Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Apabila robot jadi petani, hasilkan 9 jenis sayur di ladang mini Hyundai

Nov 29, 2023 | 5:37 PM
KEBUN BIJAK: Hyundai Motor bukan sekadar berupaya menghasilkan kenderaan di Pusat Inovasi Kumpulan Hyundai Motor Singapura (HMGICS) bahkan mempunyai kebun bijak yang boleh menghasilkan sembilan jenis sayuran yang memanfaatkan teknologi robotik.
KEBUN BIJAK: Hyundai Motor bukan sekadar berupaya menghasilkan kenderaan di Pusat Inovasi Kumpulan Hyundai Motor Singapura (HMGICS) bahkan mempunyai kebun bijak yang boleh menghasilkan sembilan jenis sayuran yang memanfaatkan teknologi robotik. - Foto ZAOBAO

Kumpulan Motor Hyundai terkenal dengan jenama kenderaannya namun pusat inovasi syarikat itu di Singapura bukan hanya berupaya mengeluarkan kenderaan bahkan boleh menghasilkan sehingga sembilan jenis sayur-sayuran.

Pusat Inovasi Kumpulan Hyundai Motor Singapura (HMGICS) baru yang terletak di Kawasan Inovasi Jurong mempunyai sebuah kebun bijak yang memanfaatkan teknologi robotik.

Ia juga melambangkan usaha melaksanakan pembangunan bandar mampan.

Antara tumpuan pusat itu adalah mempamerkan cara meningkatkan daya penghasilan dalam persekitaran bandar yang padat.

Ia juga selaras dengan matlamat pemerintah Singapura untuk menghasilkan 30 peratus makanan setempat menjelang 2030 dengan menggunakan teknologi pertanian alternatif, termasuk kebun bijak.

Memandangkan negara ini mempunyai geologi berbatu, hanya 1 peratus tanah di negara ini diperuntukkan bagi pertanian. Ini memerlukan Singapura mengimport 90 peratus makanan yang diperlukan.

Kebun bijak di HMGICS misalnya menggabungkan tenaga manusia dengan kuasa robotik untuk menghasilkan sehingga sembilan jenis sayuran.

Buat masa ini, hasil kebun itu akan diberikan kepada pelanggan sebagai cenderahati kunjungan mereka ke pusat itu. Ia juga akan didermakan kepada masyarakat setempat di sini.

Terdapat rancangan selanjutnya untuk membuka sebuah restoran menjelang suku kedua 2024 yang akan menyajikan sayur-sayuran itu kepada pelanggan.

“Idea dan produk yang dicipta di sini diinovasikan di Singapura, bukan hanya dibuat di Singapura,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hyundai Motor, Encik Jay Chang.

“Paling penting, HMGICS merupakan kemudahan inovasi yang berpusat pada penyelidikan dan pengembangan.

“Berdasarkan dasar dan prasarana berorientasikan masa depan Singapura, kami akan bertindak sebagai inkubator sejagat untuk bakat dan perniagaan Singapura melalui Program Makmal Korporat kami,” kata beliau. – ADLI YASHIR KUCHIT

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg