Rakaman video Facebook yang menunjukkan mantan juruhebah stesen radio Warna 942, Siti Aminah Siregar, kelihatan sakit tenat sehingga perlu dipindahkan dalam satu operasi kecemasan menerusi feri dari Batam ke Singapura menjadi tular pada 11 Disember.
Ketika ditemui Berita Harian (BH) di Hospital Tan Tock Seng (TTSH), tempat beliau dirawat, Siti Aminah, 79 tahun, mengesahkan berita tersebut, malahan terkejut apabila diberitahu video itu tular di media sosial.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan ‘Bonda’ dan menyertai dunia penyiaran radio sejak 1968 hingga bersara pada 2000, berkata:
“Tak terlintas di fikiran saya bagaimana video itu boleh jadi ‘viral’. Lagi pun, saya bukannya nak cari perhatian, apa lagi nak menagih simpati!” katanya.
Namun, ramai rakan penyiar dan peminat yang menziarahi beliau di TTSH sejak mendapat tahu mengenai perkara itu di media sosial.
Menurut Siti Aminah, keadaan kesihatannya kini bertambah mantap, namun tetap di bawah penjagaan doktor di hospital tersebut.
Selulitis kaki merupakan penyakit kulit ekstrem, disebabkan jangkitan kuman dan bakteria.
Walaupun tidak berjangkit, penyakit itu mampu menyebabkan bakteria merebak ke tulang dan aliran darah individu yang mengalaminya.
Menurut Siti Aminah yang berketurunan Padang dan Batak, selulitis akan menyerang dirinya setiap tahun dan ia boleh menyebabkan kakinya bengkak, lendir tebal bergumpal di tekaknya di samping sesak nafas yang teruk.
Beliau berumah tangga dengan penulis drama radio, Allahyarham Rahman Abu, dan pasangan itu tidak mempunyai cahaya mata.
“Saya sebenarnya berada di Pondok Pesantren Attamaddun di Batam, Indonesia, ketika serangan selulitis ini berlaku.
“Saya gemar menghabiskan masa bersama anak-anak yatim ini dan tinggal bersama mereka untuk seketika sambil membantu dan menyumbang tenaga.
“Kerja sukarela ini merupakan saat-saat manis buat saya bak satu terapi minda dan jiwa yang amat saya nantikan setiap waktu ke pesantren,” ceritanya.
Beliau bersyukur dan berterima kasih kepada mereka yang prihatin terhadap kesihatannya.
“Saya mohon doa daripada semua untuk kesembuhan dan semoga kebaikan dan kasih sayang Allah ini milik kita bersama, insya-Allah.
“Pengalaman ngeri ini juga mengajar saya untuk menyediakan dan membeli perlindungan insurans setiap kali ke luar negara. Kerana malang tidak berbau dan bencana boleh terjadi bila-bila masa sahaja,” tambahnya dengan nada sebak.
Mengimbas semula tugasnya dalam bidang penyiaran, Siti Aminah berkata beliau tidak pernah terfikir untuk memilih tugas juruhebah sebagai kerjaya.
Namun, pemimpin Orkestra Singapura pada waktu itu, Allahyarham Ahmad Jaafar, yang memberitahu beliau tentang jawatan kosong di Radio Televisyen Singapura (RTS).
Bekas pelajar Convent of Holy Infant Jesus (CHIJ) di Victoria Street itu pernah mengendalikan rancangan seperti, Penyanyi Pujaan Minggu Ini dan Telatah Si Comel, program kanak-kanak yang telah memenangi anugerah sebagai rancangan kanak-kanak terbaik.
Beliau bahkan dikenali sebagai sebagai ‘Mak Long’ dalam kalangan pendengar ciliknya.
“Saya memang tidak pernah bercita-cita nak jadi juruhebah dulu. Masa baru bekerja di radio, saya mempunyai ‘slang’ Inggeris sehingga bos saya, Allahyarhamha Zahrah Za’ba suruh saya berlatih baca akhbar BH (Berita Harian) untuk mengurangkan telor Inggeris ini.
“Pernah juga saya diberitahu oleh Pak Yusnor Ef sendiri, apabila P. Ramlee bertanya kepada beliau, kenapa ‘juruhebah tu cakap macam orang putih’?
“Dunia penyiaran ini memang meninggalkan banyak kenangan indah buat saya. Saya juga pernah menang anugerah sebab saya terpaksa menyanyi dan menari bagi menggantikan tempat penyanyi Zaleha Hamid.
“Kata ketua saya, Hashim Yusof, ‘Kau macam Mary Poppins-lah’,” tambahya yang pernah meraih Anugerah Deejay Paling Popular pada era 1990-an dahulu.
Dengan ceria, beliau berkata, dirinya masih menjalin hubungan rapat bersama mantan deejay seangkatan dan muda daripadanya seperti Zakiah Halim, Suharti Ali, Surtini Sarwan, Nani Nyarman, Inon Salleh, Syah Ibrahim dan ramai lagi yang berhubung menerusi WhatsApp ‘Geng Caldecott’.
Ditanya apakah perancangannya kini, Siti Aminah berkata:
“Selepas rawatan di TTSH tamat, doktor memberitahu saya bahawa saya akan dipindahkan ke sebuah hospital masyarakat untuk rawatan pemulihan.
“Saya memohon untuk ke Hospital Masyarakat Ang Mo Kio tetapi belum diputuskan lagi.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg