Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Anuar Zain hanya mohon doa, enggan peminat bazir beli hadiah

Raja Balada M’sia hargai sumbangan komposer dan penulis lirik dalam misi kekal relevan
Jan 25, 2024 | 01:34 PM



Cukup dengan titipan doa, Anuar Zain tidak mahu peminat menyusahkan diri memberi hadiah kepadanya pada ‘showcase’, Anuar Zain 40 Exclusive Up Close And Personal di JioSpace, Petaling Jaya, Selangor, pada 17 Februari depan.


Beliau, yang bakal meraikan ulang tahun ke-54 pada 15 Februari, sebaliknya menyarankan peminat menggunakan wang untuk menikmati kopi sambil bersantai bersama teman, bukan dibazirkan dengan membeli hadiah kepadanya.

Berkongsi butiran mengenai persembahan eksklusif itu kelak kepada Berita Harian Malaysia (BHM), Anuar yang popular dengan lagu Lelaki Ini berkata, idea timbul selepas peminat yang hadir pada Anuar Zain 40th Anniversary Concert di Stadium Malawati Shah Alam, Oktober tahun lalu, mengaku masih belum boleh ‘move on’ dengan acara berkenaan.


“Selepas konsert itu, saya banyak dapat pesanan langsung (DM) daripada peminat yang menyatakan masih tidak boleh ‘move on’ (tidak boleh lupa) dengan persembahan pada malam itu.


“Hingga hari ini, setiap kali saya muat naik hantaran ke laman sosial, mesti ada peminat tinggalkan komen sama. Selepas berbincang dengan pasukan kerja, kami capai kata sepakat anjurkan showcase yang eksklusif khas buat peminat yang masih tidak boleh ‘move on’.


“Selain itu, peminat yang tidak sempat hadir pada konsert lalu, rebutlah peluang pada showcase ini kerana dibuka untuk 1,000 penonton sahaja.


“Alhamdulillah, sejak jualan tiket dibuka tempoh hari, hampir 80 peratus tiket sudah dijual,” katanya ditemui di sesi santai bersama media di ibu negara, baru-baru ini.

Anuar berkata beliau bakal menyanyikan kira-kira 10 lagu pada showcase itu. Namun, bilangan lagu mungkin bertambah mengikut kemurahan hatinya.

“Siapa yang biasa menonton konsert saya tentu tahu, saya tidak menyanyi 10 lagu sahaja. Bilangan lagu biasanya bertambah, mungkin daripada persembahan selama sejam setengah boleh jadi dua atau tiga jam.

“Lagipun, ini adalah persembahan yang saya namakan ‘up close and personal’ (berkonsep lebih mendekati peminat). Saya jarang buat persembahan begini di mana saya akan bersantai-santai dan beramah mesra dengan peminat.


“Pada konsert tempoh hari, saya tidak sempat turun pentas dan berjumpa peminat. Jadi, kali ini, saya akan turun dan melayani peminat sepuasnya.

“Peminat juga boleh membuat permintaan lagu pada hari itu,” katanya yang menghitung hari untuk menjayakan persembahan eksklusif itu.

Ditanya rahsia membuatkan peminat terus ‘melekat’ dengannya biarpun ramai pelapis muda mula menawan pentas seni, Anuar mengakui tiada jawapan untuk soalan itu.

Katanya, mungkin karakter dan personaliti yang disenangi peminat, membuatkan mereka setia.

Namun, tambah Anuar, sepanjang empat dekad mengabdikan diri di pentas seni, beliau bernasib baik dipertemukan dengan ramai insan hebat seperti komposer dan penulis lirik.

Selain vokal yang dikurniakan Tuhan, tanpa insan hebat itu, tidak mungkin Anuar berada sejauh ini.

“Banyak orang (penyanyi) tidak berterima kasih kepada penulis lirik dan komposer, sedangkan mereka yang menyumbang kepada kerjaya seseorang penyanyi.

“Tanpa lagu dan lirik yang bagus, pihak pengurusan dan mereka yang menjadi tulang belakang kepada seseorang penyanyi, tidak mungkin saya mampu kecapi apa yang ada sekarang.

“Saya tidak boleh lakukan semua ini sendirian. Peminat mungkin tidak nampak mereka yang di belakang tabir ini.

“Hakikatnya, mereka adalah insan yang sangat berjasa dalam membentuk imej seseorang penyanyi dan pelakon,” katanya lagi.

Biarpun sudah berpuluh tahun bergelar penyanyi, Anuar mengakui masih tidak dapat mengagak kelompok peminat yang datang daripada latar belakang dan karakter berbeza.

Anuar berkata ada segelintir peminat tampak seperti pencinta lagu Datuk M Nasir dan Faizal Tahir, namun masih membeli tiket menyaksikan konsertnya.

“Secara jujur, saya tidak tahu bagaimana karakter peminat saya. Ada yang tampak seperti individu yang ‘layan’ konsert rok, tetapi, gigih datang menyaksikan konsert saya.

“Selain itu, saya terkejut melihat anak muda seawal usia 20-an boleh minat lagu saya. Ada yang masih muda tetapi boleh menyanyikan lagu Sedetik Lebih dan Keabadian Cinta yang membuatkan saya bersyukur,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >