Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

 SPEKTRA SENI

Apa dah jadi? Cari perhatian atau bina jenama semula?

Setelah lama berdiam, penampilan terkini Aizat Amdan dan Hafiz Suip buat warganet tertanya-tanya
Oct 30, 2023 | 05:30 AM



Sudah lama dua penyanyi, komposer dan penulis lirik berbakat dari seberang Tambak yang berusia 30-an tahun ini menyepikan diri. Lama juga saya tak dengar berita mereka ataupun mahakarya baru yang mereka hasilkan seperti dahulu.

Tahu-tahu nama Aizat Amdan, 34 tahun dan Hafiz Suip, 33 tahun, pula menjadi sebutan di media sosial kerana mereka kembali tetapi dengan penampilan yang agak mengejutkan dari segi busana yang digayakan mahupun warna rambut yang ditayangkan.

Apa sudah jadi? Mungkin itu persoalan yang bermain di minda ramai pengamat dunia hiburan termasuk saya sendiri yang terkebil-kebil memandang foto terkini mereka.

Imej budak baik atau ‘Goody Two Shoes’ mereka bertukar menjadi pelik atau bak pemberontak. Apakah ini penjenamaan semula?


Aizat yang terkenal dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu dan Jangan Menangis boleh buat warganet menangis apabila tiada angin dan tiada ribut menjadi bualan hangat warganet selepas muncul dengan fesyen pelik, berbaju biru yang dipadankan dengan korset serta seluar pendek berona metalik pada konsert Yuna, Yunaverse, baru-baru ini.


Ada bahkan yang menyamakan penampilannya persis bintang Barat, Sam Smith, yang selalu mengejutkan ramai dengan gaya fesyen flamboyan.

Hafiz pula yang dikenali kerana suara merdunya yang mendayu-dayu mendendangkan lagu, Awan Nano dan Kisah Cinta Kita, pula tampil dengan rambut berwarna hijau, seakan-akan yang digayakan artis hip-hop yang selalunya mahu ketengahkan imej ‘rebel’.


Hafiz hanya menulis di ruangan kapsyen, “Definisi bapak kau hijau”.

Sungguhpun begitu, sedang wujud warganet yang masih hairan dengan penampilannya itu, ada juga yang menyambut baik imej baru Hafiz yang dikatakan persis pelakon antarabangsa, Mackenyu Arata, yang memegang watak Roronoa Zoro dalam drama One Piece.


Sejauh ini, belum ada penjelasan apa-apa daripada kededua penyanyi.

Kehidupan diteruskan seperti biasa. Aizat menghasilkan bersama lagu untuk anak-anak di Gaza yang diuji dengan jerih payah tidak berkesudahan manakala Hafiz pula menggayakan rambut hijaunya sambil menyanyi di sebuah majlis kahwin.

Saya kira mereka ada sebab tersendiri untuk mengetengahkan gaya penampilan yang berlainan pada 2023. Sebelum ini, kita pun sudah lihat sebilangan penyanyi dan pelakon yang bertukar imej dan penampilan atas nama penjenamaan semula.

Penjenamaan semula ini perlu bagi memberi suntikan segar pada kerjaya seorang artis tetapi kadangkala ia juga berisiko menjatuhkan nama mereka seandainya tersilap langkah. Sebagai artis penjenamaan semula itu membuka peluang memperbaharui imej artis, mudahkan mereka berhubung dengan kelompok peminat baru mahupun demi menjana pertumbuhan artistik yang sihat untuk berkongsi cerita dan pengalaman baru.

Artis sendu boleh kembali bermaya. Peluang baru terbuka manakala peminat juga ingin tahu lebih tentang artis yang buka lembaran baru di sebalik kegagalan semalam. Orang mula nampak bakat, begitu juga dengan industri sekeliling.

Sudah ada contoh artis yang kerjayanya tiba-tiba sendu kerana tiada projek atau sudah wujud terlampau ramai artis muda dengan idea luar biasa dan mesra TikTok yang lebih menarik perhatian pendengar muzik dan warganet.

Ia akan mendesak artis yang lebih mapan untuk rasa tersisih lantas mereka dengan segera terdesak untuk membawa pembaharuan agar nama mereka disebut-sebut semula di media dan menjadi perbincangan hangat di dalam talian.

Terdapat beberapa artis Barat yang berjaya menjenamakan diri mereka semula, misalnya, selepas berjaya mengatasi masalah seperti ketagihan dadah atau terbabit dengan jenayah.

Sebagai contoh, pelakon Robert Downey Jr yang bergelut dengan masalah dadah dan arak sehingga akhirnya berjaya dipulihkan pada 2002 selepas keluar masuk pusat pemulihan.

Hanya dengan tekad bulat dan bakat yang luar biasa, beliau bangkit semula dengan membintangi filem, Avengers: Endgame, yang membawa pendapatan AS$75 juta ($103 juta). Beliau merupakan pelakon yang dibayar paling banyak bagi projek tersebut.


Christina Aguilera juga melalui proses penjenamaan semula buat beberapa kali dari segi fesyen, video muzik dan konsep lagu yang dipersembahkan.

Walau apa pun, berbekalkan suaranya yang lunak dan masih bertenaga, beliau tetap dinilai tinggi dalam pasaran berbanding rakan seangkatan yang menjadi pesaing dahulu iaitu Britney Spears yang dikatakan kini mengalami banyak krisis kehidupan sehingga ada yang mendakwa dirinya tidak siuman dek hantaran Instagram yang membuat ramai tertanya-tanya.

Dunia hiburan sentiasa menekankan tentang pakej, baik suara atau rupa sang penyanyi mahupun keupayaannya berdaya tahan lama. Di sebalik segala kontroversi, ketenangan artis itu dalam mengharungi segala kecaman warganet agar tidak mudah melatah juga perlu.

Mudah-mudahan, kita masih tetap dapat mendengar karya bermutu daripada Aizat dan Hafiz dalam masa terdekat sebab kadangkala tidak semestinya imej baru itu akan menyenangkan peminat.

Dalam persaingan sengit dunia hiburan khususnya selepas pandemik, masih banyak ruang untuk membangun semula jenama yang sudah sedia ada di luar skop fesyen dan penampilan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >