Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anak muda sanggup belanja lebih demi tonton konsert luar negara

Konsert muzik jadi pendorong pelancongan, turut rangsang ekonomi negara
Jun 15, 2025 | 5:30 AM
Konsert  Dir En Grey, Hong Kong
Konsert  Dir En Grey meriah semasa diadakan di Hong Kong. - Foto PUTERI NUR’AINN RAMLEE

Peminat tegar muzik tentunya dapat merasakan kehampaan yang menyelubungi jiwa tatkala artis atau band kegemaran mereka tidak menjadikan Singapura sebagai lokasi persinggahan konsert jelajah mereka.

Ini semakin dirasakan Cik Puteri Nur’ainn Ramlee, yang selera muziknya boleh dianggap khusus dan di luar aliran utama.

Tidak mahu melepaskan peluang menonton persembahan artis kegemarannya, wanita berusia 31 tahun itu sanggup berbelanja lebih untuk membeli tiket penerbangan, sekali gus menyaksikan persembahan tersebut di luar negara.

“Boleh dikatakan kebanyakan pemuzik kegemaran saya tidak cukup popular di Singapura untuk penganjur konsert mempertimbangkan membawa masuk dan ia agak menyedihkan,” ujarnya.

Dalam setahun, Cik Puteri akan ke luar negara kira-kira tiga kali semata-mata untuk menghadiri konsert.

Kadangkala, beliau juga akan menyelitkan masa untuk meneroka negara tersebut, seperti pelancongannya ke Mong Kok, di Hong Kong, pada Mei untuk menonton band metal Jepun, Dir En Grey.

“Saya membawa ibu saya untuk perjalanan tersebut dan percutian saya dipanjangkan... jadi kami mempunyai lebih masa untuk meninjau-ninjau Hong Kong memandangkan ia pertama kali kami ke sana,” tambahnya.

Selain Hong Kong, pereka grafik itu telah ke Kuala Lumpur di Malaysia, Bangkok di Thailand, dan Melbourne di Australia untuk menonton konsert The Cribs, Arctic Monkeys, dan The Midnight.

Bagi ketua teknisyen pencahayaan, Encik Niki Muliade, beliau akan ke luar negara setiap dua hingga tiga bulan untuk tonton persembahan artis kegemarannya, terutama sekali jika ia diadakan di Asia Tenggara.

“Melancong ke negara berdekatan seperti Jakarta, Bangkok atau Kuala Lumpur hanya beberapa ratus dolar sahaja. Anda dapat meraih pengalaman pertukaran budaya, bertemu rakan baru dan membina rangkaian sosial,” ujarnya yang baru-baru ini ke Bangkok untuk menonton konsert band rok Saosin.

Konsert muzik terus mempengaruhi sikap perjalanan, dan menyumbang kepada keinginan merancang perjalanan ke luar negara.

Menurut tinjauan trend perjalanan Booking.com, terdapat trend global yang menyaksikan 58 peratus pengunjung merancang untuk ke luar negara bagi acara muzik pada 2025.

Pada Jun sahaja, wadah tempahan pelancongan itu menyaksikan carian antarabangsa bagi Seoul dan Busan di Korea meningkat 30 peratus dan 50 peratus berbanding tahun lalu, menyusuli beberapa acara K-Pop, termasuk konsert encore j-hope, yang dijadual berlangsung bulan ini.

Menurut tinjauan Skyscanner pula, hampir separuh pengunjung Singapura berkata mereka akan mengambil penerbangan jarak dekat untuk melihat artis kegemaran mereka secara langsung, manakala 14 peratus bersedia mengambil penerbangan jarak jauh.

Sementara itu, 61 peratus responden akan mempertimbang pilihan ke luar negara untuk menghadiri konsert, gig atau festival jika ia membantu mereka jimat wang, tidak kira menerusi tiket lebih dimampui atau penerbangan nilai tinggi.

Cik Cyndi Hui, Pakar Destinasi dan Trend Perjalanan Skyscanner, menyatakan bahawa untuk pengunjung, ia bukanlah sekadar menonton persembahan di atas pentas, malah tentang meraih manfaat sepenuhnya daripada perjalanan tersebut.

“Ramai yang ingin melanjutkan perjalanan mereka – menggabungkan muzik secara langsung dengan peluang meneroka destinasi baru – justeru mengubah pengalaman gig menjadi pengalaman perjalanan yang lengkap,” ujarnya.

Konsert ternyata menjana manfaat ekonomi yang besar buat negara yang menjadi tuan rumah, termasuk Singapura, menurut pengarah acara riadah Lembaga Pelancongan Singapura (STB), Cik Guo Teyi.

Menjawab pertanyaan Berita Minggu (BM), Cik Guo berkata bagi acara riadah disokong STB seperti konsert muzik, pengunjung antarabangsa merangkumi 25 hingga 30 peratus.

Konsert Taylor Swift ‘The Eras Tour’ pada 2024 mencerminkan kesan tersebut, dengan lebih 300,000 tiket dijual dan bilangan peminat yang besar berkunjung dari negara lain.

“Seperti yang diperhatikan di bandar-bandar lain di mana Taylor Swift telah membuat persembahan, konsert ini menjana manfaat ekonomi yang cukup besar untuk sektor hotel, runcit dan makanan,” katanya.

Selain konsert, Cik Guo berkata Singapura terus mempelbagaikan tawaran muziknya menerusi format berbeza.

“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan penganjur acara untuk membangunkan dan membawa masuk acara gaya hidup, bermutu tinggi yang lain melebihi hiburan ‘live’, yang menarik untuk kedua-dua pengunjung dan warga setempat, lantas menambah kemeriahan (vibrancy) kepada landskap pelancongan kami,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg