Topik diikuti
Pergi ke BHkuIbu 5 anak usaha dapat lesen kereta sewa demi sara keluarga
Ibu 5 anak usaha dapat lesen kereta sewa demi sara keluarga
Jadi pemandu kenderaan sewa privet (PHV) bagi pastikan kesemua anak dapat nikmati kehidupan selesa, pergi sekolah
Ibu 5 anak usaha dapat lesen kereta sewa demi sara keluarga
Dalam keadaan beliau perlu menjaga sendiri lima anak yang masih bersekolah, Cik Nurarzlin Ariffin mencari masa mengambil lesen untuk menjadi pemandu kenderaan sewa privet (PHV) bagi memastikan anak-anaknya dapat terus menikmati kehidupan yang baik dan selesa.
Memandangkan suaminya sedang menjalani hukuman penjara, wanita berusia 36 tahun itu terpaksa menggalas semua tanggungjawab keluarga, termasuk mencari nafkah dan menjaga kebajikan anak-anak yang berusia 15 tahun, sembilan tahun, lapan tahun, lima tahun dan tiga tahun.
Sementara menunggu mendapatkan lesen PHV dan mula memandu, beliau berusaha mendapatkan bantuan daripada badan-badan yang boleh meringankan perbelanjaannya, dan paling utama memastikan anak-anaknya dapat terus ke sekolah.
Antara lain, Cik Nurarzlin telah memohon sokongan daripada program Skim Bantuan Pengangkutan Sekolah (Stars) Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East.
CDC North East kini bekerjasama dengan syarikat perlombongan TOP International Holding untuk mengumpul $100,000 bagi kempen sokongan pengangkutan sekolah, Kindness Warrior: Rally for School Transport, yang dilancarkan pada 5 Jun.
“Anak sulung saya di sekolah menengah manakala anak kedua dan ketiga di sekolah rendah.
“Mereka semua menaiki bas awam ke sekolah.
“Jadi bantuan tambang bas tersebut akan dapat mengurangkan perbelanjaan saya dengan agak ketara,” kata Cik Nurarzlin.
Anak keempat dan kelimanya pergi ke prasekolah yang terletak sekitar 20 minit berjalan kaki dari flat lima bilik keluarga itu di Sengkang.
Cik Nurarzlin berkongsi anaknya yang kedua pernah tidak ke sekolah kerana tidak cukup nilai dalam kad EZ-Link.
“Pada waktu itu dia baru di Darjah 1.
“Tahun itu, keluarga saya mengalami banyak cabaran, dan saya perlu menguruskan kewangan yang agak sesak.
“Anak saya itu sepatutnya ke sekolah tapi saya terpaksa pontengkan dia untuk satu hari, kerana EZ-Link dia sudah habis,” singkap Cik Nurarzlin tentang kejadian pada 2024 itu.
Kini di bawah Skim Bantuan Kewangan (FAS), anak-anaknya menerima tokokan sejumlah wang ke dalam kad EZ-Link yang boleh digunakan untuk membeli makanan di kantin sekolah dan pengangkutan awam.
Namun, kadang kala anak-anaknya terlebih berbelanja di kantin, dan ini menjejas baki yang sepatutnya digunakan untuk pengangkutan.
“Sewaktu saya masih bekerja sepenuh masa dahulu, saya mengatur perbelanjaan keluarga dengan teliti.
“Saya belikan pas konsesi bulanan untuk pengangkutan anak-anak,” kata Cik Nurarzlin yang sebelum ini pernah bekerja sebagai penolong operasi.
Selain menerima bantuan pengangkutan sekolah bagi tiga anak pertamanya sejak 2022, Cik Nurarzlin turut menerima baucar pasar raya daripada CDC North East untuk membeli susu dan lampin bagi dua lagi anaknya, di bawah Dana Pertumbuhan.
Dalam pada itu, Cik Nurarzlin, yang anak keempatnya, menghidap sindrom Goldenhar, iaitu keadaan yang menjejas perkembangan fizikal, terutama pada bahagian wajah, telinga dan mata, turut menerima baucar pasar raya daripada pertubuhan Melayu/Islam seperti Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
“Saya perlu mendapatkan sokongan tambahan ini untuk menstabilkan kewangan saya sebagai satu-satunya pencari nafkah keluarga.
“Saya yang menguruskan semuanya, jadi saya sangat bersyukur ada badan-badan yang dapat meringankan beban kewangan saya buat masa ini.
“Apa yang kekal paling penting adalah anak-anak saya dapat ke sekolah dan mereka mempunyai rancangan masa depan mereka.
“Saya tidak mahu mereka menjadi seperti saya.
“Jika mereka ada impian, saya mahu mereka atur langkah ke arah mencapai impian mereka itu,” ujarnya.
Program Stars menyediakan sokongan kewangan bagi pengangkutan pelajar daripada keluarga berpendapatan lebih rendah yang tinggal di kawasan North East, dengan pendapatan per kapita (PCI) $1,000 dan ke bawah.
Murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah yang layak akan menerima bantuan $360 setahun; manakala pelajar maktab rendah, politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) layak menerima $650; sementara pelajar universiti layak menerima $1,000.
Orang ramai yang ingin menyumbang kepada kempen, Kindness Warrior: Rally for School Transport, boleh melakukan demikian hingga hujung Julai, di laman web Giving SG.
Kempen itu menyasarkan untuk mengumpul $100,000 dan telah mendapat sumbangan sekitar $15,000 sejauh ini.
“
“Apa yang kekal paling penting adalah anak-anak saya dapat ke sekolah dan mereka mempunyai rancangan masa depan mereka. Saya tidak mahu mereka menjadi seperti saya. Jika mereka ada impian, saya mahu mereka atur langkah ke arah mencapai impian mereka itu.”