Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnak kerap sebut ‘hah?’: Usah abai isu pendengaran
Anak kerap sebut ‘hah?’: Usah abai isu pendengaran
Ibu bapa perlu waspada bunyi sekitaran boleh jejas pendengaran
Anak kerap sebut ‘hah?’: Usah abai isu pendengaran
Kehilangan pendengaran sering dikaitkan dengan golongan warga emas dan kurang mendapat perhatian masyarakat.
Ramai yang terlepas pandang bahawa masalah pendengaran dalam kalangan kanak-kanak sebenarnya lebih biasa berlaku daripada yang disedari oleh ibu bapa.
Di Singapura, kira-kira dua hingga empat kes kehilangan pendengaran kongenital dilaporkan bagi setiap 1,000 bayi baru lahir dan dikesan melalui saringan pendengaran neonatal rutin.
Namun, masalah pendengaran juga boleh berkembang kemudian, semasa zaman kanak-kanak.
Kehilangan pendengaran sementara yang disebabkan oleh pengumpulan cecair di telinga tengah (otitis media) menjejas sehingga 80 peratus kanak-kanak sekurang-kurangnya sekali sebelum mereka mencapai usia persekolahan.
Selain itu, dengan peningkatan penggunaan peranti audio peribadi, risiko kehilangan pendengaran akibat pendedahan kepada bunyi bising dalam kalangan kanak-kanak lebih dewasa dan remaja juga semakin meningkat.
Bunyi sekitar boleh mudaratkan telinga anak?
Dalam bandar yang sibuk seperti Singapura, bunyi persekitaran menjadi sebahagian daripada kehidupan harian sehingga mudah diabaikan.
Ibu bapa perlu berhati-hati terhadap bunyi berikut:
Bunyi semasa perjalanan harian: Pendedahan berterusan kepada bunyi geseran landasan MRT boleh mencapai 80 hingga 85 desibel (dB), malah boleh mencecah sehingga 100 dB di dalam terowong bawah tanah yang diperbuat daripada konkrit.
Konkrit merupakan penyerap bunyi yang lemah dan sebaliknya memantulkan tenaga bunyi.
Tahap bunyi itu bersamaan dengan berada berhampiran mesin pemotong rumput yang sedang beroperasi, gergaji rantai atau konsert rok secara langsung.
Pendedahan kepada bunyi sekuat ini selama lebih daripada 15 minit berisiko merosakkan pendengaran.
Mainan dengan bunyi siren: Sesetengah mainan yang diletakkan dekat dengan telinga kanak-kanak boleh menghasilkan bunyi sehingga 100 dB. Ramai ibu bapa mungkin tidak menyedari perkara ini.
Taman permainan di ruang dalam (indoor) dan pusat arked: Ruang tertutup seperti ini memerangkap bunyi yang sering melebihi 90 dB akibat jeritan, permainan elektronik dan muzik.
Kesan guna fon telinga secara kerap
Prinsip fizik yang sama juga terpakai kepada telinga manusia.
Saluran telinga kanak-kanak lebih kecil berbanding orang dewasa, menyebabkan gelombang bunyi bertambah kuat dalam ruang lebih sempit.
Penggunaan fon kepala atau putik telinga secara kerap boleh memerangkap bunyi terus ke dalam saluran telinga, sekali gus mempercepatkan kerosakan pada sel bulu halus di dalam koklear, iaitu struktur dalam telinga berbentuk seperti cangkerang siput yang berisi bendalir
Kerosakan ini adalah kekal dan tidak boleh dipulihkan.
Tempoh dengar dengan selamat gunakan fon telinga?
Ibu bapa disarankan mengamalkan peraturan 60/60, iaitu kanak-kanak hanya mendengar pada tahap tidak melebihi 60 peratus daripada kelantangan maksimum peranti dan tidak lebih daripada 60 minit pada satu-satu masa.
Kini, kebanyakan telefon bijak dilengkapi fungsi untuk memantau dan mengehadkan tahap bunyi serta tempoh pendedahan.
Semua pengguna digalak mengaktifkan ciri ini dan lebih berdisiplin dalam mengurus masa penggunaan skrin.
Secara am, fon kepala jenis over-ear, yang terletak di bahagian luar telinga, lebih selamat berbanding putik telinga.
Putik telinga diletakkan terus ke dalam saluran telinga dan meningkatkan kekuatan bunyi.
Fon kepala over-ear juga lebih berkesan dalam menghalang bunyi latar belakang, sekali gus mengurangkan kecenderungan kanak-kanak untuk meningkatkan kelantangan.
Jika bunyi kuat berpanjangan
Pendedahan berpanjangan dan terkumpul kepada bunyi kuat boleh memusnahkan sel bulu dalam koklear secara kekal.
Sel-sel ini sangat penting untuk menghantar isyarat bunyi dari telinga ke otak.
Selain kerosakan fizikal pada pendengaran, pendedahan kronik kepada bunyi bising juga mencetuskan tindak balas tekanan yang berterusan dalam tubuh kanak-kanak.
Tidur: Bunyi persekitaran yang kuat boleh mengganggu kitaran tidur nyenyak dan menyebabkan kanak-kanak berasa letih.
Pembelajaran dan kognitif: Jika otak kanak-kanak sentiasa perlu menapis bunyi latar belakang semasa belajar, usaha kognitif mereka akan meningkat.
Ini boleh menyebabkan kesukaran memahami bacaan, persepsi pertuturan yang lebih lemah, daya ingatan jangka pendek yang berkurangan dan keletihan.
Tingkah laku: Kanak-kanak yang kerap terdedah kepada persekitaran bising sering mempunyai tahap hormon tekanan, kortisol yang lebih tinggi.
Ini boleh menyebabkan mereka lebih mudah marah, cemas dan kecewa.
Tanda awal masalah pendengaran
Ibu bapa mungkin menganggap kehilangan pendengaran sebagai sikap ‘memilih untuk mendengar’ atau degil.
Ada juga yang beranggapan masalah pendengaran hanya berlaku dalam kalangan warga emas.
Antara tanda amaran awal yang perlu diberi perhatian adalah:
a) Tidak memberi tindak balas apabila nama mereka dipanggil dari belakang atau dari bilik lain pada jarak yang munasabah.
b) Kerap berkata ‘Hah?’ atau meminta sesuatu diulang.
c) Meningkatkan kelantangan televisyen atau tablet ke tahap yang luar biasa tinggi.
d) Menyebut perkataan dengan tidak tepat kerana pertuturan mereka dipengaruhi oleh bunyi yang didengari.
e) Bergantung kepada pembacaan bibir untuk memahami percakapan.
Jika tidak dirawat semasa tempoh perkembangan kritikal ini, kanak-kanak mungkin mengalami kelewatan pertuturan dan bahasa yang serius, pencapaian akademik yang lemah serta pengasingan sosial akibat sukar berkomunikasi dengan rakan sebaya.
Bagaimanakah masalah pendengaran dirawat?
Campur tangan bergantung sepenuhnya kepada punca dan tahap kehilangan pendengaran.
Oleh itu, penilaian profesional peringkat awal amat penting.
Campur tangan perubatan: Bagi kehilangan pendengaran konduktif sementara yang disebabkan oleh pengumpulan cecair atau jangkitan telinga, pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) boleh memberikan ubat atau mencadangkan prosedur kecil seperti pemasangan tiub ventilasi (grommet) untuk mengalirkan cecair.
Teknologi bantuan pendengaran: Bagi kehilangan pendengaran kekal atau sensorineural, alat bantu pendengaran pediatrik moden atau implan koklear boleh digunakan bagi membolehkan kanak-kanak mendengar bunyi pertuturan dengan lebih baik.
Pemulihan: Terapi pertuturan dan terapi auditori-verbal penting untuk membantu kanak-kanak mengejar perkembangan bahasa yang sepatutnya serta memaksimumkan penggunaan alat bantuan pendengaran.
Mereka juga memerlukan bantuan untuk memproses ‘bunyi baru’ yang dapat didengar melalui peranti tersebut.
Cara lindungi pendengaran anak
Perlindungan pendengaran perlu bermula di rumah. Ibu bapa harus menunjukkan gaya hidup mesra pendengaran untuk dicontohi anak-anak:
a) Pastikan kelantangan televisyen dan muzik di rumah berada pada tahap yang sesuai untuk perbualan biasa.
b) Bawa pelindung telinga apabila menghadiri latihan Perbarisan Hari Kebangsaan atau konsert.
c) Rehat daripada bunyi. Jika berada di arked atau bilik karaoke yang bising, keluar ke kawasan yang lebih tenang selama 10 minit setiap jam bagi memberi peluang telinga kanak-kanak berehat.
d) Tetapkan rutin tanpa peranti. Galakkan permainan imaginatif tanpa skrin atau fon kepala, terutama semasa waktu makan dan sebelum tidur.
Masa terbaik jalani pemeriksaan pendengaran anak
Walaupun Singapura mempunyai Program Saringan Pendengaran Bayi Baru Lahir Sejagat (UNHS) yang sangat baik, tahap pendengaran boleh berubah apabila kanak-kanak membesar disebabkan pelbagai faktor seperti genetik, penyakit dan pendedahan kepada bunyi bising.
Pemeriksaan pendengaran secara berkala sebaiknya dilakukan sebelum kanak-kanak memasuki prasekolah (sekitar usia tiga hingga empat tahun) dan sekali lagi sebelum memulakan Darjah 1.
Pelbagai jenis ujian tersedia mengikut usia kanak-kanak.
Pemeriksaan berkala dapat memastikan masalah kehilangan pendengaran ringan atau kehilangan pendengaran pada sebelah telinga sahaja – yang sangat sukar dikesan oleh ibu bapa – dapat dikenal pasti sebelum menjejaskan pendidikan formal mereka.
Penulis Pakar Audiologi Utama di Clinico Hearing Solution.
“
Pendedahan berpanjangan dan terkumpul kepada bunyi kuat boleh memusnahkan sel bulu dalam koklear secara kekal. Sel-sel ini sangat penting untuk menghantar isyarat bunyi dari telinga ke otak. Selain kerosakan fizikal pada pendengaran, pendedahan kronik kepada bunyi bising juga mencetuskan tindak balas tekanan yang berterusan dalam tubuh kanak-kanak.“
Ibu bapa mungkin menganggap kehilangan pendengaran sebagai sikap ‘memilih untuk mendengar’ atau degil. Ada juga yang beranggapan masalah pendengaran hanya berlaku dalam kalangan warga emas... Jika tidak dirawat semasa tempoh perkembangan kritikal ini, kanak-kanak mungkin mengalami kelewatan pertuturan dan bahasa yang serius, pencapaian akademik yang lemah serta pengasingan sosial akibat sukar berkomunikasi dengan rakan sebaya.