Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sedih bila kisah hubungan berantakan selebriti anak, bapa tular

Feb 8, 2025 | 5:30 AM
Timur Gabriel (kiri) berkongsi tentang hubungannya dengan bapanya, Datuk Zainal Abidin, yang tidak pernah aman, dalam podcast ‘Head Over Heels’.
Timur Gabriel (kiri) berkongsi tentang hubungannya dengan bapanya, Datuk Zainal Abidin, yang tidak pernah aman, dalam podcast ‘Head Over Heels’. - Foto INSTAGRAM TIMUR GABRIEL/ZAINAL ABIDIN

Era media sosial sangat berbeza dengan zaman kita menanti majalah hiburan mingguan ataupun bulanan bagi mendapatkan kisah sensasi atau gosip artis mahupun rencana menyeluruh tentang perkembangan selebriti kegemaran.

Sekarang ini, hampir saban hari, ada cerita sensasi yang digali wartawan dalam talian ataupun menerusi sesi podcast bersama bintang jemputan.

Saya tidak pasti apakah reaksi ramai apabila Timur Gabriel, 30 tahun, anak penyanyi kumpulan Headwind, Datuk Zainal Abidin Mohamed, mendedahkan dalam satu podcast, Head Over Heels, yang dikendalikan Maggy Wang, tentang hubungannya yang bermasalah dengan bapanya itu.

Timur, seorang pempengaruh, begitu lantang menyatakan bapanya tidak berminat untuk meneruskan hubungan baik dengannya bahkan tidak ambil tahu tentang perkembangan hidupnya.

“Kami ada nombor telefon satu sama lain tetapi berdasarkan pengalaman saya dengannya, dia nampaknya tak berminat nak ambil tahu tentang anaknya.

“Dia tak pernah hubungi saya untuk ucapkan ‘Selamat Hari Lahir’ atau ‘Selamat Hari Raya’ dan apabila ada masa dia hubungi saya, dia akan tanya, ‘Kau sembahyang?’” cerita Timur.

Timur yang berulang-alik berpangkalan di London dan Berlin kini untuk tugasan media sosialnya juga mendedahkan dirinya tidak pernah menggunakan populariti Zainal untuk mencapai impian dalam hidupnya.

“Saya hanya gunakan namanya apabila saya perlu memperbaharui pasport saya secepatnya.

“Kalau tidak, saya tidak pernah menggunakannya untuk mengecapi kejayaan. Saya buat segalanya sendiri dari awal.

“Salah satu sebab mengapa saya tidak mahu menjadi penyanyi walaupun mewarisi bakat bapa saya adalah kerana saya tidak mahu menggunakan populariti Zainal Abidin bagi mengejar nama dalam bidang seni suara,” ujarnya.

Dari raut wajahnya ketika berbincang tentang topik ini, Timur, juga seorang model, nampak marah dan bingit.

Zainal berkahwin dengan ibu Timur, Natasha Gabriel Abdullah, pada 1987. Perkahwinan mereka hanya bertahan hingga 2000. Mereka mempunyai dua anak, Mikhail dan Timur.

Zainal sudah membina hidup baru dengan seorang pengarah eksekutif, Angelina Asmawi, yang juga pengurusnya, sejak 2003.

Membuka aib bapa, ibu atau anak sendiri di media sosial atau siaran podcast sudah menjadi perkara biasa dalam kalangan artis.

Kadangkala tertanya juga apa pengertian keluarga sebagai institusi yang harus dijunjung di kala suka atau duka, sedangkan ramai yang sewenang-wenangnya mengecam bekas pasangan atau anak mahupun ibu bapa sendiri?

Saya pernah hadiri konsert Zainal di Kuala Lumpur lebih 10 tahun lalu, di mana beliau menceritakan tentang penyesalannya mendirikan rumah tangga dengan Natasha.

Ramai penonton yang terkejut kerana perkara sebegini jarang berlaku dalam konsert Melayu lain.

Bagaimanapun, beberapa tahun selepas itu, dalam satu wawancara bersama Zainal, beliau memberitahu saya isterinya kini enggan beliau cerita lebih-lebih tentang kehitaman kisah silam bersama isteri pertama dahulu.

Lebih selesa bual tentang muzik dan industri muzik Melayu.

Pelakon Brad Pitt dan anaknya, Pax Jolie-Pitt; pelakon Angelina Jolie dan bapanya, Jon Voight; Jennifer Aniston dan ibunya, Nancy Dow; serta penyanyi Adele dan bapanya, Mark Evans; juga merupakan pasangan ibu bapa dan anak yang teruk terjebak dalam konflik keluarga.

Mereka tidak segan silu berbincang tentang perkara ini apabila diwawancara atau dalam hantaran Instagram sendiri.

Memang konflik sebegini sulit nak diperkatakan atau dibincangkan kerana kita tidak berada dalam kedudukan si anak, bapa atau ibu.

Saya pernah juga dengar kisah teman-teman yang cukup marah dengan ibu atau bapa mereka tetapi pada usia emas ibu bapa, mereka memilih untuk memaafkan sahaja orang tua mereka malahan berusaha memperbaiki hubungan dan menjaga ibu bapa yang sudah berusia atas amanah sebagai anak.

Mudah-mudahan ada jalan penyelesaian bagi Timur dan Zainal sebab walau apapun, air dicencang takkan putus.

Sehubungan dengan isu hubungan anak dan bapa, risau juga apabila video anak Fattah Amin dan Fazura, Fatimah, menyatakan dia tidak lagi sayangkan bapanya tular di TikTok.

Mujurlah, Fattah memberi penjelasan ini hanya perangai budak-budak kecil yang merajuk.

Sebab apabila perkara sebegini tular, ada sahaja netizen yang akan kata: “Ini mesti Fazura ajar anaknya untuk tidak lagi rapat dengan Fattah.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg