Bukan lelaki Melayu terakhir tetapi ‘lelaki performatif’?

Fenomena Internet tarik perhatian golongan Gen Z di media sosial
Aug 27, 2025 | 11:50 AM
lelaki performatif, performative male,  gaya, pertandingan
Seorang peserta mempersembahkan gaya ‘lelaki performatif’ kepada penonton yang hadir dalam satu pertandingan berdasarkan fenomena Internet atau ‘meme’ berbaur jenaka. Istilah ‘lelaki performatif’ merujuk kepada lelaki yang cenderung menceburi hobi bersifat feminin dengan tujuan semata-mata menarik perhatian wanita. - Foto TATIANA ROSLI

Mereka sering dilihat menggayakan kemeja ‘crop’, seluar ‘baggy’ (barangkali denim bermutu dari Jepun), bersama beg ‘tote’ tersandang di bahu (mungkin dengan boneka Labubu tergantung pada beg atau tali pinggang). 

Sambil meneguk minuman matcha, mereka membaca karya sastera dengan tema-tema ‘berat’, dialun lagu hasil penyayi dari Amerika Syarikat, Clairo – melalui fon telinga berwayar. 

Pastinya, ‘lelaki Melayu terakhir’ bukan gelarannya bagi mereka!

Lebih tepat ialah ‘performative male’ (lelaki performatif) seperti yang sering dikenali di media sosial.

Fenomena Internet atau meme berbaur jenaka dan hiburan ini merujuk kepada arketip baru yang sejak awal tahun telah mencetuskan gelora di media sosial – malah mengundang ejekan serta kritikan.

Ia menyasarkan jejaka yang cenderung menceburi hobi bersifat feminin dan didakwa membina estetik tidak tulen dengan tujuan semata-mata menarik perhatian wanita.

Dari Seattle ke Chicago, Sydney hingga Jakarta, pertandingan terbuka telah dianjurkan bagi menobatkan peserta dengan lakonan paling mengena sebagai ‘lelaki performatif’.

View post on Instagram
 

Baru-baru ini, buat kali pertama di Singapura, pertandingan ‘lelaki performatif’ turut diadakan di Studio BMF Ink Tattoo, berdekatan Lavender, pada 24 Ogos.

Penganjur pertandingan tersebut, Cik Tatiana Rosli, 29 tahun, memberitahu Berita Harian:

“Rancangan saya adalah menganjur acara yang ringan dan dipenuhi hiburan, yang mampu menghimpunkan masyarakat bersama.

“Sebenarnya, pertandingan ini bermula sebagai satu gurauan. Saya terlihat kota lain seperti Jakarta, Kuala Lumpur, Sydney dan Toronto sudah pun mengadakan versi mereka, tetapi Singapura belum ada.”

Pertandingan yang setakat ini meraih 126,200 tontonan di TikTok dan lebih 18,000 tontonan di Instagram itu menarik lebih 50 orang dari serata Singapura.

View post on TikTok

“Apabila saya cipta borang di Google untuk pendaftaran, hanya 15 orang yang mendaftar.

“Kami terpaksa mengadakan pertandingan di luar kedai kerana studio terlalu kecil untuk menampung semua yang hadir,” kata Cik Tatiana, yang mengendalikan Toothy Frutti, perkhidmatan hiasan batu permata pada gigi di studio tersebut.

Para peserta – terdiri daripada kalangan Gen Z – diadili berdasarkan gaya jalan mereka, tenaga persembahan (gabungan estetika dan keghairahan pada persona), faktor menyerlah, serta reaksi orang ramai.

Pertandingan menyaksikan lambakan minuman matcha, rekod vinil, selain seluar jean dengan potongan longgar atau ‘baggy’ dan kasut Tabi.

“Malah ada peserta yang membawa anjingnya dan mempersembahkan sebuah lagu dialun gitar,” kata Cik Tatiana.

Akhirnya, daripada 25 pencalonan, gelaran ‘lelaki performatif terbaik’ dianugerahkan kepada individu yang hanya dikenali sebagai Encik Marvin.

Cik Tatiana menggambarkannya sebagai seorang yang memiliki sikap je ne sais quoi — daripada bahasa Perancis yang bermaksud daya tarikan yang sukar dijelaskan.

Encik Marvin, 20 tahun, telah hadir dengan topi beret, kaca mata logam vintaj dan pakaian daripada jenama indie.

Beliau juga dilengkapi prop – rantai Mofusand, coklat dari Dubai, minuman matcha, lagu-lagu Clairo, fon kepala berwayar, serta buku bertajuk ‘A Toolkit For Your Emotions’.

“Marvin telah membangkitkan sorakan khalayak dan membuat saya ketawa terbahak-bahak dengan ucapannya sambil mengajak penonton ‘bersatu’ menentang patriarki dan kesakitan berhubung wanita,” ujar Cik Tatiana.

Selain membina komuniti melalui pertandingan itu, Cik Tatiana yang memulakan perniagaannya pada Jun 2025, berkongsi bahawa majoriti pelanggannya setakat ini adalah wanita, dan pertandingan tersebut telah membolehkan perniagaannya mendekati lebih ramai jejaka.

Beliau menegaskan bahawa pertandingan tersebut bukan bertujuan mengejek individu, sebaliknya mengangkat persoalan tentang persona yang dibentuk orang ramai – khususnya di alam maya.

Bagi Encik Marvin, konsep ‘lelaki performatif’ juga menyoroti masalah konsumerisme dalam masyarakat sejagat, seperti halnya dengan minuman matcha dan boneka Labubu.

“Namun, pertandingan ini hanya sebagai satu hiburan dan gelak tawa,” tambahnya.

Dengan media sosial, wujud tekanan untuk menampilkan imej diri yang teratur dan terpilih rapi.

Bagi kaum jejaka, jelas Cik Tatiana, hal ini sering diterjemahkan dalam bentuk penampilan ‘nonchalant’ – seakan bersahaja – meskipun ia tidak menggambarkan keperibadian sebenar dalam kehidupan seharian.

“‘Lelaki performatif’ ini seolah-olah satu perdebatan antara keyakinan diri yang tulen dengan penciptaan watak.

“Pada saya, ia turut berkait rapat dengan budaya Internet yang lebih luas, khususnya di Singapura di mana estetika memainkan peranan besar dalam membentuk identiti,” ujar Cik Tatiana.

Beliau turut menekankan bahawa persona dalam talian dan di luar talian kini semakin sukar dipisahkan.

Baginya, seakan-akan wujud satu ‘senarai semakan’ yang dirasakan kaum jejaka perlu penuhi: mesti lucu, ‘woke’, peka tetapi penuh misteri, bergaya namun beretika – semuanya meski mengorbankan keaslian jati diri.

Pemenang pertandingan ‘lelaki performatif terbaik’, Encik Marvin (kanan) menerima habuan $100 daripada penganjur pertandingan tersebut, Cik Tatiana Rosli.
Pemenang pertandingan ‘lelaki performatif terbaik’, Encik Marvin (kanan) menerima habuan $100 daripada penganjur pertandingan tersebut, Cik Tatiana Rosli. - Foto TATIANA ROSLI

Akhirnya, setiap hantaran media sosial adalah pentas masing-masing. Dan di pentas itu, dilakonkan genre kehidupan sendiri.

Trend ini, tampaknya, lebih sebagai senda gurau – mengusik mereka yang meminati minuman matcha dan lagu Clairo.

Namun bagi mereka yang benar-benar menyukai perkara-perkara yang sering diparodikan oleh ‘jejaka performatif’, situasi itu boleh terasa rumit.

Seperti kata seorang pengguna di Instagram, @st.humain: “Dah bertahun-tahun minum matcha. Inikah caranya saya dapat tahu saya sebenarnya seorang ‘lelaki performatif’?”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg