Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aplikasi Kahoot! lancar ciri AI baru, galak pembelajaran lebih pintar

Wadah permainan digital bantu pelajar kekal bersemangat sebelum peperiksaan
Sep 25, 2025 | 5:30 AM
Kahoot, kuiz interaktif,
Antara ciri kecerdasan buatan (AI) yang baru dilancarkan wadah pembelajaran sejagat, Kahoot! termasuk fungsi yang menukar nota tulisan tangan menjadi kuiz interaktif. - Foto KAHOOT!

Pelajar kini boleh menilai tahap persediaan peperiksaan mereka melalui ciri baru, ‘Test Mode’ atau Mod Ujian dalam aplikasi Kahoot!, yang mensimulasi pengalaman peperiksaan sebenar.

Melalui fungsi itu, pelajar boleh menguji pengetahuan, mengenal pasti kelemahan, serta menumpukan perhatian pada topik yang perlu diperbaiki sebelum menghadapi peperiksaan sebenar.

Ciri tersebut adalah sebahagian daripada rangkaian ciri kecerdasan buatan (AI) baru yang dilancarkan oleh wadah pembelajaran sejagat Kahoot! pada 22 September.

Ia khusus bagi membantu pelajar kekal bersemangat dan mengatasi keresahan dalam menduduki peperiksaan.

Apabila menggunakan ‘Test Mode’, jawapan tidak akan dipaparkan serta-merta.

Sebaliknya, pelajar menerima ringkasan selepas ujian tamat yang menunjukkan markah keseluruhan, peratusan jawapan tepat, serta masa yang diluangkan untuk membuat ujian itu.

Menurut kenyataan Kahoot!, fungsi itu membolehkan pelajar menilai tahap keyakinan mereka dengan lebih realistik dan tumpuan pada topik yang memerlukan peningkatan.

Selain itu, Kahoot! turut memperkenalkan beberapa ciri AI lain bagi menyokong pembelajaran pelajar.

Antaranya ialah alat yang menukar nota tulisan tangan, dokumen atau artikel menjadi kuiz interaktif.

“Pelajar kini boleh menjana pelbagai format, termasuk kuiz dengan soalan pilihan berganda, ujian latihan, dan ulasan perbendaharaan kata,” jelas kenyataan Kahoot!

Fungsi ‘Step-by-step solver’, atau penyelesaian langkah demi langkah, pula membantu mengubah masalah rumit menjadi penjelasan ringkas, sekali gus memudahkan pemahaman.

Kahoot! juga mahu mendorong pelajar supaya belajar bersama rakan mereka menerusi ciri, ‘Study Groups’ atau Kumpulan Belajar, supaya mereka kekal bermotivasi dan memperdalam pembelajaran melalui kerjasama.

Dengan ciri itu, pelajar boleh membentuk kumpulan dalam aplikasi Kahoot! dan mengambil bahagian dalam sesi pembelajaran bersama.

Bagi pelajar yang gemar belajar di mana-mana sahaja, aplikasi Kahoot! kini membolehkan pembelajaran secara offline atau tanpa memerlukan sambungan Internet.

Mengulas tentang ciri AI baru itu, Naib Presiden bagi Produk untuk Kahoot!, Encik Alex Remen, berkata:

“Rangkaian ciri AI baru itu menawarkan pengalaman belajar secara sendirian yang lebih fleksibel, diperibadikan, dan memberi kesan.

“Ia menyokong pelajar sepanjang proses pembelajaran, daripada menguasai konsep baru hingga mencapai keputusan cemerlang dalam ujian.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg