Di Malaysia, bazar Ramadan selalunya menghiasi ruang luas di kawasan tempat letak kereta, mencipta suasana meriah dengan deretan gerai dan aroma makanan tradisional yang mengusik deria rasa.
Di Singapura pula, beberapa bazar Ramadan diadakan di kolong blok, membawa kehangatan pada suasana bulan puasa di tengah-tengah perumahan, dengan sentuhan keakraban kejiranan.
Itulah antara perkara menarik yang sempat dikongsi oleh pelawak dan pencipta kandungan Malaysia, Shuk Sahar atau nama sebenarnya, Mohammad Shukri Mohamed Sahar, ketika ditemui Berita Minggu (BM) pada 5 Mac, di bazar Ramadan di kolong Blok 301, Tampines.
Keadaan bazar di Tampines kelihatan meriah dengan ramai orang membeli juadah berbuka puasa.
Kolong blok itu turut dimeriahkan dengan hiasan menarik, membawa hadirin dalam kembara masa seperti di pasar di kawasan perkampungan.
Ketika ditemui, Shuk sedang menjual dan mengagihkan hidangan nasi kerabu di gerainya, Saudagar Kerabu, kepada pelanggan.
Setiap pelanggan di gerainya disapa baik dan mesra oleh mantan penyampai radio itu.
Bahkan, barisan pelanggan pula tampak seperti tiada hujungnya.
Menyentuh tentang keunikan bazar di Singapura, Shuk dengan teruja berkata kepada BM:
“Kalau di Malaysia, warga seberang selalu menanti-nantikan bazar Ramadan kerana mereka menginginkan hidangan kuih tradisional, ikan atau ayam bakar dan ayam percik.
“Tetapi, apabila Shuk berpuasa di Singapura, Shuk dapati kebanyakan makanan di sini adalah makanan hipster (makanan yang diolah untuk menepati selera semasa dengan nilai kontemporari).
“Ada burger, ada steak, ada wagyu! Memang budaya di Singapura berlainan berbanding di Malaysia.
“Peniaga di sini juga saling bertukar juadah ketika berbuka puasa. Itulah yang seronok dan unik tentang masyarakat Singapura sewaktu Ramadan.”
Bagi usaha menjual nasi kerabu menerusi Saudagar Kerabu, Shuk bekerjasama dengan rakan warga Singapura iaitu, Muhammad Adam Johari, 35 tahun, yang juga pemilik gerai nasi lemak hijau, MeatDrop, di Joo Chiat.
Pada awalnya, Shuk bimbang memikirkan tentang sambutan masyarakat Melayu/Islam di Singapura terhadap hidangan asal Kelantan itu.
Bagi Shuk, hidangan nasi kerabu agak sukar memenangi tempat di hati pencinta makanan, kecuali mereka ada darah Kelantan atau menggemari hidangan tersebut.
Beliau sendiri mengaku agak cerewet jika makan nasi kerabu di mana-mana tempat sekalipun.
Shuk juga tidak menyangka akan terkena ‘pukulan’ air tangan peniaga Singapura yang mahir menyediakan nasi kerabu dan alhasil berjaya menambat hatinya.
“Nasi kerabu ini mempunyai selera khas yang biasanya orang Kelantan sahaja yang tahu.
“Namun, sekali itu, Shuk pergi ke gerai Adam di Joo Chiat untuk merasa hidangan nasi kerabunya.
“Shuk rasa ianya sedap dan boleh ‘pergi’ (mempunyai potensi untuk berkembang jauh).
“Dari situlah Shuk dan Adam mula bekerjasama,” jelas Shuk.
Untuk mendekati selera masyarakat di Kota Singa, Shuk bersama Adam menampilkan kelainan dalam hidangan ini –memadankan nasi kerabu dengan ayam, daging serta kambing bakar.
Beliau berkata daging yang digunakan adalah daripada potongan striploin.
Antara cabaran yang dilalui sebagai anak rantau yang mencari rezeki di seberang, Shuk akur agak sukar mencari tempat letak kereta di sini kerana beliau memandu kereta besar.
Pengalaman yang meninggalkan kesan dalam ingatannya adalah ketika disaman kerana meletak kereta sembarangan.
“Masa itu Shuk tak tahu pun pasal ini. Tapi Shuk belajar daripada kesilapan.
“Sampai ke hari ini, nak cari tempat letak kereta menjadi cabaran yang perlu Shuk hadapi sepanjang membuka gerai di bazar Ramadan di Singapura,” katanya lagi.
Terlepas dari kontroversi yang melingkupi kehidupannya, nama Shuk kembali menjadi sebutan, terutama di kalangan masyarakat Singapura, apabila beliau bergabung dengan podcast atau audio siar jenama OKLETSGO pada 2024.
Namun, sayangnya, jodoh mereka tidak berpanjangan.
Setelah podcast OKLETSGO dinyatakan tutup pada Oktober 2024, Shuk menjadi sebahagian daripada podcast Lepak Bapak yang ditubuhkan oleh enam sahabat yang telah menjalinkan persahabatan lebih dua dekad.
Selain Saudagar Kerabu, Shuk turut membantu Lepak Bapak mempromosikan jualan barangan seperti sampul duit Raya, lampu lap lip, butang baju Raya, serunding dan banyak lagi, melalui kandungan pemasaran berunsur jenaka yang dimuat naik di laman Instagram dan TikTok miliknya.
Beliau juga merupakan antara rakan kongsi bagi jenama Golden Bao, hidangan snek jalanan dari Sichuan, China, yang tular dan diinspirasikan daripada roti Shaobing.
Reruai Lepak Bapak ada di Kandahar Street, sementara Golden Bao di reruai MS17 dan MS18 di Bazar Kampong Gelam.
Menyentuh harapannya, Shuk berhasrat menjalin rangkaian hubungan antara Singapura dan Malaysia, demi membantu peniaga memperluas jenama di seberang tambak melalui wadah yang dibina iaitu, Saudagar Temasek.
Lebih daripada itu, beliau juga ingin membantu rakan-rakan artis dari Malaysia yang mahu cuba memasuki pasaran Singapura dan membuka gerai di sini.
Gerai Saudagar Kerabu berada di dua bazar iaitu di Blok 301, Tampines; dan di Woodlands berdekatan pusat beli-belah Causeway Point, sepanjang Ramadan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg