Di media sosial, sosok ‘lelaki performatif’ kini semakin mudah dikenal pasti.
Bayangkan seorang lelaki yang mengenakan kemeja bersaiz besar, segelas minuman matcha di tangan, beg jinjing yang sarat dengan gantungan anak patung Labubu serta senarai lagu Spotify penuh dengan lagu oleh penyanyi indie, Clairo atau Mitski.
Apa yang pada mulanya kelihatan seperti gaya kasual kini telah menjadi parodi yang kerap dijadikan bahan gurauan dalam talian.
Istilah ‘lelaki performatif’ mula menular di wadah media sosial TikTok dan X, dengan ribuan video yang meniru gaya lelaki Generasi Z (Gen Z) yang tampil lembut, intelektual dan seolah-olah berbeza daripada stereotaip perwatakan gym bro yang mementingkan otot dan kekuatan fizikal.
‘Lelaki performatif’ digambarkan sebagai mereka yang bergaya, gemar minum matcha dan membaca buku feminis seperti karya penulis, Bell Hooks.
Mereka turut dikatakan mendengar lagu daripada artis indie wanita dan membawa beg jinjing yang dipenuhi piring hitam atau buku sebagai aksesori gaya.
Fenomenanya pantas menarik perhatian media antarabangsa.
Parodi itu turut merentasi dunia nyata melalui pertandingan gaya di pelbagai tempat termasuk kamus universiti.
Ia turut dilihat di beberapa negara termasuk di Amerika Syarikat, Britain dan Indonesia, apabila peserta hadir lengkap dengan starter pack ‘lelaki performatif’ dan dinilai sejauh manakah mereka mampu menjiwai imej tersebut.
Di Singapura pula, konsep itu turut mendapat tempat.
Pada Ogos lalu, sebuah pertandingan Best Performative Male dianjurkan dengan tawaran hadiah wang tunai, selempang khas dan set perhiasan gigi berpermata (tooth gem).
Peserta tampil dengan gaya stereotaip: Daripada yang mengaku feminis, hinggalah yang taasub dengan matcha atau menggantung aksesori comel pada beg sebagai bukti kononnya berbeza daripada lelaki lain.
Lebih dekat dengan kehidupan harian, imej ‘lelaki performatif’ boleh ditemui di kafe matcha popular seperti Hvala atau Tsujiri, serta di kedai pakaian terpakai seperti 2nd Street.
Kemeja bersaiz besar, seluar longgar dan beg jinjing dengan gantungan comel telah menjadi sebahagian daripada estetika tersebut.
Di TikTok dan Instagram, penampilan itu pula sering digayakan semula dengan nada ironis melalui video apabila individu sedang bersiap (get ready with me) dengan tanda pagar #GRWM atau parodi starter pack.
Ringkasnya, ‘lelaki performatif’ kini bukan lagi sekadar trend lawak jenaka dari Barat.
Ia telah menjadi sebahagian daripada landskap budaya Gen Z di Singapura, membentuk estetika hibrid yang menggabungkan fesyen jalanan, budaya kafe serta kegilaan terhadap aksesori comel yang sudah lama berakar dalam masyarakat belia rantau ini.
Untuk menggambarkan gaya ‘lelaki performatif’, cukup melihat kepada starter pack yang kerap disebut di media sosial.
Ia terdiri daripada segelas latte matcha, beg jinjing yang dihiasi gantungan Labubu atau Smiski, kemeja bersaiz besar yang dipadankan dengan seluar longgar serta fon kepala berwayar yang membangkitkan rasa nostalgia.
Dalam begitu mungkin terselit piring hitam, buku feminis atau majalah indie sebagai pelengkap estetik.
Senarai muzik ‘lelaki performatif’ pula sering sarat dengan artis wanita indie seperti, Clairo, Mitski atau Beabadoobee.
Setiap ciri dalam penampilan ‘lelaki performatif’ berfungsi sebagai isyarat bahawa mereka lembut, bergaya dan sedar jantina, sama ada secara autentik atau sekadar ‘persembahan’.
Seperti yang dicatatkan oleh The New York Times, ‘lelaki performatif’ sering “menukar dirinya menjadi papan ilham (mood board) berjalan dengan simbol kelembutan, gaya dan kecenderungan feminis yang mungkin ada atau mungkin juga sekadar lakonan”.
Salah seorang penganjur pertandingan di Seattle, Amerika turut menegaskan bahawa “ia lelaki yang cuba menyesuaikan diri dengan apakah yang mereka fikir wanita feminis suka,” mengukuhkan pandangan bahawa gaya itu kerap disifatkan sebagai strategi sosial berbanding minat asli.
Fenomena ‘lelaki performatif’ bukan sekadar trend fesyen yang tular hanya buat seketika.
Ia membuka persoalan lebih besar tentang keaslian ekspresi diri dalam era media sosial, apabila setiap gaya mudah dirakam, ditiru dan menjadi parodi.
Adakah lelaki benar-benar menjiwai minat mereka, atau sekadar membentuk imej untuk meraih pengiktirafan daripada khalayak tertentu?
Sebahagian pengamat membandingkannya dengan budaya ‘poser’ era 1990-an, tatkala gaya digunakan untuk kelihatan menarik tanpa semestinya mencerminkan minat sebenar.
Perbincangan itu semakin rancak di TikTok, dengan tanda pagar #performativemale yang telah mencecah puluhan juta tontonan, menunjukkan bahawa sindiran dan minat terhadap arketip itu terus berkembang.
Dalam masa yang sama, suara akademik turut menyumbang pada perbincangan itu.
Pensyarah di Queen Mary University of London, Dr Alexander Stoffel, menulis di The Conversation bahawa “tiada lelaki yang benar-benar autentik kerana identiti jantina sentiasa bersifat performatif”.
Pandangan itu mengingatkan kita bahawa menuduh lelaki tertentu sebagai ‘performatif’ sebenarnya hanya menyingkap hakikat bahawa setiap ekspresi jantina adalah suatu bentuk persembahan.
Terdapat juga bacaan yang lebih optimistik.
Teen Vogue menilai lelaki performatif sebagai ruang alternatif untuk menonjolkan sifat kelelakian yang lebih lembut, seiring dengan penolakan budaya terhadap stereotaip maco tradisional.
Malah, sebilangan lelaki Gen Z kini dengan sengaja melabel diri mereka sebagai ‘performative males’ di media sosial, menggunakan ironi sebagai sebahagian daripada identiti mereka, lapor media Amerika,Vox.
Dalam dunia fesyen, estetika itu sudah diterjemahkan ke pasaran.
Jenama aksesori memasarkan gantungan patung mini sebagai, gender-neutral must-haves atau barangan perlu dimiliki tanpa mengira jantina.
Kedai pakaian terpakai pula semakin mempopularkan kemeja bersaiz besar, manakala beg jinjing warna polos diperkenal sebagai sebahagian daripada gaya masa kini.
Apa yang asalnya sekadar jenaka kini berubah menjadi peluang komersial buat jenama fesyen.
Akhirnya, lelaki performatif mencerminkan bagaimana Gen Z mentakrif semula makna sifat kelelakian.
Sama ada dilihat sebagai parodi, strategi sosial atau ekspresi autentik, fenomena tersebut menegaskan bahawa dalam dunia digital hari ini, setiap gaya adalah persembahan yang menunggu untuk ditonton dan mungkin juga untuk dipersoalkan.
Gaya lelaki performatif tidak lengkap tanpa starter pack atau kit tersendiri.
Ia bukan sekadar gabungan pakaian dan aksesori, tetapi himpunan simbol yang menyampaikan mesej: Lembut, berintelek, berbeza dan penuh ironi.
Daripada beg jinjing hingga gantungan anak patung, Labubu, setiap pilihan fesyen membawa makna lebih besar daripada sekadar penampilan.
Jika anda ingin mencuba atau sekadar memahami estetika itu, berikut 14 barangan yang membentuk gaya tersebut.
1. Anak patung, Labubu, daripada Popmart ($37.90)
2. Beg jinjing daripada CHUMS($79)
3. Kasut, Zebzag AnyWair Suede Mules, daripada Dr. Martens ($229)
4. Kasut, Loafers Icon Leather, daripada Pedro ($149.90)
5. Fon telinga berwayar daripada Apple ($29)
6. Jean longgar daripada Calvin Klein ($134.50)
7. Cincin, 925 Silver Matte Hammered, daripada A Kind Ooof ($109)
8. Cincin, Chunky Hammered, daripada COS ($59)
9. Kemeja-T Clairo Charm ($35)
10. Kemeja-T, Oasis Boxed, daripada Retrocrates SG ($42)
11. Men’s Nylon Duck Key Keeper daripada CARTHARTT ($18.49)
12. Tali pinggang, B-1dr Belt, daripada Diesel ($290)
13. Baju Lengan Pendek, Darcy, daripada Cotton On ($34.99)
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg