Topik diikuti
Pergi ke BHkuApa nak tanya guru prasekolah semasa pertemuan ibu bapa dan guru?
Apa nak tanya guru prasekolah semasa pertemuan ibu bapa dan guru?
Kenal pasti perkara perlu perhatian agar dapat fahami perkembangan anak
Apa nak tanya guru prasekolah semasa pertemuan ibu bapa dan guru?
Kini sudah masuk musim pertemuan ibu bapa dan guru, atau parent-teacher meeting (PTM).
Jika anak di peringkat prasekolah dan anda bercadang menghadiri PTM hanya dengan satu soalan – “Anak saya di sekolah macam mana?” – kerana tidak pasti apa lagi yang sesuai ditanya tentang si kecil, jangan risau.
Dalam ruangan kali ini, Dunia Anak (DNA) mewawancara Pengetua Kanan di Little Paddington East Coast, Cik Aryany Abdul Manab, tentang perkara yang perlu diberi perhatian semasa PTM agar ibu bapa dapat memahami perkembangan anak dengan lebih menyeluruh.
1) Bagaimana jadikan PTM benar-benar produktif untuk ibu bapa kanak-kanak prasekolah?
Mesyuarat ibu bapa dengan guru yang produktif dibina atas semangat kerjasama dan perkongsian.
Ia menjadi lebih bermakna apabila ibu bapa dan pendidik dapat berkongsi pemerhatian secara terbuka tentang kanak-kanak dalam dua persekitaran berbeza – di rumah dan di sekolah.
Selalunya, melalui perbualan itu, kita mula mengenal pasti tingkah laku, kekuatan atau cabaran yang serupa, sekali gus membolehkan kedua-dua pihak saling bekerjasama dengan lebih terarah.
Di Little Paddington Preschool, kami percaya kanak-kanak berkembang dengan lebih baik apabila ibu bapa dan pendidik bekerjasama bukan sahaja untuk menyokong perkembangan akademik, bahkan keyakinan diri, komunikasi, kebebasan dan kesejahteraan emosi mereka.
Perbualan seperti ini membantu kami memahami kanak-kanak secara menyeluruh – daripada personaliti, minat dan tingkah laku sosial hinggalah kepada cara mereka mengurus emosi.
Apabila ibu bapa dan guru saling berkongsi strategi yang berkesan di rumah dan di sekolah, sokongan yang diberikan kepada kanak-kanak menjadi lebih tekal dan bermakna.
2) Apakah antara soalan yang ibu bapa perlu tanya semasa PTM?
Antara soalan paling berguna ialah soalan yang membantu ibu bapa memahami cara anak mereka belajar, berinteraksi dan membina hubungan – bukan sekadar menumpukan pada pencapaian akademik.
Contohnya:
– Bagaimanakah anak saya membuat keputusan?
– Bagaimanakah mereka bertindak balas apabila berdepan tugasan atau cabaran yang sukar?
– Dalam kegiatan berkumpulan, adakah mereka cenderung untuk memimpin, mengambil bahagian secara aktif, memerhati secara senyap atau lebih suka menyendiri?
– Bagaimanakah anak saya menyampaikan keperluan atau perasaan mereka di dalam kelas?
– Apakah pendorong utama anak saya semasa proses pembelajaran?
Ibu bapa juga boleh bertanya tentang daya tahan, keyakinan, komunikasi dan kebebasan kerana aspek itu sama pentingnya dalam membina asas pembelajaran masa depan.
3) Apakah soalan penting lain yang ibu bapa kerap lupa?
Selain akademik, ibu bapa juga wajar bertanya tentang perkembangan sosial dan emosi anak kerana aspek ini merupakan asas penting semasa tahun prasekolah.
Antara soalan yang boleh ditanya termasuk:
– Apakah sikap anak saya terhadap pembelajaran?
– Adakah mereka bertanya apabila tidak memahami sesuatu?
– Adakah mereka terus mencuba apabila tugasan menjadi mencabar?
– Bagaimanakah mereka mengurus emosi ketika berdepan konflik atau kekecewaan?
Semua aspek itu sama pentingnya dengan literasi dan celik angka kerana ia membentuk cara kanak-kanak belajar, membina hubungan dan mengembangkan daya tahan dari semasa ke semasa.
4) Apakah tanda anak berkembang dengan baik dari segi sosial dan emosi?
Kanak-kanak yang berkembang dengan baik dari segi sosial dan emosi biasanya menunjukkan keyakinan yang semakin meningkat untuk meluahkan diri, menyertai kegiatan dan menjalin hubungan dengan orang lain.
Antara tanda termasuk:
– Boleh berpisah daripada penjaga dengan lebih mudah
– Menunjukkan empati dan kepekaan terhadap perasaan orang lain
– Cuba menyelesaikan konflik menggunakan kata-kata
– Boleh bergilir-gilir dan bekerjasama dalam kegiatan berkumpulan
– Lebih mampu meluahkan emosi dengan jelas
– Mencuba semula selepas mengalami kegagalan atau kekecewaan
5) Pandangan anda tentang ibu bapa yang cenderung bandingkan anak dengan rakan sekelas?
Perbandingan seperti ini agak biasa, terutama pada peringkat prasekolah apabila perbezaan perkembangan antara kanak-kanak kelihatan lebih ketara.
Namun begitu, perbandingan selalunya tidak membantu kerana setiap kanak-kanak berkembang pada kadar dan cara berbeza.
Di Little Paddington Preschool, kami memberi tumpuan kepada perjalanan perkembangan individu setiap kanak-kanak, bukannya membandingkan mereka dengan rakan sebaya.
Ada kanak-kanak yang petah bercakap tetapi memerlukan lebih banyak sokongan sosial, manakala ada juga yang matang dari segi emosi tetapi mengambil masa lebih lama untuk menguasai kemahiran literasi.
Peranan kami sebagai pendidik adalah untuk memupuk kekuatan setiap kanak-kanak sambil membantu mereka dalam bidang yang memerlukan lebih banyak bimbingan.
Lebih penting, ibu bapa digalak agar melihat kemajuan anak mereka sendiri dari semasa ke semasa.
Pendidikan prasekolah bukan tentang siapakah yang berkembang paling cepat, tetapi tentang membina asas kukuh untuk pembelajaran sepanjang hayat dan kesejahteraan diri.
6) Sokongan guru di sekolah, dan yang perlu diperkukuh ibu bapa di rumah?
Ibu bapa boleh bekerjasama dengan guru dalam aspek seperti rutin bilik darjah, interaksi sosial, pengurusan emosi, pembinaan keyakinan dan strategi pembelajaran.
Guru juga boleh berkongsi pemerhatian, mencadangkan pendekatan yang sesuai dan membantu mengukuhkan kemahiran tertentu secara tekal di sekolah.
Namun begitu, nilai, tabiat dan rutin harian biasanya lebih berkesan diperkukuhkan di rumah kerana kanak-kanak belajar melalui pengalaman berulang dan tekal bersama penjaga mereka.
Kemahiran seperti berdikari, komunikasi yang sopan, pengurusan masa skrin, rutin tidur dan ketabahan lebih mudah dibentuk apabila pendekatan sekolah dan rumah bergerak seiring.
Hasil terbaik berlaku apabila ibu bapa dan guru saling menyokong, bukannya mengharapkan satu pihak sahaja memikul keseluruhan tanggungjawab perkembangan kanak-kanak.
7) Apakah yang perlu dilaku selepas PTM?
Selepas mesyuarat, ibu bapa disaran agar meluangkan masa meneliti semula perbincangan secara tenang dan objektif.
Penting untuk diingat maklum balas yang diberikan bertujuan menyokong perkembangan anak, bukan untuk mengkritik mereka.
Ibu bapa boleh mulakan dengan memberi tumpuan kepada satu atau dua perkara terlebih dahulu, berbanding cuba memperbaiki semuanya sekali gus.
Ibu bapa digalak merai kemajuan, usaha dan perkembangan anak kerana keyakinan diri dan rasa selamat dari segi emosi memainkan peranan besar dalam membantu kanak-kanak berkembang maju.
Paling penting, teruskan memberi galakan dan sokongan emosi kepada anak.
Kanak-kanak berkembang dengan baik apabila mereka berasa disokong, difahami dan selamat.
8) Keprihatinan yang ditimbulkan ibu bapa bagi kanak-kanak di usia atau peringkat prasekolah?
Pada peringkat prasekolah awal, ibu bapa biasanya bimbang tentang kebimbangan perpisahan, rutin harian, perkembangan pertuturan, latihan tandas dan penyesuaian sosial.
Apabila kanak-kanak semakin membesar, kebimbangan ibu bapa sering beralih kepada keyakinan diri, persahabatan, pengurusan emosi, kesediaan ke sekolah, kemahiran literasi dan kecelikan awal pada angka, serta keupayaan mengikut arahan secara berdikari.
Bagi kanak-kanak yang bakal memasuki sekolah rendah, ibu bapa biasanya lebih prihatin tentang daya tahan, tempoh tumpuan, pengurusan diri dan keupayaan anak menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran yang lebih berstruktur.
Walau bagaimanapun, merentasi semua peringkat usia, kebimbangan paling umum dalam kalangan ibu bapa ialah sama ada anak mereka berada pada landasan perkembangan yang baik.
Dalam keadaan seperti itu, jaminan, komunikasi yang jujur dan tumpuan kepada perkembangan individu anak kerap menjadi perkara paling penting dalam perbualan antara ibu bapa dengan pendidik.
