Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Apabila ‘sis’ saling sokong, emosi kuat, ekonomi mantap

WHe@Bicara
Oct 16, 2024 | 5:30 AM
Hanim Mohd Saleh, Editor Bersekutu (Kolumnis Kanan) Berita Harian/Berita Minggu
Hanim Mohd Saleh, Editor Bersekutu (Kolumnis Kanan) Berita Harian/Berita Minggu - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dalam membina kehidupan yang lebih baik, wanita sering berhadapan dengan rintangan yang unik, baik dalam kehidupan peribadi mahupun kerjaya profesional.

Namun, salah satu alat paling berkuasa untuk mencapai kejayaan adalah dengan memperkasa diri sendiri dan sesama wanita.

Wanita yang menyokong wanita bukan sahaja membuka peluang kejayaan bahkan membawa impak besar kepada ekonomi, kesejahteraan emosi, dan sosial.

Kajian menunjukkan syarikat dengan kepelbagaian jantina yang seimbang lebih inovatif dan menguntungkan.

Majalah pengurusan, Harvard Business Review, melaporkan bahawa syarikat dengan perwakilan wanita yang tinggi di peringkat pengurusan mencatat pulangan ekuiti yang lebih tinggi.

Ini adalah bukti bahawa memperkasakan wanita bukan sekadar idea sosial, ia juga dapat memberi manfaat ekonomi yang besar.

Perkongsian Cik Inez Tantyanna Abdullah, membina perniagaan makanan dan minuman (F&B) di peringkat antarabangsa bersama suaminya, cef Akmal Anuar, yang hidangannya pernah mendapat bintang Michelin, membuktikan bagaimana individu dan kumpulan wanita yang hadir dalam hidupnya begitu penting dalam menyokong langkah membina empayar perniagaan.

Ini termasuk sokongan ibu kandung yang sanggup terbang jauh dari Singapura ke Dubai untuk bantu menjaga anak-anaknya dan memantapkan emosinya; sokongan daripada ‘sisters Dubai’ asal Singapura yang saling menyokong rakan-rakan di perantauan; serta sokongan pembantu rumah dan pemandu wanita yang cekap menguruskan anak-anak ketika beliau tiada di rumah.

Sokongan sesama wanita membantu meningkatkan kesejahteraan mental dan emosi.

Kajian oleh laman web, LeanIn.org mendapati wanita yang mempunyai jaringan sokongan yang kuat lebih yakin dalam kerjaya dan kurang cenderung mengalami tekanan seperti ‘imposter syndrome’ – fenomena psikologi apabila individu meragui pencapaian mereka walaupun terdapat bukti kecekapan mereka – atau keletihan melampau.

Namun, cabaran masih wujud. Wanita masih kurang diwakili dalam jawatan kepimpinan, dan diskriminasi serta sikap berat sebelah masih berlaku. Maka, kita perlu lebih proaktif dalam mewujudkan budaya yang memperkasakan dan menyokong wanita di sekeliling kita.

Bagaimanakah kita dapat memainkan peranan memperkasa wanita?

Kata-Kata Galakan: Ucapan pujian yang tulus mampu memberikan dorongan besar kepada keyakinan seseorang. Usah lokek memberi penghargaan kepada kejayaan dan kekuatan wanita di sekeliling.

Jadi Teladan dan Mentor: Wanita boleh membantu wanita lain berjaya dengan menjadi mentor. Berkongsi pengalaman dan memberi bimbingan mampu membina keyakinan dan memberi semangat dalam menghadapi cabaran.

Sokong Perniagaan Wanita: Menyokong perniagaan yang diterajui oleh wanita adalah salah satu cara paling praktikal untuk memperkasa wanita lain.

Kongsi Pengalaman Sendiri: Dengan berkongsi kisah kejayaan dan kegagalan, kita dapat membantu wanita lain berasa lebih kuat dan tidak keseorangan.

Seorang tokoh wanita terkemuka dari Pakistan, Cik Malala Yousafzai, pernah berkata, “We cannot all succeed when half of us are held back.” Kata-kata ini mengingatkan kita bahawa kejayaan kita sebagai wanita saling berkait rapat. Apabila seorang wanita berjaya, kita semua memperoleh manfaat.

Al-Quran juga menekankan pentingnya sokongan sesama manusia.

Dalam surah Al-Ma’idah, ayat 2, Allah swt berfirman: “Tolong-menolonglah kamu dalam kebaikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.”

Prinsip ini menunjukkan betapa pentingnya kita saling mendukung demi kebaikan bersama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg