Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Artis dengan saluran YouTube, podcast sendiri

Mar 15, 2020 | 05:30 AM



Dengan memiliki saluran YouTube atau podcast sendiri, beberapa bakat Singapura mampu mendekati pengikut mereka di samping membincangkan pelbagai isu yang dekat di hati mereka. Ini meliputi perihal hobi memelihara burung kakaktua, tip memasak resipi mudah buat sang bujang mahupun kupasan ehwal membina mahligai. Dalam pada itu, beberapa selebriti 'otai' (orang lama) di Nusantara dan Hollywood turut berlumba-lumba menyusuri alaf digital bagi membangun saluran YouTube yang mencetus inspirasi ramai. Wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan.



AWALNYA, pengasas dan pemuzik band setempat Klutz, Shafiq Kamis, membuka saluran YouTube peribadi yang diberi nama Kumbang Durjana bagi menyajikan petikan gitarnya memainkan lagu rok saduran.



Selain memperluas rangkaian kenalan yang sehati sejiwa dalam muzik di alam siber, beliau juga dapat mengembang dan memaparkan bakatnya sebagai pemain muzik.



Namun timbul di fikiran Shafiq, 39 tahun, alangkah baiknya jika klip video tentang hobi melatih burung kakaktua peliharaan terbang di lelapang sekitar Singapura dimuatnaikkan ke laman YouTube itu.



Ternyata, langkahnya itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna YouTube yang teruja ingin tahu lebih lanjut tentang hobi yang kian popular dalam kalangan penduduk Melayu di Singapura.



Shafiq adalah antara kian ramai bakat muzik, deejay atau lakonan setempat yang membuka saluran YouTube dan podcast sendiri bagi pengikut mereka lebih mengenali diri mereka di luar bidang seni.



Sebagaimana kata Shafiq ketika dihubungi baru-baru ini:



"Melihat sambutan menggalakkan itu, saya lebih bersemangat memuatnaikkan video Macaw Freefly Tour Singapore di mana saya memperkenalkan hobi menarik ini kepada orang ramai.



"Saya mengulas tempat-tempat yang sesuai bagi menerbangkan burung kakaktua atau aktiviti parrot freefly. Ada juga penerokaan tempat-tempat terselindung yang boleh dikunjungi pada hujung minggu.



"Kemudian ada kisah sebenar menempuhi risiko jika burung itu tersesat atau dikejar helang. Saya kira panduan sebegini membantu mereka yang baru berjinak-jinak dengan hobi ini lebih memahami perkara yang wajar atau tidak mereka lakukan."



Kini, Shafiq mendapat idea menyiapkan tutorial (video panduan dan bimbingan) menjaga burung dari usia ia baru menetas dan perlu disuap.



Beliau juga akan menambah kandungan saluran YouTube itu dengan kisah-kisah bagaimana beliau menyelamatkan burung yang cedera daripada terus melarat penyakitnya.



"Cabaran yang saya hadapi adalah dalam memastikan kandungan yang disajikan menarik. Saya perlu konsisten memuatnaikkan dua hingga tiga video seminggu.



"Saya juga gigih memantau siapa yang menonton video saya dari segi usia, kaum dan negara bagi membolehkan saya mengetengahkan kandungan yang sesuai dengan cita rasa mereka pada masa akan datang," katanya lagi.



Bagi Shafiq, dalam menyusuri alaf digital, penting bagi bakat setempat menebarkan sayap mereka di luar skop media tradisional seperti radio dan televisyen dengan membangunkan laman YouTube atau sesi podcast sendiri.



"Banyak faedah boleh diperolehi dengan berkongsi bakat atau ilmu muzik, lakonan, hobi atau pertukangan dalam YouTube dan podcast. Saya akan terus memuatnaikkan kandungan bermutu tentang haiwan peliharaan khususnya burung yang dijinakkan.



"Mudah-mudahan, menerusi video ini pun, saya dapat mencari sumber rezeki dan ia boleh dijadikan ruang memperolehi pendapatan," katanya lagi.



'RAPPER' BANGUN PEMINAT DARI YOUTUBE



Penggiat rap Singapura, Atrez, 34 tahun, yang nama sebenarnya, Muhammad Nuridris Mohamad Samshuddin, pula memiliki laman YouTube yang diberi nama Koolfellerz sebagai wadah mengenali lebih dekat pengikutnya.



Lantaran itu, selain memuatnaikkan kandungan berupa promosi muzik, ia turut mengetengahkan video reaksi Atrez pada video tular di media sosial, rancangan seram sejuk mahupun panduan memasak buat si bujang.



Beliau, yang berulang-alik dari Singapura ke Malaysia, berkata:



"Jika kita dapat menyelami cita rasa pengikut sejagat kita di YouTube dan membangun minat mereka, lebih mudah mempromosikan muzik kita kelak serta memperolehi pendapatan pasif daripada video YouTube tanpa terlalu bergantung pada persembahan di luar.



"Kerana itu, kandungan yang saya sajikan ada kumpulan tukikan tersendiri misalnya kaum bujang atau mereka yang berkongsi minat serupa.



"Cabaran mengekalkan saluran YouTube ini terletak pada usaha membangun jumlah penonton dan mereka yang melanggani saluran ini. Mudah-mudahan mereka akan jadi pengikut setia yang sentiasa menantikan kandungan baru daripada saluran saya itu."



Atrez berharap dapat lebih memantapkan saluran YouTube Koolfellerz dengan kandungan lebih menarik.



Beliau banyak mendapat inspirasi daripada personaliti YouTube Barat yang memiliki jenama sendiri seperti Jake Paul, David Dobrik, Logan Paul dan Casey Neistat.



PODCAST TENTANG MAJLIS KAHWIN



Dua deejay majlis kahwin dan acara melibatkan selebriti setempat dan seberang Tambak, Azzuri Azmi, 39 tahun, dan Alfian Afandi, 40 tahun, enggan ketinggalan zaman.



Idea menghasilkan podcast Manap dan Mawi timbul pada November tahun lalu meskipun mereka tiada sebarang kemahiran teknikal mengusahakan siaran podcast.



Kajian dijalankan dan bersandarkan bajet $200, mereka membeli peralatan yang diperlukan seperti mikrofon, fon kepala, pengadun dan kondenser dari laman dalam talian Lazada.



"Awalnya, nak bual kosong sahaja tetapi atas cadangan isteri Alfian yang ingin manfaatkan kemahiran kami sebagai deejay bawah blok, maka diperbualkan tentang apa yang berlaku di sebalik majlis kahwin Melayu di Singapura.



"Topik ini dekat di hati kami lantas mudah bagi kami kupas di samping mengundang penyedia khidmat lain dan pakar yang terlibat dalam pembinaan mahligai sepasang mempelai.



"Tiada niat mengaibkan mana-mana pihak. Kami hanya ingin meningkatkan kesedaran ramai tentang khidmat katering, jurudandan, jurugambar, kumpulan kompang dan sebagainya.



"Banyak kita dengar tentang majlis kahwin yang jadi kurang sempurna. Apa sebabnya? Alhamdulillah, sambutan bagi podcast yang mula bersiaran pada 1 Disember lalu menggalakkan," cerita Azmi.



Siaran podcast Manap dan Mawi itu juga bekerjasama dengan gerbang dalam talian Nakkahwin.Com yang menyenaraikan khidmat pakej perkahwinan ibarat direktori yang boleh dijadikan rujukan bakal mempelai.



"Kerana terkesan dengan siaran podcast kami, ada pendengar yang memberi maklum balas memperkasa kandungan podcast. Ada juga yang menaja kelengkapan audio kami.



"Harapan kami siaran podcast kami ini dapat mencakup topik lain seperti menggalas tanggungjawab dalam keluarga ibu atau bapa tunggal, perkahwinan campur mahupun situasi lelaki bujang yang berumah tangga dengan ibu tunggal," tambah Azmi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >