Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amir Jahari: Lagu ‘Hasrat’ diabadi buat arwah ayah

Mar 6, 2024 | 7:21 PM
Penyanyi Amir Jahari (pegang gitar) telah dinobat juara ‘Anugerah Juara Lagu 38’ pada 3 Mac dan gambar menunjukkan beliau mempersembahkan lagu, Hasrat.
Penyanyi Amir Jahari (pegang gitar) telah dinobat juara ‘Anugerah Juara Lagu 38’ pada 3 Mac dan gambar menunjukkan beliau mempersembahkan lagu, Hasrat. - Foto NSTP

Lagu ciptaan Amir Jahari, Hasrat, buat malam kemuncak ‘Anugerah Juara Lagu’ (AJL) 38 pada 3 Mac telah menimbulkan pelbagai perasaan buat penyanyi, penulis lagu dan pelakon itu.

Amir yang berjaya dinobat sebagai juara AJL 38 mengakui perasaannya tersentuh ketika menyanyikan lagu itu kerana beliau terbayang wajah arwah ayahnya, Jahari Seman yang meninggal dunia pada 20 Mei 2022 akibat barah.

Amir atau nama sebenar, Mohamad Amirullah Jahari, 32 tahun, berkata:

“Ketika hendak buat persembahan, saya sangat teruja. Namun, pada masa sama, saya sebak kerana terbayang arwah ayah duduk di hadapan saya. Perasaan itu terkait kerana kisah kesedihan saya akibat kehilangan ayah diabadikan dalam lirik lagu itu.”

Pada malam kemuncak AJL 38, Amir yang dinobat juara, membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 ($28,342) dan trofi.

Naib juara AJL 38 menjadi milik lagu, Sutera, nyanyian dan ciptaan Aisha Retno dan MFMF. Mereka membawa pulang wang tunai RM50,000 dan trofi.

Menduduki tempat ketiga lagu, Jangan Mati Rasa Itu, nyanyian dan ciptaan Aina Abdul. Atas kemenangan itu, Aina menerima wang tunai RM30,000 dan trofi.

Selain berasa hiba mengenangkan allahyarham ayahnya, Amir mendendangkan lagu Hasrat sebagai tanda perpaduan buat rakyat Palestin.

Amir yang menyentuh emosi penonton di Axiata Arena, Bukit Jalil dan di rumah dengan persembahan ringkas, namun, berkesan, menjelaskan idea persembahan itu dicetuskan bekas syarikat pengurusannya bagi disesuaikan dengan tema AJL 38, iaitu Muzikaverse.

“Disebabkan Hasrat adalah runut bunyi filem Imaginur, saya fikir mahu tampilkan pelakon naskhah itu sahaja. Bagaimanapun, untuk disesuaikan dengan tema, kami gabungkan dengan sesuatu yang bersifat universal,” kata Amir.

Semasa persembahan tersebut, Amir memainkan visual yang menggambarkan pokok dengan daun berguguran dan tulisan Jawi, semuanya adalah nama-nama individu yang mati syahid.

Mengulas tentang proses pembikinan lagu Hasrat, anak jati Kuching, Sarawak itu memberitahu lagu itu dicipta dalam tempoh 10 minit.

“Disebabkan lagu itu dicipta berdasarkan pengalaman peribadi, idea datang mencurah-curah.

“Saya hanya ambil masa 10 minit untuk menyiapkan melodi dan liriknya. Lagu Hasrat dicipta ketika negara sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, jadi, proses rakaman dilakukan di rumah sahaja.

“Saya bersyukur orang suka dengan lagu itu,” katanya.

Ini adalah penyertaan kali kedua Amir di pentas AJL. Pada AJL 27, Amir mempertaruhkan lagu, Tanpamu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg