Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

ANALISIS BERITA

Semangat anak seni SG cipta lagu Raya kembali

Lebih 20 lagu Lebaran norma baru diilhamkan bakat tempatan
Apr 24, 2022 | 07:02 AM



PADA 1970-an dan 1980-an, artis Singapura berlumba-lumba menghasilkan lagu Hari Raya yang menembusi pasaran Malaysia dan Brunei.



Satu Hari Di Hari Raya ( dendangan M. Nasir), Hari Raya Hari Bahagia (Ideal Sisters), Lenggang Mak Limah (Halil Chik dan Trio Manja) dan Bersabarlah Sayang (Sanisah Huri) adalah antara lagu Lebaran artis Singapura yang malar segar hingga hari ini.



Yang muncul di fikiran ramai penggubah dan penyanyi Singapura, bila agaknya akan wujud budaya mencipta lagu Raya yang bermutu di negara ini?



Namun, sejak pandemik Covid-19 melanda dua tahun lalu, terdapat usaha gigih memacu semangat karyawan muzik tempatan untuk menghasilkan lagu Raya.



Terkurung dalam pandemik cetus idea lagu Raya



Tahun lalu, Wisma Geylang Serai (WGS) turut menganjurkan peraduan mencipta lagu Hari Raya, Ilham: Menjelang Syawal, yang mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pemuzik dan sasterawan.



Tahun ini pula, dianggarkan lebih 20 lagu Raya baru dihasilkan penggiat seni Singapura, baik bintang veteran, band, penyanyi remaja mahupun yang meningkat naik namanya dalam arena muzik tanah air.



Kelonggaran pada langkah pengurusan selamat juga membolehkan penyanyi bekerjasama sesama mereka bahkan merakam klip video yang menggambarkan kemeriahan Lebaran.



Kembalikan budaya cipta lagu Raya Singapura



Mengapa perlu ada lagu Raya baru di Singapura jika ramai yang akur lagu lama seperti yang disebut di awal rencana ini di samping beberapa lagu bintang seberang seperti Pulanglah (Datuk Aishah), Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Datuk Sudirman) dan Pulang Di Hari Raya (Noor Kumalasari) menjadi siulan?



Kata penerbit dan penggubah lagu kelahiran Singapura yang pernah bermastautin di Malaysia, Sha'aban Yahya, yang menghasilkan koleksi lagu Hari Raya bersama artis Singapura, Raya #KembaliBersama:



"Kita sudah lama tiada lagu Hari Raya ciptaan dan dendangan anak seni Singapura yang benar-benar dapat menggambarkan warna-warni Aidilfitri.



"Apabila saya dan rakan-rakan dari Yama Jive Productions duduk bersama dan memikirkan situasi suram Covid-19 yang memberi tamparan hebat buat anak seni, kami berasakan perlu untuk kami menyuntik titik-titik permulaan dan semangat baru agar industri muzik dapat kembali berkembang dalam suasana meriah Hari Raya tahun ini."



Sebanyak sembilan lagu Raya yang terdiri daripada enam lagu baru dan tiga lagu klasik yang diberi sentuhan segar tanpa mengubah melodi asal telah diusahakan sebelum Ramadan lagi.



Lagu baru dalam koleksi Raya #KembaliBersama termasuk yang berirama joget, Kemenangan Hari Raya (Elfee Ismail dan Farisha Ishak), Pesanan Lebaran (Mahani Mohd) yang berentak Latin, Raya Merubah (Arif Samsudin), Syukur Raya (Syaz Smooth dan Putri Emily) dan Hari Raya Bukan Lebaran (Ahmad Stokin).



Terdapat lagu dikir barat juga, Sendu Aidilfitri, dendangan kumpulan dikir barat Ulan.



Lagu klasik yang disuntik dengan pembaruan pula terdiri daripada Hari Raya (Danial Baharin dan Zalelo), Lebaran (Raffy Aspier dan Jive Talkin) serta Musafir Di Aidilfitri (A Romzi).



Keunikan lagu Raya kali ini



"Lagu nyanyian Arif mengambil iktibar dari suasana Hari Raya yang penuh dengan pembaruan atau langkah memperbarui diri," jelas Sha'aban.



Ahmad Stokin pula menjelaskan lagunya pula unik kerana ia bertujuan menyampaikan pesanan ringkas kepada masyarakat bukan Islam tentang makna Hari Raya yang sebenar dan ekoran sering disalah anggap sebagai Tahun Baru Islam.



Pendedahan buat bakat baru



Mengenai pemilihan artis yang baru meningkat namanya, Syaz Smooth, Zalelo dan Danial pula, Sha'aban menjelaskan pasukannya merujuk pada rencana Berita Harian (BH) pada 1 Januari lalu, 2022: 5 bakat SG yang dijangka menyinar.



"Kami akur pada potensi mereka setelah meninjau nyanyian mereka dan ingin sajikan yang terbaik dalam kalangan penyanyi generasi pelapis," jelasnya.



Zalelo yang merakam lagu Raya keduanya selepas Berteman Di Hari Raya (bersama Izat Ibrahim) berkata:



"Setelah menyanyi lagu R&B dan hip- hop, inilah kali pertama saya menyanyi lagu irama Melayu dan dipasangkan dengan Danial. Ia pengalaman yang menarik.



"Lebih menggembirakan apabila saya dapat bekerjasama dengan Encik Sha'aban, pencipta beberapa lagu kumpulan nasyid Raihan.



"Cita rasa pendengar sudah jauh berubah. Di sebalik kita gemarkan lagu lama, kita juga perlu lagu Hari Raya baru di Singapura buat generasi mendatang," katanya.



Lagu Dendang Rakyat Raya Untuk Generasi TikTok



Naib juara peraduan mencipta lagu Suria, Projek Lagu, Mohamed Zulhilmi Mohamed Ya'acob dan Nurariff Mohamed, pula mencipta lagu Hari Raya 'catchy', Pat Ketupat Lepat, yang sesuai dipasarkan dengan cabaran TikTok.



Ia menggandingkan tiga finalis peraduan Suara 2.0 WGS, Amir Mansor, Danial Baharin dan Sarah Adriana serta penyanyi muda, Mai Dhaniyah.



Kata Nurariff: "Kami ingin hasilkan lagu berkonsep dendang rakyat sempena Hari Raya yang boleh dinyanyikan beramai-ramai secara mudah.



"Kita sudah ada lagu Enjit-Enjit Semut. Saya beri idea Pat Ketupat Lepat. Dari situ, Zulhilmi membangunnya dengan pengertian mendalam."



Menurut Zulhilmi, hasil kajiannya, kekata 'ketupat' dipercayai berasal daripada kekata 'ku' dalam bahasa Jawa yang bermaksud mengakui dan 'pat' atau 'lepat' yang bererti kesilapan.



Ia adalah perlambangan Hari Raya sebagai masa untuk memohon maaf daripada orang tersayang dan sahabat-handai.



"Kami pun mendapati irama yang 'catchy' ini sesuai dijadikan cabaran TikTok. Dengan lirik yang mudah diingati dan hadam, ia mengembalikan nostalgia. Lagu ini malahan akan diputar di stesen radio di Radio Televisyen Brunei (RTB), Pelangi FM pada 30 April," katanya lagi.



Buat Mai, lagu ini sesuai untuk kembalikan mood balik kampung buat warga Singapura yang mempunyai sanak-saudara di seberang memandangkan sempadan Singapura-Malaysia sudah dibuka.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >