Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Animasi ‘Elemental’ papar cinta sejati jejaka ‘air’ dan gadis ‘api’

Pixar dan Disney sebar kepentingan dunia lebih inklusif dalam karya kreatif
Jun 19, 2023 | 05:31 AM



Daya tarikan filem animasi yang sarat nilai kemanusiaan dan sering menyampaikan nasihat yang tersirat menjadi faktor yang membuatkan ramai terpanggil untuk ke pawagam untuk menyaksikannya.

Elemental, filem animasi komedi romantis terbitan bersama Walt Disney Pictures dan Pixar Animation Studios, adalah yang dinanti-nantikan penulis kerana ia meneroka kesegaran jalan cerita yang berlandaskan empat unsur alam iaitu air, api, tanah dan udara yang wujud dalam bentuk kelompok masyarakat yang tinggal dalam ruang bersama.


Diarah juruanimasi Amerika, Peter Sohn, yang sebelum ini mengarah filem animasi, The Good Dinosaur, ia mengisahkan percintaan gadis daripada kaum api yang panas baran tetapi bersemangat waja, Ember Lumen, dengan pemuda ‘cool’ berjiwa luhur dan tenang selalu, Wade Ripple, daripada kelompok masyarakat air.


Kalau kita sudah biasa dengan kisah cinta antara dua darjat, Elemental meneroka pula perjalanan cinta si air dan api yang berbeza kehidupan dan personalitinya bak langit dengan bumi.







Syabas bagi penulis naskhah filem ini, John Hoberg dan Kat Likkel, yang amat kreatif dalam mengolah plot filem berdasarkan ciri-ciri unsur muka bumi.

Mungkin ia misi mendidik anak-anak tentang apa yang wujud dalam unsur api, air, tanah dan udara.

Cuma dalam sesi pratonton di pawagam Golden Village VivoCity baru-baru ini, kelihatan Elemental bukanlah filem yang boleh dihadam si cilik berusia lapan tahun ke bawah. Ini kerana topiknya agak berat dan mungkin menggambarkan kesulitan masalah percintaan orang dewasa.


Beberapa anak kecil berusia empat dan lima tahun di belakang penulis kelihatan payah berdiam di kerusi empuk pawagam dan kerap bertanya kepada ibu bapa mereka apakah yang cuba disampaikan dalam filem itu.

Rata-rata, mereka tidak faham dan hanya mampu kagum dengan animasi janaan komputer yang berwarna-warni bak pelangi atau manisan ‘candy’.

Sohn dikatakan berupaya mengusulkan konsep Elemental ini kepada pihak Pixar berdasarkan idea awal sama ada api dan air boleh berhubung dengan satu sama lain. Inspirasi bagi filem ini pula diperolehi daripada zaman belia Sohn dewasa sebagai kaum penghijrah ke kota New York pada 1970-an.


Terdapat perbezaan budaya dan kaum di kota New York sementara jalan cerita filem ini meraih inspirasi daripada filem romantis seperti, Guess Who’s Coming To Dinner (1967), Moonstruck (1987) dan Amelie (2001).


Bagi menghasilkan filem ini, Sohn dan pasukannya menonton video YouTube kunjungan ke Venice dan Amsterdam bagi mendapatkan inspirasi. Kerana komplikasi animasi yang perlu dijana, filem ini mengambil masa tujuh tahun untuk dihasilkan.

Penulis dapat rasakan unsur motivasi yang diterapkan dalam filem ini menerusi watak Ember, gadis kaum api yang tiada masalah meneruskan perniagaan keluarganya di pasar raya kecil di Kota Api. Masalahnya hanyalah dia payah mengawal api kemarahan dalam dirinya.

Suara pelakon dan model Leah Lewis yang berketurunan Cina digunakan bagi menghidupkan watak Ember.

Ember bersemangat waja dan tidak gentar meluahkan apa yang terbuku dalam jiwanya. Sulit untuknya bercinta dengan Wade kerana apabila dia bersentuh tangan dengan jejaka itu, terpadamlah dirinya sebagai api yang menyala.

Wade pula jauh beza daripada Ember yang tampak tegang dan kurang relaks. Wade lebih ‘cool’, suka bergurau dan mampu membuat pilihannya sendiri dengan lancar. Dia adalah Inspektor di Kota Elemen yang dalam hatinya ada taman sehingga dia mudah rasa emosi dalam masa singkat.

Pelakon asal Mauritania, Mamoudou Athie, dipilih untuk meminjamkan suara emasnya kepada watak Wade.

Seperti dalam banyak filem cinta, akan ada watak bapa yang garang seperti Bernie Lumen yang ingin bersara dan ingin anaknya Ember mengendalikan pasar raya yang diusahakannya dengan penuh jerih payah. Bernie tidak begitu mempercayai kaum air.

Cinder Lumen, ibu Ember, juga sering meninjau anak tunggalnya kerana tidak percayakan Wade.

Namun, bak peribahasa ‘Ikan di laut, asam di darat, dalam kuali bertemu juga’, jodoh Ember dan Wade tidak dapat disangkal.

Pengorbanan itu amat perlu dalam mengekalkan hubungan dan ini mereka lakukan tanpa ingin mengecewakan ibu bapa mereka.

Ibu Wade, Brooke Ripple, pula dilihat sebagai ibu penyayang dan menyambut Ember dengan tangan terbuka di rumah mewahnya.

Wujud pula watak-watak sampingan seperti Clod, pemuda daripada kelompok tanah yang menaruh hati pada jirannya Ember serta Gale Cumulus, majikan Wade yang merupakan wanita daripada kelompok udara yang baik hati dan memahami situasi unsur lain di sekelilingnya.

Elemental menggambarkan kisah perjuangan sebuah keluarga (keluarga Lumen) dalam mengenal erti susah payah untuk membina jaya dan kesenangan.


Ia juga kisah menerima perbezaan dalam kalangan teman-teman kita asal sahaja kita mempunyai misi bersama untuk bersikap ihsan dan saling membantu atas nama keharmonian.

Animasi ini agak dalam juga untuk pengamatan si cilik yang belum masak tentang asam garam kehidupan.

Bagaimanapun, ia menawarkan satu jaminan dunia lebih inklusif memandangkan bukan sahaja empat unsur dipaparkan, malah, pelakon peminjam suara filem ini juga datang daripada kaum berbeza – Cina, Mauritius dan Filipina.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >