Kemunculan ramai bakat baru tidak menggugat kedudukan pelakon Malaysia, Amyra Rosli, 33 tahun, apabila bakatnya masih ditagih penerbit.
Berkongsi rahsia kekal laris kepada Berita Harian Malaysia (BHM), Amyra atau nama sebenarnya, Nur Amira Izzati Rosli, berkata antara prinsipnya adalah sentiasa berpegang nasihat ibu dan cuba sejauh mungkin mengelak daripada kontroversi.
Amyra, yang membintangi drama, Bunga Salju, dan berganding dengan pelakon asal Singapura, Hisyam Hamid, memberitahu beliau perlu mencari rezeki dengan cara betul demi menjaga air muka keluarga.
“Sebolehnya, saya cuba elak kontroversi sebab ibu ajar jika mahu mencari rezeki, perlu berada di landasan betul.
“Kalau hendak terkenal, sekejap sahaja. Tetapi, kalau mahu cari rezeki, buat dengan cara betul. Nasihat daripada ibu juga yang banyak membantu saya ke tahap ini. Bukan hendak berlagak apabila saya tiada kontroversi, dulu pun ada.
“Tetapi, saya kurang kontroversi disebabkan mahu jaga air muka ibu, ayah dan suami. Saya hanya buat kerja dalam industri ini.
“Apa yang saya dapat adalah rezeki anak. Pada masa sama, saya perlu kekal aktif dalam industri seni,” katanya.
Amyra, yang memulakan kerjaya lakonan pada 2011 menerusi drama Supermak, mengakui belum tiba masa untuk bersara.
“Mungkin ada orang cakap saya sudah ada dua anak, bila mahu berhenti berlakon? Saya tak berhenti selagi ada rezeki.
“Tidak semestinya perlu berlakon dengan satu genre sahaja. Ada juga lakonan yang boleh membawa kebaikan kepada orang lain.
“Jadi, kalau ada orang tanya sampai bila saya akan berlakon, jawapannya selagi saya mampu. Apa yang penting, jangan ada kontroversi, insya-Allah kita akan kekal,” katanya.
Amyra, yang juga pengacara Nona, berkata agar imej dan statusnya selari, beliau perlu memilih naskhah sesuai untuk dijayakan.
“Sekarang saya pilih naskhah disebabkan imej berhijab dan status diri. Tetapi, apabila memilih, tidaklah saya rasakan rezeki tersekat.
“Setakat ini, masih ada (tawaran) dan saya percaya pada Allah dalam menentukan rezeki saya.
“Saya juga bersyukur apabila pengarah faham keadaan saya dan banyak membantu memudahkan urusan penggambaran. Banyak babak romantik, tetapi pengarah tidak membuatkannya berlebihan,” katanya.
Ditanya pendiriannya jika digandingkan bersama pelakon terpalit kontroversi, Amyra berkata beliau terbuka kerana apa yang dilalui seseorang itu adalah perkara peribadi.
“Saya terbuka sebab kontroversi adalah perkara peribadi. Jika digandingkan dengan pelakon kontroversi, sama ada teruk atau tidak, itu rezeki kami untuk berlakon.
“Saya tiada masalah untuk berlakon dengan sesiapa sahaja. Selagi kena dengan watak dan naskhah baik, saya terima. Saya sudah bergelar ibu, jadi perlu tengok apa yang terbaik,” katanya.
“
Sebolehnya, saya cuba elak kontroversi sebab ibu ajar jika mahu mencari rezeki, perlu berada di landasan betul. Kalau hendak terkenal, sekejap sahaja. Tetapi, kalau mahu cari rezeki, buat dengan cara betul. Nasihat daripada ibu juga yang banyak membantu saya ke tahap ini.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg