Sering kali, netizen beranggapan bahawa jelitawan Malaysia, Anna Jobling, 24 tahun, tidak mampu membawakan watak-watak dengan penampilan wajah buruk atau mencabar dek paras rupanya yang menawan.
Ketika Anna, pelakon kacukan Inggeris-Melayu, ditawarkan watak hantu dalam filem seram, Lembayung, ramai juga yang tidak menyangka pelakon secantik beliau mampu membawakan watak di luar zon selesanya.
“Sewaktu kecil, saya memang gemar menonton filem hantu. Lagi-lagi, filem hantu dari Indonesia.
“Sebagai pelakon, saya ingin menunjukkan kebolehan melakonkan pelbagai watak selain watak heroine dalam drama dan filem seperti biasa.
“Apabila mendapat tawaran untuk berlakon dalam filem Lembayung di Indonesia, tentunya saya sangat teruja.
“Sukar untuk saya menolaknya,” kata Anna, ketika ditemui Berita Minggu (BM) di Istana Ballroom pada 29 November, sempena sesi bertemu media yang dihadiri sehari sebelum terlibat dalam persembahan ‘live’ kumpulan lawak, Sepahtu.
Sepahtu Reunion Live Tour di Arena@Expo (Dewan 7) pada 30 November, merupakan anjuran Eventify Singapore.
Anna atau nama sebenarnya, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling, sebagai artis undangan.
Menyentuh tentang pembabitannya dalam filem terkininya, Anna berkongsi beliau sanggup ‘menggantungkan diri’ selama lapan jam untuk menjayakan watak sebagai ‘Doktor Tantri’ dalam filem Lembayung.
Enggan disebut sebagai pelakon yang hanya mampu membawakan watak ‘jelita’, beliau mengaku berani melakukan aksi itu kerana kru yang bertugas dalam set penggambaran sangat profesional dalam memastikan keselamatannya.
Sepanjang lapan jam itu, Anna terpaksa makan dan tidur dalam keadaan tergantung.
Selain Lembayung, beliau juga terlibat dalam filem bertemakan keagamaan dan poligami berjudul, Laut Tengah.
“Sebelum penggambaran Lembayung, saya sudah pun dalam proses pembikinan Laut Tengah. Filem ini lebih ke arah keagamaan dan poligami.
“Orang-orang di set Laut Tengah sangat ramah dan banyak membantu dalam mengasah bahasa Indonesia saya.
“Mereka juga sangat terbuka untuk belajar bahasa dan budaya Malaysia,” jelas Anna.
Penglibatannya dalam industri perfileman Indonesia tidak hanya mengharumkan nama persada hiburan Malaysia, malah membuat masyarakat setempat tercengang dengan kemampuannya memainkan watak-watak yang mencabar.
Komitmen Anna dalam mendalami watak sudah tidak diragukan lagi.
Beliau bahkan menghadirkan diri dalam kelas lakonan dalam bahasa Indonesia demi menambah kesan pada lakonannya agar pesanan mudah diserap oleh pencinta hiburan di Nusantara.
Tidak menang tangan, Anna juga diberi peluang untuk mengadili pertandingan melawak, Muzikal Lawak Superstar Musim Keempat (MLS4).
Walau kali pertama menggalas amanah sebagai juri dalam satu pertandingan melawak, nasihat oleh pelawak handalan seperti Saiful Apek dan Harith Iskander membantunya melaksanakan tugas dengan baik.
Beliau menambah:
“Kalau soal menjadi juri memang susah. Sebab saya sendiri tidak ada pengalaman dalam bidang lawak. Jadi saya cuba elak memberi ulasan tentang ‘punch line’ atau kata pikat.
“Saya hanya memberikan pandangan mengenai apa yang saya suka dan perkara yang boleh diperbaiki dalam menambah lagi kesan jenaka yang disampaikan,” ujarnya.
Dalam Sepahtu Reunion Live Tour yang berlangsung di Arena@Expo (Dewan 7), pada 30 November, Anna membawakan watak sebagai dirinya sendiri.
Beliau juga tidak terlepas peluang menampilkan sisinya yang mencuit hati meskipun harus melakukannya secara spontan.
“Saya seronok apabila dipanggil Sepahtu untuk membuat persembahan di Singapura. Tak sangka pula mereka akan menjemput saya lagi.
“Sebelum ini, saya pernah membuat persembahan bersama Sepahtu di Kuala Lumpur. Sebabkan tidak ada skrip, semua aksi itu dilakukan secara spontan.
“Kadangkala tertanya juga, mengapalah harus beraksi lawak sedemikian rupa? Mahu tak mahu, saya tetap perlu bersedia tidak kira apa pun situasi yang berlaku di atas pentas,” ujar Anna.
Kerja kerasnya menempa nama dalam industri hiburan Malaysia membuahkan hasil setelah memenangi Anugerah Aktres TV Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian Malaysia (ABPBH) Ke-36.
“Sokongan peminat sangat penting dan bermakna bagi saya. Tidak adanya saya jika tanpa mereka.
“Lagi pula, saya bekerja keras bukan kerana mengejar nama atau anugerah tetapi untuk membanggakan orang di sekeliling saya terutamanya keluarga dan semua penyokong.
“Alhamdulillah, saya anggap inilah rezeki yang sudah tertulis. Selepas ini, saya akan terus bekerja keras untuk mengasah lagi bakat yang ada,” tambahnya.
Sementara itu, selain filem Duyung: Legenda Aurora, Anna akan melancarkan dua filem dan satu drama bersiri di Indonesia pada 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg