyi muda membina kerjaya seni di sini mahupun jika ingin menembusi pasaran seberang Tambak.



Rangkaian kenalannya luas malah beliau turut memberanikan diri mencipta lagu Cina buat YouTuber dan pengacara, Kaitlyn Lee, yang pernah menduduki tangga ke-10 dalam Carta iTunes Singapura.



Namun, Amyr atau nama sebenarnya, Amirrudin Muhammad Ayub, 39 tahun, mempunyai nyala rasa tersendiri dalam muzik metal.



Ini adalah kerana genre muzik sebegini memberi ruang buatnya meneroka teknik 'gentelan' gitar pada tahap maksimum lagi lebih mencabar.



Kerana itu, Amyr baru-baru ini melancarkan album metal instrumentalnya berjudul, The New Chapter.



Ia dimuatkan 10 lagu bertajuk, As the South Sea Churned, The Eastern Nights of Mystical Glaze, Wrath of Horus, The Bloody Killing of Human Sins, The Seruling Princess, A Fallen Memories, March of the Desert Army, Desert Warrior, The Victory dan The Freedom.



Tiga lagu dihasilkan dengan kerjasama pemuzik lain, Fatin SerulingLady, Wazzmo dan Cavallotto Rossana.



Lebih menggembirakan, Amyr yang bertopeng dalam kulit albumnya bagi mewujudkan kesan misteri buat pendengar, mendapat pesanan daripada penggemar muzik metal di luar Singapura.



Rata-rata, mereka berpuas hati dengan mutu album tersebut.



Menurutnya, beliau mendapat pesanan daripada wakil gedung muzik dalam talian Shredguy Records dari Amerika Syarikat yang memesan 1,000 unit album itu untuk dipasarkan di negara tersebut.



Stesen radio Austria, Stahlradio, juga memutarkan lagu-lagu dalam album Amyr yang didapati unik.



Pada 2017, Amyr pernah muncul dengan single metal instrumental, End of Dark Age, sepanjang enam minit, 17 saat.



Ketika dihubungi Berita Harian, Amyr menjelaskan:



"Saya sebenarnya cukup terharu dan terkejut dengan sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat pencinta muzik metal di dalam dan luar negara.



"Inilah keistimewaan memuatnaikkan lagu-lagu menerusi gedung antarabangsa seperti wadah penstriman Spotify dan Apple iTunes ataupun laman perkongsian video YouTube. Kita mampu memasarkan lagu kita ke pasaran dunia."



Berhubung niat menghasilkan album instrumental sendiri, Amyr menjelaskan idea itu terdetik di hati sejak usianya 15 tahun.



"Cuma masa itu, saya belum lagi berpengalaman manakala barangan audio dan rakaman lengkap untuk bikin album ini sendiri pun belum ada.



"Hanya sewaktu tempoh pandemik, saya lebih banyak masa mencipta dan merakam lagu. Alhamdulillah, di sebalik pandemik ini, ada hikmahnya. Saya gembira dengan pencapaian album ini," katanya.



Mengenai idea menjana lagu dengan judul persis tajuk buku atau filem yang memancing perhatian, Amyr akui segalanya terjadi apabila beliau suka-suka merakam lagu.



"Apabila karya tersebut saya muatnaikkan ke Facebook, ia mendapat perhatian dan sambutan yang amat menggalakkan," tambahnya.



Menurut Amyr, album itu ibarat membuka perjalanan cerita seorang pahlawan dari zaman futuristik.



"Dunia si pahlawan dihancurkan makhluk asing. Muzik bagaimanapun adalah kelemahan si makhluk asing berkenaan.



"Bagi menyelamatkan situasi, pahlawan ini kembali mengembara ke masa silam untuk mempelajari semua muzik yang ada di dunia ini untuk melawan musuhnya, si makhluk asing," ceritanya.



Amyr yang sentiasa terbuka pada ciptaan lagu Melayu mengikut trend Barat seperti sisipan irama gothik atau regeton menyatakan beliau cuba menghasilkan imej misteri pada kulit albumnya yang tidak mendedahkan wajahnya.



"Saya rasa tarikan album ini adalah topeng yang saya pakai dan juga lagu berkonsep orkestra metal Arab.



"Dalam pada itu, cabaran yang saya hadapi adalah saya merupakan penerbit lagu artis lain yang perlu bereskan dan dahulukan kerja seni mereka terlebih dahulu. Hanya apabila lagu mereka selesai, baru saya ada masa lapang untuk merakam lagu saya.



"Nak siapkan lagu ini makan masa enam bulan. Saya juga berusaha merakam video muzik bagi setiap lagu kerana ingin sajikan yang terbaik dan menyeluruh," katanya lagi.



Amyr bersandarkan minat pada beberapa pemuzik instrumental dan gitaris antarabangsa seperti Jason Becker, Marty Friedman, Steve Vai, Yngwie Malmsteen, John Petrucci, Joe Stump dan Ihsahn untuk menggerakkan projek album instrumentalnya ini.



"Kesemua daripada mereka mempunyai kemahiran yang sangat hebat dan telah mempengaruhi cara saya memetik gitar dan mempersembahkan muzik saya.



"Setiap gitaris yang saya sebutkan ini mempunyai kemahiran dan kreativiti tersendiri. Mereka adalah yang terbaik di dunia," jelasnya.



Dalam kesibukannya mempromosikan album ini, beliau masih tidak lupa pada bakat muda Singapura yang dibimbingnya.



"Tidak dapat dinafikan bakat Singapura memang ramai tetapi mereka kurang aktif. Budak-budak muda ini harus berusaha lebih gigih lagi dan mengikuti perkembangan muzik agar kekal relevan.



"Mereka harus cari identiti mereka sendiri dan berusaha perah jus kreatif mereka tanpa henti dan rasa putus asa.



"Biasanya, saya akan beri maklum balas kepada anak muda ini jika ada kekurangan atau memberi galakan jika saya kesan kelebihan pada karya mereka.



"Saya rajin kongsi video atau lagu mereka di platform media sosial agar lebih ramai kenali mereka dan kerja seni mereka," tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >