Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Legenda berilmu, berjiwa ihsan

Daya intelek, perkongsian seni berisi mampu jadi inspirasi
Jan 11, 2025 | 5:30 AM
Noor Kumalasari kini senang berkongsi tentang nilai yang menambah keberkatan hidup meskipun tidak lupa segala kebaikan yang diraih sepanjang bergelar artis dahulu.
Noor Kumalasari kini senang berkongsi tentang nilai yang menambah keberkatan hidup meskipun tidak lupa segala kebaikan yang diraih sepanjang bergelar artis dahulu. - Foto fail
Datuk Francissca Peter jadikan jerih payah hidup semasa meniti usia remaja sebagai peringatan untuk kekal merendah hati.
Datuk Francissca Peter jadikan jerih payah hidup semasa meniti usia remaja sebagai peringatan untuk kekal merendah hati. - Foto ihsan FRANCISSCA PETER

Walaupun dikenali ramai bahkan terbukti kehebatan lakonan dan nyanyian mereka dalam industri hiburan serantau, tidak sedikit pun mereka menampakkan sikap sombong dan megah dek pencapaian yang diraih selama berdekad lamanya dalam dunia seni.

Pendek kata, perbualan saya bersama dua nama besar dalam dunia seni Nusantara, Datuk Francissca Peter dan Christine Hakim, sekitar Disember 2024, meninggalkan kesan yang cukup mendalam sehingga hati ini berbisik, “Beginilah legenda yang sebenar...”

Kededuanya yang sudah melepasi usia 60 tahun cukup merendah hati dan kerap kali meluahkan rasa syukur dewasa dalam dunia seni dan berupaya menjadi insan yang berihsan terhadap keperluan orang lain.

Mereka menjelaskan segala jerih payah membina kerjaya seni berkat bakat yang dikurniakan Tuhan, yang kadangkala tidak disedari, berbaloi apabila mereka kini dapat menyebar kasih sayang kepada peminat dan masyarakat amnya menerusi kerja seni.

Satu persamaan yang dikongsi Francissca dan Christine serta beberapa tokoh seni lain yang saya anggap legenda seperti pelakon dan penyanyi, Noor Kumalasari, dan penggubah lagu, David Foster, adalah kerendahan hati mereka dan keinginan mereka berkongsi nikmat kehidupan dengan orang lain.

Kesemuanya terlibat dalam kegiatan amal dengan pertubuhan tertentu, baik yang memperjuangkan hak kanak-kanak kurang berkemampuan ataupun pesakit kronik.

Mereka memiliki daya intelek yang mengagumkan daripada curahan kata-kata yang dikongsi dengan begitu lancar, yang datang daripada hati dan minda yang jelas.

“Saya masuk dalam bidang lakonan sebab sudah terjebak dengan tawaran menjayakan filem pertama, Cinta Pertama pada 1973.

“Tapi saya sedikit pun tidak terfikir nak jadi terkenal atau menjadi nama besar sehinggalah apabila saya mengimbau kembali kerjaya seni saya selama 50 tahun.

“Saya bersyukur filem-filem saya disisipkan dengan nilai-nilai kasih sayang, keluarga dan persahabatan serta unsur kerohanian untuk penonton fikirkan bersama,” jelas Christine.

Beliau turut menggalak anak-anak muda yang menceburi bidang hiburan agar rajin mengambil tahu tentang industri seni di sekeliling dengan banyak membaca dan membina rangkaian di luar industri tempatan.

“Saya tidak banyak menonton filem di pawagam tetapi saya ambil tahu dengan membaca dan banyak membina rangkaian kenalan, baik dalam dunia seni ataupun tidak,” katanya.

Francissca pula berkongsi dengan saya tentang impiannya menjadi penyanyi kerana ingin membantu ibunya yang membesarkan anak seorang diri selepas bapanya menghilang daripada kehidupan mereka dan hanya kembali lama selepas itu.

“Penghargaan harus diberi kepada orang yang membantu kita. Kita tak boleh lupa asal usul kita, kesusahan kita atau malu dengan siapa diri kita sebelum ini.

“Kegetiran hidup inilah yang mencorak kita menjadi individu seperti hari ini yang cekal semangat dan sabar dalam setiap pasang surut kehidupan,” katanya.

Beliau malahan menyertai program sejagat, World Vision, di mana beliau boleh mengambil anak angkat yang dibiaya persekolahannya dari kejauhan, sebagai satu cara untuknya menambah amal kebajikan dan tanda kesyukuran mengecapi jaya selepas melalui susah payah zaman remaja.

Foster yang dikenali kerana memberikan semangat baru kepada bintang dengan kehidupan tragik, mendiang Whitney Houston, pula berkata bahawa sebagai pencipta lagu, beliau juga menyelami kehidupan artis-artis yang bekerja dengannya.

“Saya tinjau kehidupan mereka dan budaya kerja mereka. Kalau ada yang berdisiplin dan jauhkan diri daripada ketagihan dadah atau arak, mereka akan selamat dan dapat membina kerjaya yang sihat,” katanya.

Noor Kumalasari pula menyatakan meskipun tidak lagi berkecimpung dalam bidang seni, beliau tetap mengamati apa yang berlaku di sekelilingnya.

Beliau juga gemar berkongsi cerita dan amalan yang dirasakan akan menambah serta memberkati rezeki seseorang seperti bersedekah dengan menabung setiap selesai subuh.

“Benda-benda baik kita harus kongsi. Saya sudah lalui banyak perkara dalam kerjaya hiburan yang pernah diceburi.

“Kita ambil perkara-perkara baik yang menambah keihsanan kita sebagai seorang manusia. Bangun semangat positif untuk beri dorongan kepada orang lain,” jelasnya.

Bagi saya, walaupun bakat menyanyi dengan baik atau berlakon dengan baik itu mustahak, dalam era media sosial, seorang artis itu harus melengkapi dirinya dengan ilmu pengetahuan daripada pembacaan dan pergaulan dengan bermacam orang, bukan sahaja dalam sektor seni, malah di luar sektor berkenaan.

Daya intelek ketika bertemu wartawan juga penting untuk memastikan perkongsian yang dibuat untuk bahan berita itu bermakna dan bukan setakat bual-bual kosong atau menjawab pertanyaan tentang gosip tular.

Bagi saya, artis yang memiliki daya intelek yang tinggi akan lebih mampu mencorak kerjaya seni berisi yang boleh dijadikan inspirasi buat peminat.

Saya pernah bertanya kepada Datuk Dr M. Nasir mengenai sebab mengapa lagu lama bertaraf malar segar, sedangkan lagu baru belum tentu diingati sampai bila-bila.

Jawabnya: “Mungkin sebab komposer dulu hidup susah sehingga setiap kata yang dicurahkan dalam lirik itu mengandungi maksud mendalam dan daya intelek sehingga mampu menyentuh jiwa pendengar.”

Legenda seni, lantaran itu, bukan yang hanya terperangkap dalam kepompong dunia seninya sahaja tetapi yang memiliki jiwa ihsan dan kepintaran isi perbualan untuk dijadikan perkongsian.

Pendek kata, perbualan saya bersama dua nama besar dalam dunia seni Nusantara, Datuk Francissca Peter dan Christine Hakim, sekitar Disember 2024, meninggalkan kesan yang cukup mendalam sehingga hati ini berbisik, ‘Beginilah legenda yang sebenar...’ Mereka menjelaskan segala jerih payah membina kerjaya seni berkat bakat yang dikurniakan Tuhan, yang kadangkala tidak disedari, berbaloi apabila mereka kini dapat menyebar kasih sayang kepada peminat dan masyarakat amnya menerusi kerja seni.
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg