Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harumkan nama negara sejauh Russia, Belanda demi ‘paintball’

Bukan sekadar kegiatan riadah tetapi sukan kompetitif yang membawanya ke pelosok dunia untuk bertanding
Mar 23, 2025 | 5:30 AM
Cik Hafidah Abdul Hamid (paling kiri) bersama pasukannya bertanding dalam sukan ‘paintball’ atau tembak bebola cat di Moscow, Russia pada 2017.
Cik Hafidah Abdul Hamid (paling kiri) bersama pasukannya bertanding dalam sukan ‘paintball’ atau tembak bebola cat di Moscow, Russia pada 2017. - Foto FACEBOOK RED DYNASTY PAINTBALL PARK SINGAPORE

Lengkap berpelindung muka, seragam ala tentera dan senapang dalam genggaman, Cik Hafidah Abdul Hamid mengenyitkan matanya agar dapat fokus pada sasaran.

Satu das tembakan kemudian dilepaskan tetapi bukan peluru yang keluar bertubi-tubi, sebaliknya bebola cat yang laju bertepek mengena sasaran.

Cik Hafidah, 40 tahun, kemudian berlari ligat demi mengelak daripada diburu tembakan bebola cat lawannya yang tangkas melakar strategi menyerang balas.

Kegiatan tembak bebola cat atau lebih dikenali sebagai ‘paintball’ atau tembak bebola cat ini lebih daripada sekadar kegiatan rekreasi buat wanita itu.

Namun, ia dianggap satu sukan kompetitif yang telah mendorong ibu dua anak itu sanggup ke luar negara bagi tujuan bertanding dan mewakili Singapura.

“Sebaik sahaja anda mengenakan segala perlengkapan... anda rasa seperti orang yang berbeza, macam nak pergi perang!

“Ia sesuatu yang tidak boleh dilakukan setiap hari dan ia satu kegiatan yang boleh mengurangkan tekanan diri.

“Saya suka pecutan adrenalin yang saya dapat dengan bermain ‘paintball’,” ujar penjawat awam itu dengan nada bersemangat.

Didorong cintanya terhadap sukan tersebut, Cik Hafidah telah meneroka sejauh Russia dan Belanda untuk bertanding.

Ini selain Malaysia dan Thailand yang beliau kunjung dengan lebih kerap, sekurang-kurangnya tiga kali dalam setahun, bagi melibatkan diri dalam kegiatan berpasukan yang sangat disukainya itu.

(Dari kiri) Cik Hafidah Abdul Hamid bersama rakan sepasukannya, Cik Norsheila Osman dan Cik Jane Koh Xiao Wei yang selalu bertanding bersama beliau di luar negara.
(Dari kiri) Cik Hafidah Abdul Hamid bersama rakan sepasukannya, Cik Norsheila Osman dan Cik Jane Koh Xiao Wei yang selalu bertanding bersama beliau di luar negara. - Foto HAFIDAH ABDUL HAMID

APAKAH TARIKAN ‘PAINTBALL’?

Dihubungi Berita Minggu (BM), Cik Hafidah berkongsi bahawa minatnya mula berputik lebih 15 tahun dahulu.

Pada mulanya, beliau langsung tidak tahu-menahu tentang ‘paintball’ sehingga diajak rakannya mengambil bahagian dalam kegiatan itu di Johor Bahru.

Apa yang bermula sebagai aktiviti suka-suka sahaja, bertukar menjadi ‘ketagihan’, dengan Cik Hafidah melibatkan diri dalam pertandingan pertamanya secara kompetitif dalam pasukan wanita pada 2010 di Johor Bahru.

“Apa yang istimewa tentang sukan berpasukan ini adalah walaupun anda mengalami sakit atau lebam (akibat terkena bola cat), ia memaksa anda melakar strategi dan berhubung jelas dengan rakan pasukan anda, malah melatih kepekaan anda di gelanggang.

“Jika anda satu-satunya yang masih bertahan dalam pasukan anda sambil berdepan dengan tiga orang daripada pasukan lawan, bagaimanakah anda pastikan anda boleh raih kemenangan?

“Kegiatan ini bukan untuk diri sendiri sahaja tetapi untuk seluruh pasukan,” jelasnya.

TANDING DI LUAR NEGARA MENCABAR TAPI ISTIMEWA

Pada 2016 dan 2017, Cik Hafidah menjelajah ke Moscow, Russia sebagai sebahagian pasukan wanita yang mewakili Singapura dalam pertandingan antarabangsa Piala Wanita Arena Moscow.

Pada 2016, pasukannya meraih tempat kedua dan pada 2017, mereka merebut takhta juara dan mengharumkan nama Singapura.

Pada 2019, beliau telah ke Amsterdam, Netherlands dan bertanding di Kejohanan Dunia ‘Paintball’ Persekutuan ‘Paintball’ Bersatu dan meraih tempat kelima setelah berdepan dengan lawan yang menurut Cik Hafidah, lebih hebat berasal dari Perancis dan Amerika Syarikat.

Cik Hafidah Abdul Hamid (tiga dari kiri) bersama pasukan wanitanya bertanding di Amsterdam, Netherlands pada 2019.
Cik Hafidah Abdul Hamid (tiga dari kiri) bersama pasukan wanitanya bertanding di Amsterdam, Netherlands pada 2019. - Foto HAFIDAH ABDUL HAMID

Menceritakan pengalamannya bertanding di luar negara, Cik Hafidah berkata ia semestinya mencabar, terutama dari segi cuaca.

Menukil contoh di Russia, Cik Hafidah berkata:

“Suhu waktu itu kira-kira 7 hingga 10 darjah Celsius dan pertandingan kami dalam sekitaran luar.

“Kami tidak pasti bagaimana mengenakan pakaian – adakah kami patut pakai baju berlapis-lapis supaya kami tidak rasa sejuk? Adakah kaki kami akan kejang saat kami berlari?

“Banyak perkara yang tiada kepastian, tetapi kami tetap mengharunginya demi rakan dan keluarga yang banyak menyokong kami,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa dalam keadaan cuaca sejuk, kelancaran melepaskan bola cat juga boleh terjejas dan mereka perlu kerap mengeluarkan tembakan sebagai satu strategi supaya ia tidak membeku.

Bagaimanapun, di sebalik cabaran itu adalah kenangan manis yang dicipta.

“Di sana, saya dapat menjalin banyak persahabatan dengan pemain lain dari luar negara, belajar taktik mereka, kenali mereka dan kami turut bertukar jersi sebagai cenderamata untuk dibawa pulang,” kongsinya.

Bagi negara lebih dekat dengan Singapura seperti Malaysia dan Thailand, ia sudah menjadi kebiasaan bagi Cik Hafidah bertanding di sana, dengan beliau bersama pasukannya berjaya meraih gelaran juara di beberapa pertandingan, yang terkini di Langkawi pada Disember 2024.

Cik Hafidah Abdul Hamid (empat dari kanan) bersama pasukannya bertanding di Langkawi, Malaysia pada Disember 2024.
Cik Hafidah Abdul Hamid (empat dari kanan) bersama pasukannya bertanding di Langkawi, Malaysia pada Disember 2024. - Foto HAFIDAH ABDUL HAMID

HARAP LEBIH PELUANG DI SINGAPURA

Cik Hafidah Abdul Hamid dan Encik Md Azmi Jumahat dikurniakan dua anak, (dari kanan) Md Adwa Hidayat Md Azmi dan Aura Hadirah Md Azmi.
Cik Hafidah Abdul Hamid dan Encik Md Azmi Jumahat dikurniakan dua anak, (dari kanan) Md Adwa Hidayat Md Azmi dan Aura Hadirah Md Azmi. - Foto HAFIDAH ABDUL HAMID

Sukan kompetitif ini juga sudah menjadi kegiatan keluarga buat Cik Hafidah dan suaminya, seorang penggemar sukan ‘paintball’ juga.

Setiap kali Cik Hafidah beraksi dalam gelanggang ‘paintball’, suaminya akan turut serta dalam pertandingan sama tetapi dalam pasukan lain, supaya mereka boleh bergilir-gilir menjaga anak mereka yang menonton pertandingan tersebut.

Ditanya bagaimana mereka berlatih, Cik Hafidah berkata beliau lebih tertumpu kepada mengekalkan kecergasan fizikal seperti ke gim atau berlari-lari anak pada jarak jauh kerana tidak ada banyak tempat di Singapura yang menawarkan ruang berlatih ‘paintball’.

Yang ada, katanya, lebih kepada ‘paintball’ rekreasi dan bukan ‘paintball’ kompetitif yang lazimnya memerlukan padang lebih besar.

“Saya rasa sokongan yang diberikan kepada pemain ‘paintball’ di Singapura tidak kukuh kerana ia bukan tergolong sebagai sukan Olimpik atau diiktiraf sebagai sukan dalam Singapura.

“Ia agak mengecewakan kerana masih ada orang yang minat bermain kegiatan ini dan apabila kami menang di luar negara, kami menang di bawah bendera Singapura tetapi kami tidak dapat banyak pendedahan semata-mata kerana ia bukan sukan diiktiraf di sini,” luahnya.

Bagaimanapun, hal tersebut tidak menjadi penghalang bagi Cik Hafidah untuk terus giat beraksi dalam sukan tersebut yang dianggapnya sebagai ‘sukan untuk semua’.

“ Kegiatan ‘paintball’ bukan hanya tentang kebolehan fizikal sahaja... ada yang tidak kuat berlari, ada yang berbadan besar tetapi masih cekap bermain disebabkan kemahiran mereka tepat menembak, berhubung dengan rakan berpasukan dan melakar strategi untuk pertandingan tersebut. Malah, ada yang berusia lebih 50 tahun dan masih ligat bermain sukan ini,” tambahnya.

Suhu waktu itu kira-kira 7 hingga 10 darjah Celsius dan pertandingan kami dalam sekitaran luar. Kami tidak pasti bagaimana mengenakan pakaian – adakah kami patut pakai baju berlapis-lapis supaya kami tidak rasa sejuk? Adakah kaki kami akan kejang saat kami berlari? Banyak perkara yang tiada kepastian, tetapi kami tetap mengharunginya demi rakan dan keluarga yang banyak menyokong kami... Di sana, saya dapat menjalin banyak persahabatan dengan pemain lain dari luar negara, belajar taktik mereka, kenali mereka dan kami turut bertukar jersi sebagai cenderamata untuk dibawa pulang.
 Cik Hafidah Abdul Hamid.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg