Enggan lagi terheret dalam khabar angin video intim tular membabitkan bekas teman tapi mesranya Meerqeen dan aktres Mimi Lana, pelakon Anna Jobling bertegas bukan tanggungjawabnya untuk bercakap bagi mewakili hero Melur Untuk Firdaus itu.
“Dia tak ada kena-mengena dengan saya. Kalau nak tahu apa yang jadi, kena tanya kepada orang yang terlibat,” katanya kepada media seberang Kosmo! Online.
“Dah sampai masa, saya rasa macam ini kali terakhir saya jawab isu yang melibatkan dia (Meerqeen). Bukan tanggungjawab saya untuk cakap mewakili dirinya,” ujar Anna, 23 tahun.
Beliau juga meminta khalayak ramai lebih memberi tumpuan kepada kerjaya seninya.
Menurut Anna, urusan Meerqeen dan Mimi Lana adalah di luar pengetahuannya yang kini sibuk menjalani penggambaran.
“Sebenarnya saya tak ada komen apa-apa fasal apa yang berlaku sebab saya sendiri pun tak tahu butiran terperinci atau apa yang terjadi. Saya dekat sini (Bali) jalani penggambaran sahaja sepanjang masa dan nak fokus kerjaya saya yang masih panjang lagi perjalanannya.
“Ada banyak lagi perkara belum saya capai dalam hidup. Saya harap semua orang lebih beri perhatian pada kerjaya, bukan situasi yang berlaku,” pintanya lagi.
Menurut pemilik nama sebenar Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman itu, tumpuan kini hanya kepada hal diri sendiri serta keluarga.
Ditanya mengenai ketiadaan gambar aktor terbabit dalam Instagram mahupun wadah lain termasuk bahan promosi Melur Untuk Firdaus, Anna menyatakan segala hantaran dalam media sosial tiada kaitan dengan mana-mana individu.
Tegas selebriti berdarah campuran Melayu-Inggeris itu lagi, orang terdekat dalam kehidupannya sedia maklum beliau tidak akan memuat naik isu peribadi sebagai perkongsian umum.
Sebelum ini, tular video dalam beberapa platform menunjukkan aksi dua individu yang didakwa selebriti di sebuah pusat hiburan. Ia dikatakan melibatkan Meerqeen, 22 tahun dan Mimi Lana, 27 tahun, yang sedang menjalani penggambaran bersama-sama.
Kontroversi itu disyaki mempunyai kaitan dengan Meerqeen apabila Anna menaikkan ciapan “puzzle completed” (teka-teki terjawab) selain memadamkan foto bersama aktor tersebut.
Selama ini, walaupun menolak dakwaan wujud hubungan istimewa dengan Meerqeen, ramai mendakwa hubungan Anna dan bintang tampan itu sebenarnya lebih daripada sahabat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg