Topik diikuti
Pergi ke BHkuDidik anak kata ‘tidak’ kepada sentuhan bahaya
Anak perlu kenali interaksi selamat, dapatkan bantuan orang dewasa jika tidak selesa
Tidak mudah mengesan kelakuan ‘grooming’, atau proses apabila orang dewasa membina kepercayaan dengan kanak-kanak untuk mengambil kesempatan terhadap mereka secara seksual.
Apatah lagi jika orang dewasa itu seseorang yang dikenali dan dipercayai keluarga.
Namun, ini tidak bermakna ibu bapa perlu mengajar anak-anak untuk berasa takut terhadap orang lain atau curiga terhadap layanan baik yang diterima.
Sebaliknya apa yang lebih membantu adalah untuk mengajar mereka tentang interaksi selamat serta sihat, dan sentuhan sesuai dan tidak sesuai.
Ibu bapa juga boleh membantu kanak-kanak memahami perbezaan antara kejutan dengan rahsia, serta memberi jaminan bahawa mereka berhak berkata ‘jangan’ atau ‘tidak mahu’ apabila sesuatu perkara membuat mereka berasa tidak selesa.
Turut penting adalah untuk membangunkan hubungan harian yang kukuh agar anak berasa selesa berkongsi dengan ibu bapa.
Demikian dikongsi pakar yang bekerja dengan kanak-kanak dan keluarga kepada Dunia Anak (DNA) menyusuli kes penderaan seksual terhadap dua adik-beradik lelaki bawah umur oleh individu berumur 37 tahun yang menampilkan dirinya sebagai ‘pempengaruh agama’.
Pesalah dikenakan hukuman penjara selama 27 tahun 10 bulan dan 24 sebatan kerana berulang kali merogol si adik, yang ketika itu berusia antara enam dengan lapan tahun, selain mencabul abangnya yang berusia antara 11 dengan 12 tahun.
Sebelum pesalah melakukan kesalahan seksual itu, pesalah memberitahu nenek mangsa dia ingin menjadi figura bapa dan pembimbing agama kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut memandangkan ibu bapa mereka tidak hadir dalam kehidupan mereka, dan dia sendiri tidak mempunyai anak.
Nenek mangsa mempercayai lelaki itu mampu menjadi figura bapa yang baik kepada cucu-cucunya, lalu membenarkannya bertemu mereka dengan lebih kerap.
‘Grooming’ tidak mudah dikesan
Menurut Penolong Pengarah merangkap Ketua Perkhidmatan Penyatuan Semula di Persatuan Kanak-Kanak Singapura, Cik Nawal Adam Koay, ‘grooming’ sering melibatkan seorang dewasa yang secara beransur-ansur memasuki lingkungan keluarga atau sosial seseorang kanak-kanak.
Mereka berbuat demikian bagi memperoleh kepercayaan penjaga serta membina hubungan emosi dengan kanak-kanak tersebut.
Ini boleh termasuk memberi perhatian istimewa kepada kanak-kanak itu, berkongsi rahsia atau menampilkan diri sebagai seorang yang amat prihatin atau suka membantu.
Sesetengah tingkah laku ‘grooming’ boleh menyerupai penjagaan biasa, seperti membantu kanak-kanak kecil mandi, menukar pakaian atau tidur.
Lama-kelamaan, orang dewasa tersebut mungkin meningkatkan sentuhan fizikal atau menjadikan tingkah laku yang tidak sesuai sebagai sesuatu yang dianggap normal, sekali gus menyukarkan kanak-kanak itu untuk menyedari batasan diri telah dilanggar.
“Bagi kanak-kanak yang lebih kecil khususnya, keadaan ini boleh menimbulkan kekeliruan,” kata Ketua Pusat Khidmat Keluarga PPIS (Timur), Cik Noor Aaqilah Abdul Latiff.
“Ini kerana mereka mungkin menganggap bahawa jika ibu bapa mereka mempercayai seseorang, maka tingkah laku individu tersebut juga mestilah selamat dan boleh diterima,” katanya.
Lebih menyulitkan, apabila bercakap tentang ‘grooming’, ramai orang membayangkan pelaku yang kelihatan mengancam, pelik atau mempunyai tingkah laku yang meragukan, namun ia tidak semestinya demikian, kata Pakar Psikologi Klinikal dan Pengasas ImPossible Psychological Services, Encik Haikal Jamil.
“Dalam kes baru-baru ini, tanggapan bahawa pesalah mempunyai pengetahuan agama yang baik atau berpakaian dengan cara tertentu mungkin menyebabkan dia dilihat sebagai kurang berkemungkinan melakukan kesalahan serius.
“Namun, manusia itu kompleks dan kita semua menunjukkan sisi diri yang berbeza dalam hubungan dan situasi yang berbeza,” kata Encik Haikal.
Justeru daripada bergantung pada sama ada seseorang itu “nampak seperti jenis orang yang boleh melakukan perkara salah”, adalah lebih baik untuk memberi perhatian kepada tingkah laku, corak perlakuan dan batasan, tambahnya.
Kenal pasti corak ‘grooming’
Menurut Cik Noor Aaqilah, antara corak tingkah laku yang perlu diperhatikan ialah apabila seseorang itu berulang kali mencari peluang untuk meluangkan masa bersendirian dengan kanak-kanak, memberi perhatian atau hadiah yang luar biasa, berkomunikasi secara peribadi dengan mereka, menggalakkan mereka menyimpan rahsia, atau secara beransur-ansur melanggar batasan fizikal atau emosi mereka.
“Sedang tingkah laku ini secara sendirinya tidak semestinya bermakna ‘grooming’ sedang berlaku, ibu bapa perlu peka apabila terdapat corak yang mewujudkan kerahsiaan, kebergantungan atau akses yang semakin meluas kepada kanak-kanak tersebut,” katanya.
Ini penting kerana kanak-kanak mungkin tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk menyedari tingkah laku tertentu adalah tidak sesuai, kata Cik Nawal.
Mereka juga mungkin tidak mempunyai kemahiran komunikasi untuk menerangkan apakah yang telah berlaku dengan jelas.
Dalam banyak kes, kanak-kanak yang menjadi mangsa diberi amaran supaya merahsiakan interaksi yang tidak sesuai atau dibuat berasa bahawa perbuatan itu adalah sesuatu yang boleh diterima.
Justeru adalah penting untuk ibu bapa mengajar anak tentang keselamatan tubuh badan sejak usia muda, kata Cik Nawal.
Ajar anak tentang rahsia, sentuhan dan batasan
Ibu bapa boleh mengajar anak tentang sentuhan yang selamat dan tidak selamat, perbuatan yang betul dan salah, serta rahsia yang baik dan tidak baik.
“Yang penting, kanak-kanak perlu tahu mereka boleh berkata ‘tidak mahu’ apabila sesuatu perbuatan membuat mereka berasa tidak selesa, seperti digeletek, dipeluk atau dicium.
“Mereka tidak perlu menunggu sehingga seseorang menyentuh bahagian sulit mereka sebelum bersuara atau mendapatkan bantuan,” kata Cik Nawal.
Perbualan mengenai keselamatan tubuh boleh berlaku secara semula jadi semasa rutin harian seperti mandi, berpakaian atau menggunakan tandas.
Ibu bapa dan guru juga boleh menunjukkan contoh bagaimana menghormati batasan peribadi dengan mengambil serius apabila kanak-kanak meluahkan rasa tidak selesa.
“Sebagai contoh, jika seorang kanak-kanak berkata “tidak mahu” apabila dipeluk atau digeletek, orang dewasa perlu menghentikan perbuatan tersebut.
“Ini membantu kanak-kanak memahami bahawa batasan diri mereka penting dan memberi mereka keyakinan untuk menyuarakan rasa tidak selesa apabila sesuatu situasi membuat mereka berasa tidak selesa,” kata Cik Nawal.
Sementara itu, kanak-kanak boleh diajar bahawa rahsia yang baik biasanya dikaitkan dengan perasaan yang positif dan akhirnya akan didedahkan secara terbuka, seperti merancang parti hari jadi kejutan.
Sebaliknya, rahsia yang tidak baik boleh membuat kanak-kanak berasa sedih, bimbang atau tidak selesa, dan biasanya perlu dirahsiakan.
“Kanak-kanak perlu memahami bahawa jika sesuatu rahsia membuat mereka berasa tidak selesa atau tidak selamat, mereka harus memberitahunya kepada orang dewasa yang dipercayai.
“Ini membantu mereka memahami bahawa mereka tidak perlu merahsiakan sesuatu hanya kerana seorang dewasa menyuruh mereka berbuat demikian,” kata Cik Nawal.
Mengenai hadiah, kanak-kanak boleh diajar bahawa menerima hadiah atau perhatian istimewa tidak bermakna mereka “terhutang budi” atau perlu membalas sesuatu kepada individu tersebut.
Hadiah yang diberikan dengan niat baik tidak datang seiring tekanan, kerahsiaan atau jangkaan bahawa kanak-kanak itu mesti berkelakuan dengan cara tertentu untuk terus menerima kasih sayang atau perhatian daripada individu tersebut, kata Encik Haikal.
Walaupun sukar bagi kanak-kanak memahami bahawa seseorang yang mereka kenali mungkin berkelakuan tidak sesuai, Cik Nawal berkata matlamat mengajar tentang interaksi selamat dan keselamatan tubuh badan bukan untuk membuat mereka takut kepada orang lain.
Sebaliknya, ia adalah untuk membantu mereka membezakan perkara yang boleh diterima dan yang tidak, serta mengetahui bahawa mereka boleh mendapatkan bantuan daripada orang dewasa yang dipercayai jika sesuatu membuat mereka berasa tidak selesa.
Cik Noor Aaqilah pula menekankan bahawa kanak-kanak perlu memahami bahawa batasan diri mereka perlu dihormati tidak kira sama ada individu yang berdepan dengan mereka ialah orang yang tidak dikenali, ahli keluarga, rakan keluarga, pendidik atau seseorang yang mereka kagumi.
“Yang penting, kita perlu membantu kanak-kanak memahami bahawa mempertahankan batasan diri bukanlah bermaksud mereka bersikap biadab atau tidak patuh,” katanya.
Kekal tenang apabila anak berkongsi
Cik Noor Aaqilah menambah, jika seorang kanak-kanak cuba berkongsi sesuatu yang telah berlaku, ibu bapa harus mengelak daripada memperkecilkan atau menyalahkan mereka.
Sebaliknya, ibu bapa boleh memberi respons dengan tenang dan menggunakan soalan terbuka seperti, “Ceritakan lagi apa yang berlaku,” bagi menggalakkan mereka berkongsi serta memberi ruang kepada mereka untuk berbuat demikian.
Jika seorang kanak-kanak kelihatan teragak-agak untuk berkongsi, orang dewasa perlu mengelakkan daripada berulang kali menyoal atau mendesak mereka, kata Cik Nawal.
Sebaliknya, berikan mereka masa, dengar apabila mereka bersedia untuk bercakap, dan yakinkan mereka bahawa mereka boleh mendapatkan bantuan, tambahnya.
Encik Haikal berpesan, ibu bapa tidak seharusnya bercakap tentang keselamatan hanya apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku.
Sebaliknya, mereka perlu berusaha membina hubungan harian yang membolehkan anak berasa selesa berkongsi tentang perkara yang baik mahupun cabaran yang dihadapi dalam kehidupan mereka.
“Ini boleh dilakukan dengan sentiasa bertanya khabar dan menunjukkan minat yang tulen terhadap kehidupan anak, mendengar tanpa terus menyoal siasat atau memberi syarahan, serta menunjukkan melalui pengalaman yang berulang bahawa perasaan dan pengalaman mereka dihargai,” kata Encik Haikal.
“Matlamatnya bukan sekadar mengajar anak, ‘Beritahu saya jika seseorang melakukan sesuatu yang tidak sesuai’.
“Sebaliknya, matlamatnya adalah untuk membina hubungan yang membuatkan anak berasakan bahawa apabila sesuatu berlaku, berkongsi dengan ibu bapa adalah perkara yang paling semula jadi dan selamat untuk dilakukan,” tambahnya.
Guna istilah tepat bagi bahagian sulit
Menggunakan istilah yang betul bagi bahagian sulit tubuh badan merupakan aspek penting dalam pendidikan keselamatan tubuh badan, kata Cik Nawal.
Ia membantu kanak-kanak memahami dan berkomunikasi dengan jelas tentang tubuh mereka, dan bukannya menganggap bahagian tersebut sebagai sesuatu yang memalukan atau sukar dibincangkan.
Sekiranya sesuatu yang tidak sesuai berlaku, penguasaan kosa kata yang tepat untuk menerangkan bahagian tubuh badan juga dapat membantu kanak-kanak menjelaskan pengalaman mereka dengan lebih terang kepada orang dewasa yang dipercayai.
Guru adjung Bahasa Melayu, Cik Fadilah Abd Malik, berpesan kepada ibu bapa agar tidak menggunakan gelaran yang ‘comel’ untuk mengelakkan rasa malu seperti ‘burung’ dan ‘bunga’ ketika merujuk kepada bahagian sulit lelaki dan perempuan.
Berikut istilah tepat:
– zakar atau penis untuk bahagian sulit lelaki
– faraj atau vulva untuk bahagian sulit perempuan
– payudara, buah dada atau breasts untuk bahagian dada perempuan
– punggung atau buttocks untuk bahagian belakang badan yang digunakan untuk duduk
– dubur atau anus untuk bukaan tempat najis keluar dari badan
