Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Anda nak ROK? Kena ‘Search’ dulu... ada dua band satu nama

Search dan XPDC antara band yang ‘pecah dua’, gerak dengan misi sendiri
Oct 01, 2023 | 05:31 AM



Siapa berhak menggunakan nama band legenda yang terpahat dalam ingatan Search?

Band yang dianggotai beberapa anggota asal Search dan penyanyi asal Indonesia Den Den yang bergerak tanpa vokalis ikonik Datuk Amy, yang pada mulanya mengundurkan diri kerana masalah vokal?

Atau band yang menampilkan Amy serta anggota asal Search yang membawa haluan sendiri tetapi kini bertenaga dengan suara Amy kembali mengaum di pentas?

Ini pertikaian dalam kalangan peminat tegar Search yang dewasa dengan lagu seperti Fantasia Bulan Madu, Isabella, Rozana dan Gadisku.


Terus terang, saya tiada jawapannya. Namun, nak sahaja saya kata, tidak perlu mengelirukan orang ramai dengan menggunakan nama sama. Apa salah gunakan nama baru?

Selebihnya, saya tahu dalam industri muzik perkara ini sering berlaku apabila anggota band mempunyai hala tuju berbeza, berselisih faham atau payah melepaskan nama band yang mencetus populariti buat diri mereka. Jadi, mereka ambil jalan mudah, gunakan nama ikonik atau epik yang sudah melekat di jiwa ramai.

Band rok gergasi yang terkenal dengan lagu C.I.N.T.A, XPDC, pun berpecah dua dengan XPDC Kita Peng Yu yang kini bergerak dengan vokalis baru Ary Fahrenheit, yang menggantikan arwah Mael sebagai vokalis, dan XPDC Militia dengan Izo sebagai penerajunya.


Search terbahagi dua kepada sebuah kumpulan yang dianggotai Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bes), Den Den (penyanyi), Firdaus (papan nada) dan Minn (dram), dan sebuah lagi yang dianggotai Amy (penyanyi), Nasir (bes), Hillary Ang (gitar) dan Man Kidal (gitar).

Kebetulan pula, Rockin’ Temasek 2023 Asia Tour Singapore (menampilkan Den Den selaku vokalis) baru sahaja dilabuhkan tirainya.


Tidak lama selepas itu, diumumkan pula konsert Search: Fantasia Bulan Salju pada 19 Januari 2024 di Teater The Star, Pusat Seni Persembahan The Star, dengan persembahan Amy dinanti-nanti.


Orang mesti suka tonton yang original walaupun suara dah tak sehebat seperti zaman muda-muda dulu.


Sama apabila saya meminati band Chicago. Mati-mati lebih suka suara Peter Cetera daripada penggantinya, Robert Lamm. Lagipun, Peter masih boleh menyanyi. Robert dah tercungap-cungap semasa saya menontonnya semasa satu konsert di Stadium Tertutup Singapura, sebelum Covid-19,” ujar peminat tegar muzik rok yang saya panggil Pak Din.

Apabila dua berita Search yang berasingan dimuat naik ke Facebook, saya seronok membaca pelbagai komen pembaca yang rancak berbincang tentang siapa sepatutnya menggunakan nama Search bagi menggerakkan band mereka.

Berita Den Den kurang interaksi menarik 1,200 pembaca untuk menyukai rencana itu, dengan hampir 120 komen dan 11 perkongsian. Kisah Amy dan Search yang akan berkonsert awal 2024 pula dikongsi 19 orang, mendapat 68 komen dan disukai lebih 200 warganet.

Pemuzik Ed Dayakz mengulas: “Ini baru Search. Kalau pergi konsert Search tanpa Amy ibarat tengok orang berkaraoke lagu-lagu Search sahaja.”

Warganet He Ser Li pula membidas sambil menambah: “Konsert Search dengan Amy menang daya persembahan sahaja. Suara dah ke laut, banyak suruh penonton nyanyi sebab dah tak larat lagi. Apa nak buat? Nada lagu tinggi, usia dah lanjut. Walau apa pun, ‘Pheewit’!”

Mengenai Den Den yang dikatakan masih malu-malu pun mencetus percanggahan pendapat. Syafa S. Sam berkata: “Saya dah tengok. Den Den nyanyi bagus, Suara mantap ‘power’! Tapi memang betullah dia tak pandai berinteraksi dengan penonton. Macam malu-malu dan serba tak kena.”

Fadzly Ishak tidak setuju dan membela Den Den: “Den Den penyanyi, bukan buat forum. Dia perlu pekik untuk lontar suara. Bagaimana nak berbual dengan peminat? Dah penat dan harus lanjutkan konsert dengan menyanyi.”

Apa yang boleh saya katakan ialah mewujudkan band legenda yang berdaya bertahan lama dalam industri muzik Nusantara tidak mudah.

Search, Wings dan XPDC adalah yang masih bertahan dan tidak putus-putus menyajikan peminat dengan lagu nostalgia zaman kegemilangan mereka. Kita dengar dan langsung teringatkan zaman persekolahan yang berdekad lamanya berlalu pergi.

Sekarang nak dapatkan band rok yang bagus macam mereka pun payah. Yang ada tu cuma one-hit wonder, iaitu yang berjaya menghasilkan satu lagu hit sahaja dan kemudian hilang sepi tanpa berita.


Saya pernah bertanya vokalis Wings, Awie, mahupun wakil XPDC tentang perpaduan band rok yang kekal hingga ke hari ini. Rata-rata mereka kata yang dihargai pada usia senja kini ialah persahabatan yang dibina. Mereka seiringan dan susah senang bersama memajukan kerja seni dalam dunia hiburan tidak menentu lagi penuh pasang surutnya.

Datuk Ramli Sarip daripada Sweet Charity pula pernah berkata kepada saya mengenai keakraban anggota kumpulannya.

“Seingat saya tak pernahlah kami bergaduh sampai masam-masam muka hingga ke hari tua. Kami cuma ada satu Sweet Charity, tak berpecah belah, saling menghormati dan bergerak untuk kemajuan bersama,” ujarnya.

Band ada keistimewaan sendiri berbanding artis solo. Nak ke mana-mana, beramai-ramai. Tak terasa terbiar gementar seorang diri atas pentas.

Beberapa anggota band ‘otai’ menceritakan kepada saya ketika awal-awal main muzik sebagai sebuah band, mereka tinggal berhimpit dalam sebuah rumah kecil. Walau tidak selesa, semangat sepasukan atau ukhuwah bak adik-beradik itu meringankan beban kesusahan cari makan sebagai pemuzik.

Meskipun lima atau empat kepala tidak semestinya bergerak sehala dan ada perselisihan faham dan kadangkala rasa iri hati, semangat satu hati band itu payah dicari ganti. Boleh menangis apabila diminta bubar atau tatkala semua anggota sudah terasa lelah dimamah usia.

Walau apa pun, persaudaraan yang dibina dalam pergerakan band tidak seharusnya dibiar terputus hanya kerana ego atau keengganan memaafkan rakan sekumpulan yang mungkin pernah menyakitkan hati. Nak move on pada usia senja? Tidak perlu membenci dan tidak perlu menjatuhkan. Kalau pun enggan ada sebarang urusan dengan orang berkenaan lagi, bual dan berurusan bila perlu sahaja secara profesional.


Fenomena dua atau tiga band berkongsi nama yang sama ini juga wujud di negara Barat. Bezanya, kerana dunia Barat luas, jadi kemungkinan band yang tidak saling mengenali boleh menggunakan nama band yang sama secara sengaja ataupun tidak. Tapi ada ketikanya band yang sudah ‘dimatikan’ dihidupkan semula.

Misalnya, band Iron Maiden, yang sebenar dibentuk di Bolton, Manchester, Britain pada 1969. Irama rok yang dibawakan persis kumpulan Led Zeppelin dan Cream. Pergerakan band itu terhenti pada 1976 apabila gitaris Ian Boulton-Smith meninggal dunia kerana barah.

Sebuah lagi band Iron Maiden ditubuhkan Steve Harris pada Krismas 1975 ketika band asal belum lagi melabuhkan tirainya. Katanya, inspirasi bagi nama band itu diperolehi daripada adaptasi filem The Man in the Iron Mask.


Siapa yang berjaya diingati ramai sebagai bintang ternama akhirnya? Band Iron Maiden yang diasaskan Harris ternyata berhasil memikat hati pendengar. Band asal dikatakan banyak menyimpan khazanah lagu yang belum diterbitkan.


Pada 2006, band yang kemudian dikenali sebagai The Bolton Iron Maiden menerbitkan lagu lama mereka itu dengan hasil jualan album digunakan bagi kajian barah. Dikatakan Iron Maiden yang baru sangat menyokong penghasilan semula lagu lama band asal.


Begitulah namanya semangat setiakawan antara band yang tidak pudar hanya kerana penggunaan nama band yang serupa.


Tapi lain pula halnya dengan band Nirvana, yang asalnya merupakan duo pop psikedelik yang ditubuhkan di London dan menghasilkan album 1967, The Story of Simon Simopath, bagi album konsep pertama mereka.


Lagu hit mereka dalam senarai ‘Top 40’ ialah Rainbow Chaser. Mereka bubar pada 1971 sebelum kembali pada pertengahan 1980-an dan kekal aktif pada waktu sebuah lagi band Nirvana muncul.


Nirvana kedua ditubuhkan di Aberdeen, Washington, pada 1987 oleh gitaris dan penyanyi Kurt Cobain dan pemain bes Krist Novoselic. Ia menjadi salah sebuah band terbesar dunia dengan impaknya masih dapat dirasakan selepas pemergian Cobain pada 1994.


Tidak seperti Iron Maiden, band asal Nirvana tidak suka akan penubuhan Nirvana kedua yang jauh lebih terkenal. Maka, mereka pun mengheret kumpulan kedua itu ke mahkamah tetapi menghuraikannya di luar mahkamah dengan bayaran AS$100,000 ($136,565).


Apa ada pada nama? Kerana nama yang sama, bukan anggota band sahaja, malah peminat mereka boleh bertelagah. Sebaiknya, brader-brader mesti chill’ dan ingat pada misi asal mengetengahkan mahakarya rok yang dinilai baik apabila liriknya mampu mencetus nostalgia atau menimbulkan kesedaran dalam jiwa pendengar tentang dunia fana.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >