Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Komposer Manan Ngah hargai wadah lonjak nama penggubah, penulis lirik

Dec 26, 2023 | 03:41 PM



KUALA LUMPUR: Kejayaan lagu ciptaannya dan lirik nukilan Lukhman S berjudul, Sekadar Di Pinggiran, nyanyian Datuk Francissca Peter yang dinobatkan sebagai pemenang pertama Anugerah Juara Lagu (AJL) pada 1986 menjadi pembakar semangat buat komposer Manan Ngah dalam menghasilkan karya lebih bermutu.


Menyifatkan dirinya sebagai ‘Abang Long’ untuk acara anugerah tahunan itu, Manan berkata impak kemenangannya itu bukan sahaja membuka banyak peluang rezeki, malah juga menjadikannya lebih kreatif berkarya.

“Saya melakar sejarah peribadi apabila menjadi juara pertama AJL dan tak dinafikan, acara muzik gemilang ini menyerlahkan lagi kewibawaan seorang komposer.

“Sebelum menyertai program Muzik-Muzik dan seterusnya mara ke pentas AJL, saya sudah ada lagu popular di peringkat nasional iaitu Terasing nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad dan Aku Hanya Pendatang yang pernah dipopularkan oleh Francissca.


“Cuma bila menang AJL ia bagai satu nilai tambah buat saya. Selepas menang, ramai penyanyi minta saya ciptakan lagu untuk mereka.

“Selepas sedekad dalam bidang penciptaan lagu, saya berasakan sudah tiba masa untuk saya hasilkan karya baharu. Dari situ, lahirnya genre Balada Nusantara yang dipopularkan oleh Sheqal.

“Ternyata muzik ini diterima ramai dan jualan album Sheqal mencecah 100,000 unit,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM) Online.


Pada AJL 1987, komposer yang kini berusia 62 tahun itu sekali lagi mendapat pengiktirafan apabila lagu ciptaannya berjudul Kerna Terpaksa nyanyian Francissca menduduki tempat ketiga.


Mengakui masih yakin dengan peranan acara hiburan itu dalam membantu memartabatkan industri muzik tanah air, Manan bagaimanapun berharap penganjur dapat mengekalkan matlamat asal AJL.

“Bagi saya, AJL masih lagi relevan kerana tidak ada banyak program hiburan seumpamanya diterbitkan ketika ini.

“Selepas lebih tiga dekad penganjurannya, acara anugerah tahunan ini terus dengan peranannya untuk memartabatkan komposer dan penulis lirik.

“Cuma saya harap matlamat mereka untuk menghargai komposer dan penulis lirik itu tidak tersasar dengan maklumat yang tiada kena-mengena dengan mereka.

“Skrip pengacara memainkan peranan penting dan keutamaan haruslah diberi kepada insan di sebalik penghasilan sesebuah karya dan bukannya terlalu fokus kepada penyanyi.

“Muzik boleh berdiri dengan sendirinya tanpa penyanyi. Contohnya, muzik instrumental, namun penyanyi tanpa lagu untuk dinyanyikan bukanlah seorang penyanyi.

“Selain itu, protokol dalam pemberian anugerah perlu mengikut kedudukan yang sepatutnya iaitu perlu dahulukan komposer dan penulis lirik, barulah diikuti penyanyi.

“Kata nak raikan golongan komposer dan penulis lirik, jadi mereka inilah yang sepatutnya diberi keutamaan.

“Ini bukan sahaja untuk acara AJL, malah membabitkan acara sama yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen,” ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >