Baru-baru ini, ketika bercuti di Batam, anak lelaki saya yang berumur hampir empat tahun menyentuh punggung seorang wanita yang tidak dikenali.

Saya segera meminta maaf kepada wanita itu dan memberitahu anak saya yang dia tidak sepatutnya berbuat demikian.

Mujur wanita itu tidak mengambil hati malah ketawa dan memberi ‘high-five’ kepada anak saya.

Malam itu, ketika berbual-bual sebelum tidur, saya menggunakan kejadian yang berlaku pada siang hari itu untuk mengingatkan anak saya tentang batasan tubuh badan dia dan orang lain.

Saya memberitahu yang dia tidak boleh menyentuh badan orang lain sesuka hati, lebih-lebih lagi bahagian peribadi seperti punggung dan dada.

Saya pun mengingatkan bahawa orang lain pun tidak boleh menyentuh bahagian peribadi pada tubuhnya.

Dia bertanya: “Why cannot?” (Mengapa tidak boleh?)

Ini disusuli beberapa soalan sukar seperti “Why Ibu can touch?” (Mengapa Ibu boleh sentuh?) dan “Atuk can touch?” (Datuk boleh sentuh?).

Apabila kes ‘pempengaruh agama’ melakukan kesalahan seksual terhadap dua kanak-kanak lelaki disiarkan dalam akhbar pada Ogos, saya tidak dapat menepis perasaan risau tentang keselamatan anak-anak ketika saya tidak dapat bersama mereka.

Saya sedar yang saya tidak dapat bersama mereka sepanjang masa.

Anak-anak malah banyak meluangkan masa dengan orang lain berbanding saya, memandangkan saya bekerja sepenuh masa.

Di sekolah, mereka bersama guru dan kawan-kawan.

Di rumah, mereka bersama datuk nenek dan bibik.

Kadang kala mereka bermain di rumah jiran dan saudara-mara tanpa saya menemani mereka.

Orang yang berniat jahat pun ada di mana-mana, dan saya sememangnya tidak dapat memantau anak-anak dan orang di sekeliling mereka sepanjang masa.

Jadi apa yang boleh saya lakukan adalah untuk mengajar anak-anak tentang sentuhan dan kelakuan yang sesuai dan tidak sesuai.

Sentuhan tidak sesuai termasuk sentuhan pada bahagian peribadi dan mulut.

Kelakuan tidak sesuai pula termasuk mencium dan memeluk.

Saya juga menanya mereka apakah yang perlu dilakukan jika ada orang membuat mereka berasa tidak selesa?

Saya mengajar mereka untuk menjerit “Berhenti!” dan “Saya beritahu Ibu saya!” sekuat hati.

Saya juga baru-baru ini mengajar anak-anak perkataan yang betul untuk bahagian peribadi mereka, iaitu zakar atau penis, buah dada atau breasts, dan faraj atau vulva.

Sebelum ini, saya menggunakan perkataan yang saya rasa sesuai dan sopan, seperti ‘tempat kencing’ dan ‘dada’.

Saya sedar adalah penting untuk menggunakan istilah yang tepat kerana ini boleh mengurangkan rasa malu dan memastikan komunikasi jelas.

Pada masa yang sama, saya juga melakukan latihan batasan tubuh badan dengan anak-anak untuk menunjukkan yang saya menghormati batasan tubuh anak-anak.

Misalnya, saya meminta kebenaran sebelum menukar pakaian anak, atau sebelum memandikan mereka.

Satu lagi latihan yang telah saya mulakan ialah ‘latihan berhenti geletek’. Saya menggeletek anak-anak dan berhenti apabila mereka suruh saya berhenti.

Namun tidak cukup dengan mengajar anak-anak saya perkara tersebut, saya juga perlu menjadi orang yang anak saya percayai untuk dia berkongsi perkara yang berlaku ke atas dirinya - termasuk yang membuatnya rasa malu dan takut.

Dan membina kepercayaan itu bukanlah sesuatu yang boleh berlaku semalaman.

Banyak lagi perkara yang saya, dan saya yakin ramai ibu bapa lain, perlu pelajari tentang interaksi selamat serta sihat, perbezaan antara kejutan dengan rahsia, serta tanda-tanda seseorang itu merupakan musang berbulu ayam.

Ibu bapa boleh mendapatkan panduan tersebut dan banyak lagi di sesi podcast dan perbincangan langsung berjudul, Didik Anak Kata “Tidak", pada 12 September.

Sesi anjuran Berita Harian (BH) ini akan menampilkan tiga anggota panel iaitu Pakar Psikologi Klinikal Kanan dan Pengasas ImPossible Psychological Services, Encik Muhammad Haikal Jamil; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Hayaa Network, Ustazah Liyana Musfirah; dan pekerja sosial kanan PPIS, Cik Siti Khadeejah Muabdu.

Sesi percuma itu akan diadakan dari 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari di Auditorium SPH Media di Toa Payoh North.

Lungsuri pautan, https://tinyurl.com/bhdnapodcast untuk mendaftar.