Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Artis M’sia niaga di bazar Ramadan

Sibuk niaga, pelakon Azlee Khairi rindu berbuka bersama keluarga
Mar 16, 2025 | 5:30 AM
Sempena Ramadan, pelakon Malaysia, Azlee Khairi, membuka reruai di bazar Woodlands, menjual kuih Raya yang dibuat isterinya, Nurul Hidayah, seperti kuih tart nanas, kuih tart Nutella dan kuih tart Cadbury.
Sempena Ramadan, pelakon Malaysia, Azlee Khairi, membuka reruai di bazar Woodlands, menjual kuih Raya yang dibuat isterinya, Nurul Hidayah, seperti kuih tart nanas, kuih tart Nutella dan kuih tart Cadbury. - Foto BM oleh AININ ALFIYANI JAILANI

Dalam mencari rezeki, pelakon Malaysia, Azlee Khairi, rela mengorbankan waktu demi kesenangan keluarga.

Berpegang ungkapan ‘kasih ayah sepanjang masa’, Azlee, 36 tahun, sedia berjauhan daripada keluarga untuk mengendalikan reruai di bazar Woodlands sempena Ramadan.

Nama Azlee pernah menjadi sebutan, terutama di kalangan kaum Hawa, apabila mencetuskan fenomena menerusi drama pada 2013, Love You Mr Arrogant.

Setelah membina keluarga bersama bekas kru penerbangan, Azlee kini lebih aktif dalam mengusahakan perniagaan bersama isterinya, Nurul Hidayah.

Pasangan itu telah mendirikan rumah tangga pada 2021, ketika pandemik Covid-19 melanda.

Majlis pernikahan mereka dibuat menerusi talian dan hanya membabitkan ahli keluarga dan sanak-saudara.

Menjengah ke reruai Azlee, atau nama sebenarnya Azlee Khairi Zulah Hainee, terdapat pelbagai produk menarik dan menggiurkan selera.

Ini termasuk kuih tart nanas, kuih tart Nutella, kuih tart Cadbury dan pakaian lelaki seperti kurta dan seluar tiga suku saiz besar.

Antara produk popular dalam kalangan masyarakat Singapura adalah kek lapis Sarawak yang juga merupakan hasil air tangan, isterinya, Hidayah, atau lebih mesra dikenali sebagai Dhiya.

Berkongsi kepada Berita Minggu (BM), Azlee memastikan jenama perniagaan Azlee Khairi & Dhiya membawa kelainan pada setiap acara yang disertainya.

Di samping produk yang wajib ada setiap acara iaitu kek lapis Sarawak, beliau juga membawakan produk lain seperti rangkaian seluar bagi kaum Adam dan minyak wangi.

Ketika mengunjungi gerainya di bazar Woodlands pada 4 Mac, beliau berkata mereka tidak hanya mengadakan reruai semasa Ramadan sahaja.

“Sebelum ini, kami pernah menyertai acara berskala besar seperti anjuran Mak Besar atau MegaXpress, sejak tiga tahun yang lalu (2022).

“Berniaga di bazar Ramadan sebagai bonus kepada kami, ada tempat untuk kami membuka gerai di sini.

“Kami juga sangat teruja membuka gerai sempena Ramadan kali ini. Kalau dulu, kami hanya berada di Singapura empat hingga lima hari, kini kami berada di Singapura selama sebulan,” kata beliau.

Bapa tiga anak berusia tiga hingga sembilan tahun itu turut berkongsi bahawa ini adalah kali pertama beliau membuka reruai sebulan di bazar Ramadan.

Sebelum ini, beliau bersama isteri pernah terlibat dalam bazar di estet kejiranan seperti di Yishun, Punggol dan Woodlands dengan tempoh singkat satu atau dua minggu.

Berkongsi perbezaan pengalaman berniaga di bazar atau pasar malam di Singapura dan Malaysia, Azlee berkata di Malaysia, pasar malam berlangsung pada hujung minggu atau pada hari tertentu sahaja. Bazar sebulan adalah bazar Ramadan sahaja. 

Beliau mendapati kededua pasar malam dan bazar Ramadan di Singapura berlangsung sehingga sebulan.

Spot atau tempat untuk bazar dan pasar malam di Singapura juga lebih luas. Kalau di Malaysia, tempat seperti ini hanya untuk acara besar, seperti Havoc dan sebagainya,” jelas Azlee yang ramah dan murah senyum.

Beliau juga menghadapi cabaran dalam mencari rezeki di seberang Tambak.

Memandangkan semua kek lapis Sarawak dan aneka kuih tart dibuat dan dibakar segar, Azlee perlu berulang alik antara Singapura dengan Kuala Lumpur setiap minggu.

Salah satu produk popular di Singapura adalah kek lapis Sarawak yang dihasilkan isteri Azlee, Nurul Hidayah. Mereka juga menjual kuih Raya seperti tart nanas, kuih tart Nutella dan kuih tart Cadbury.
Salah satu produk popular di Singapura adalah kek lapis Sarawak yang dihasilkan isteri Azlee, Nurul Hidayah. Mereka juga menjual kuih Raya seperti tart nanas, kuih tart Nutella dan kuih tart Cadbury. - Foto BM oleh AININ ALFIYANI JAILANI

Disebabkan sering berjauhan daripada isteri dan anak-anak, beliau merindui saat-saat berbuka puasa di samping keluarga tercinta.

Beliau sentiasa menanti peluang pulang ke pangkuan keluarga setiap minggu untuk meluangkan masa bersama dan membuat persiapan Aidilfitri.

Pelakon itu turut meluahkan rasa syukur dengan kehadiran peminat di Singapura yang murah hati memberi juadah berbuka ketika berada di reruainya.

“Peminat saya kebanyakannya mak cik-mak cik. Merekalah yang telah menyokong saya sejak drama Love You Mr Arrogant.

“Setiap kali mereka ke reruai saya, mereka pasti bertanya keadaan saya dan anak-anak.

“Mereka sudah seperti mak-mak saya. Alhamdulillah, selama saya di sini, saya sentiasa dikirim juadah berbuka puasa.

“Memang semangat dan sokongan orang Singapura sangat padu,” kata beliau.

Selepas Syawal, Azlee akan memulakan penggambaran drama yang mengisahkan tanggungjawab pegawai di jabatan imigresen Malaysia dalam menjamin keselamatan rakyat di sempadan daripada ancaman pemerdagangan manusia.

Butiran lanjut mengenai drama itu belum boleh dikemukakan sepenuhnya.

Reruai Azlee Khairi & Dhiya bertempat di bazar Woodlands, bersebelahan pusat beli-belah Causeway Point, sepanjang Mac.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg