Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amira, Fattah sangkal dakwaan sudah bertunang

Feb 25, 2025 | 4:39 PM
Penyanyi dan pelakon, Amira Othman (kiri) tidak berkecil hati atau panik apabila tersebar berita yang kononnya, beliau sudah bertunang dengan pelakon, Fattah Amin.
Penyanyi dan pelakon, Amira Othman (kiri) tidak berkecil hati atau panik apabila tersebar berita yang kononnya, beliau sudah bertunang dengan pelakon, Fattah Amin. - Foto INSTAGRAM AMIRA OTHMAN/FATTAH AMIN

Penyanyi dan pelakon, Amira Othman, menafikan khabar angin beliau kini tunang pelakon, Fattah Amin.

Penyanyi lagu, Hati-Hati itu, bahkan berkata beliau tidak pasti bagaimana berita pertunangan boleh timbul termasuk dakwaan keluarga Fattah datang merisiknya di Johor Bahru.

“Saya tak tahu bagaimana boleh timbulnya gosip ini. Ada juga yang nampak saya pakai baju putih pada Jumaat lalu (21 Februari).

“Sedangkan, saya selalu sahaja pakai baju warna putih. Jadi, saya ingin tegaskan tiada sebarang majlis pertunangan antara saya dengan Fattah.

“Saya terkejut, tapi ada peminat teruja dengan spekulasi ini,” katanya, ketika ditemui pada majlis, Kempen Ramadan Raya Indahkan Memori, anjuran Media Prima, pada 24 Februari.

Sementara itu, ditanya Berita Harian Malaysia (BHM) jika Amira, 32 tahun, berasa rimas apabila kerap dikaitkan dengan Fattah, Amira menerimanya dengan lapang dada.

“Saya mulakan dengan gimik pelancaran single, Bila Nak Kahwin? Jadi, saya sudah tahu apakah implikasinya.

“Saya tenang-tenang sahaja hadapinya sebab gosip ini tak betul,” katanya.

Ditanya adakah perkara itu juga menyebabkan beliau kekok berjumpa Fattah, 34 tahun, Amira berkata, ia lumrah menjadi anak seni.

Mengulas respons keluarga selepas tular gosip pertunangan itu, Amira berkata ibu bapanya memahami statusnya sebagai selebriti.

“Mereka tenang sahaja, mungkin faham isu ini sedang hangat. Mereka juga tahu peminat yang terlampau teruja,” ujarnya.

Berkenaan dirinya yang hadir bersama ibu Fattah menghadiri kelas usrah, Amira berkata, ia hanyalah kebetulan.

“Selalunya saya hadir ke kelas usrah bersama rakan seni, Wany Hasrita, tapi secara kebetulan, ibu Fattah pun hadir, jadi timbullah usik-mengusik,” katanya lagi.

Fattah turut menyangkal dakwaan beliau dan Amira sudah bertunang.

“Ia tak betul. Saya memang ada dengar dan terkejut mengapa tiba-tiba adanya khabar angin ini. Saya menafikannya, ia memang tak betul.

“Saya tahu pun daripada rakan media, nak tergelak pun ada sebab ia tiba-tiba.

“Tak tahulah siapa yang sebarkan. Mungkin mereka dengar daripada netizen atau baca komen orang mendoakan,” katanya, ketika ditemui semasa majlis, Koleksi Amber Raya Romantics, di Hotel Majestic, pada 24 Februari.

Fattah berkata pengurusnya juga ada menghubungi pengurusan Amira untuk bertanyakan mengenai berita berkenaan.

“Sudah tentu kami terkejut. Kalau gosip ini betul, sudah tentu kisah pertunangan tak boleh disorokkan.

“Macam saya cakap, kami hanya kawan. Hubungan atas urusan kerja sahaja.

“Saya dan Amira masih banyak kerjasama, jadi kami sering berjumpa atas urusan kerja. Ia tidak lebih daripada itu,” katanya.

Tidak pasti sama ada pihak sengaja menimbulkan gosip tersebut, Fattah berdoa agar Allah sentiasa melindungi dirinya.

“Kalau ada orang berniat buruk, saya tidak tahu apa motifnya. Saya hanya berdoa Allah lindungi saya daripada perkara tidak baik,” katanya.

Terdahulu, berita mendakwa Fattah dan Amira bertunang selepas empat bulan berpisah dengan bekas isteri, pelakon dan usahawan, Nur Fazura Sharifuddin, 41 tahun.

Berita itu turut mendakwa Fattah dan Amira bertunang pada 21 Februari dan bakal berkahwin pada Syawal nanti.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg