Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Finas bangga Anna Jobling jayakan 2 filem Indonesia, ‘Lembayung’ dan ‘Laut Tengah’

Oct 9, 2024 | 5:30 PM
Pelakon dan peragawati Malaysia Anna Jobling tampil dalam dua filem Indonesia ‘Lembayung’ dan ‘Laut Tengah’ yang akan ditayangkan pada 2024.
Pelakon dan peragawati Malaysia Anna Jobling tampil dalam dua filem Indonesia ‘Lembayung’ dan ‘Laut Tengah’ yang akan ditayangkan pada 2024. - Foto IG ANNA JOBLING

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Kamil Othman, menyifatkan pencapaian Anna Jobling sebagai pelakon utama dalam dua filem Indonesia, Lembayung dan Laut Tengah sebagai satu kebanggaan besar buatnya dan industri perfileman tanah air.

Anna, 24 tahun, yang nama sebenarnya adalah Anna Ellisa Gustin Jobling, dipuji kerana berjaya menerajui dua filem tersebut yang ditayangkan pada 2024.

Dalam laporan Berita Harian Malaysia (BHM) pada 8 Oktober, Kamil berkata bukan mudah bagi pelakon tempatan mendapat kepercayaan memegang watak utama dalam filem terbitan Indonesia, memandangkan kesukaran filem tempatan untuk menambat hati penonton di negara seberang.

“Ini adalah pencapaian yang patut dibanggakan kerana Anna berjaya memegang watak utama dalam filem terbitan Indonesia,” katanya.

Secara peribadi, Kamil yakin kejayaan Anna akan memperkukuhkan lagi hubungan antara industri filem Malaysia dengan Indonesia, sekali gus membuka lebih banyak jalan untuk bakat tempatan menempa nama di peringkat antarabangsa.

“Finas berharap kerjasama antara Malaysia dan Indonesia akan semakin kukuh dengan lebih banyak projek filem bersama yang komersial, terutamanya Malaysia menjadi Pengerusi Asean tahun depan,” katanya.

Tambah Kamil, Finas sedang merangka dasar dan strategi baru untuk memajukan industri perfileman tempatan ke peringkat antarabangsa.

Anna pula meluahkan rasa syukur dan gembira kepada Kamil atas penghargaan yang diberi.

“Kejayaan ini bukan milik saya seorang. Ia juga adalah hasil sokongan ramai pihak termasuk pengurusan, pasukan penerbitan dan peminat. Saya teruja untuk tingkatkan usaha dalam mengangkat nama industri perfileman Malaysia ke tahap lebih tinggi,” kongsi Anna.

Beliau turut melahirkan harapannya agar pencapaian ini dapat memberi peluang kepada pelakon dan penggiat seni di Malaysia untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Anna kini sibuk menjalani penggambaran filem susulan Duyung (2008), Duyung: Legenda Aurora, yang diarahkan Professor Madya. Datuk Dr A Razak Mohaideen.

Selain Anna, filem terbitan KRU Studios dengan kerjasama 8 Bit Studio serta Primeworks Studios (PWS) itu turut dibintangi Datuk Yusry Abdul Halim, Maya Karin, Saiful Apek, Yasmin Hani, Ayie Floor 88, Yassin Senario, Nadia Brian, Kumpulan Zero, Aniq Aqil, Aidilia Hilda, A Shukoor Mohaideen dan ramai lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg