Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Artis ‘otai’ dengan pengalaman, lakonan bermutu wajar dihargai

Usaha ABPBH iktiraf pelakon lama buka ruang golongan veteran terus menyumbang pada arena seni
Oct 19, 2024 | 5:30 AM
Rita Rudaini (atas, kiri yang bergambar bersama dua puteranya) tidak pernah menerima sebarang anugerah sepanjang 30 tahun bergelar anak seni, manakala Fasha Sandha (kanan) dan Raja Ema (bawah, kiri) pula sudah lama tidak menjulang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Malaysia.
Rita Rudaini (atas, kiri yang bergambar bersama dua puteranya) tidak pernah menerima sebarang anugerah sepanjang 30 tahun bergelar anak seni, manakala Fasha Sandha (kanan) dan Raja Ema (bawah, kiri) pula sudah lama tidak menjulang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Malaysia. - Foto-foto BHM

Siapa tidak ingat Puteri Pop Malaysia era 1980-an, Raja Ema, dengan skirt kembang setiap kali tampil menyanyikan lagu Jejaka Idaman atau Mentari Korea?

Beliau bahkan pernah digelar, ‘Cyndi Lauper Malaysia’, mengikut gaya persembahan lincah mirip Lauper, pelantun lagu, Girls Just Want To Have Fun dari Amerika Syarikat.

Dengan gaya manja, senyum manis dan suara comelnya sahaja, ramai yang tertarik menyaksikan filem yang dijayakan Raja Ema, kini 55 tahun, seperti Sayang, Mawar Merah, Antara Dua Hati, Boss dan Queen Control.

Kebolehan pelakon jelita, Rita Rudaini, dalam filem komedi, Mami Jarum, serta drama komedi romantis, Cinta Gila, dan tragedi cinta, Rahsia Hati juga tidak dapat disangkal lagi.

Lakonan Rita memang hidup sehinggakan masih diberi watak utama sebagai wirawati sesebuah drama sosial atau saspens pada usianya yang mencecah 48 tahun.

Sebut tentang Fasha Sandha, 40 tahun, pula, berilah apa jua watak kepadanya, baik yang memerlukannya menangis tanpa henti dek penderitaan hidup terseksa dalam rumah tangga tidak bahagia ataupun sebagai wanita jahat penggoda, semuanya digalas dengan baik dan berkesan.

Bagi saya, mereka adalah antara nama bintang seberang yang kekal terpahat dalam ingatan apabila berbincang tentang persada hiburan Malaysia. Populariti mereka memang tidak dapat disangkal lagi.

Cuma apabila mereka diiktiraf peminat dengan pencapaian undian tertinggi bagi beberapa kategori berbeza Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Malaysia ke-36 pada 11 Oktober, saya mula tertanya-tanya mengapa mereka perlu menunggu sebegitu lama untuk mendapat gelaran artis popular?

Kali terakhir Raja Ema naik pentas ABPBH untuk menjulang piala Pelakon Pembantu Wanita Popular ialah pada 1988 iaitu 36 tahun lalu.

Kali ini, anak pelawak Yusni Jaafar itu diberi penghormatan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Filem Popular yang menewaskan pelakon muda, Daiyan Trisha, Harissa Adlynn, Nadia Brian dan Wanna Ali.

Beliau dicalonkan bagi filem arahan Datuk Aaron Aziz, Sayu Yang Syukur, yang tergendala lapan tahun kerana pelbagai faktor termasuk wabak Covid-19 dan akhirnya ditayangkan pada 2023.

Kerana pemasaran filem itu kurang agresif, tak ramai yang tahu, Raja Ema ada juga berlakon filem sejak beberapa tahun ini.

Ramai yang tertanya-tanya, “Filem apa yang Raja Ema lakonkan? Macam tak ada sahaja...”

Apabila ditanya wartawan seberang, Raja Ema yang hadir ke ABPBH di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula hanya berseloroh: “Kak Ema cuma sibuk buat acar di rumah... tak tahu macam mana boleh menang ABPBH?”

Apa yang boleh saya katakan, penghargaan buatnya memang wajar. Tak perlu tengok populariti pada tahun-tahun khusus untuk projek tertentu tetapi populariti secara meluas dan sejak beliau berkecimpung dalam bidang seni pada 1987 melalui filem, Sayang.

Ada teman yang kata, poster Raja Ema menjadi penghias fail dan loker di sekolah. Beliaulah bintang yang selalu ditampilkan bagi filem kerjasama Malaysia dengan Indonesia, Cinta Berdarah, Sepasang Mata Maut, Api Cemburu dan Kipas-Kipas Cari Angin.

Raja Ema wajah iklan Hari Raya jenama EON dan sabun Lux.

Mujurlah, beliau pernah membawa pulang trofi Bintang Harapan Wanita Terbaik pada 1987 dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada 1989 bagi Festival Filem Malaysia.

Fasha mungkin lebih beruntung sebab setiap kali dicalonkan bagi ABPBH, piala kemenangan berpihak padanya, baik sebagai Pelakon TV Wanita Popular ataupun Pelakon Filem Wanita Popular, antara 2005 dengan 2007 dan 2011.

Pada 2024, Fasha menang Pelakon Filem Wanita Popular bagi filem, Cerana Biduk Bu Merah.

Beliau menewaskan nama-nama besar buat masa ini iaitu, Amelia Henderson, Isyariana, Janna Nick dan Uqasha Senrose.

Pada usia 40 tahun, beliau sudah dianggap veteran dan ‘orang lama’ kerana mula berlakon pada usia 18 tahun menerusi filem, Black Maria.

Satu perkara yang boleh dibanggakan, Fasha tidak pernah menyifatkan dirinya sudah bagus bahkan masih lagi menghadiri kelas lakonan hingga ke saat ini untuk terus menimba ilmu dan memperkasa diri.

Dalam pada itu, ramai netizen yang melahirkan rasa kasihan tetapi berbangga dengan pencapaian Rita yang mula berlakon pada 1997.

Sebab beliau tidak pernah meraih sebarang anugerah, baik populariti ataupun terbaik, sepanjang hampir 30 tahun berkecimpung dalam bidang seni.

Beliau pernah dicalonkan bagi ABPBH sebanyak lima kali sebelum ini, pada 2003, 2005-2008, tetapi apa nak dikata? Belum sampai rezekinya hingga 2024 apabila dianugerahkan dengan gelaran Pelakon Pembantu TV Wanita Popular.

Kesan lakonannya dalam drama, Kerasnya Takdir, dikatakan memancing undian banyak buatnya yang sekali gus membolehkan beliau menewaskan Alya Iman, Amyza Aznan, Bella Hana dan Puteri Sarah Liyana.

Mungkin juga rezeki Rita mencurah-curah pada 2024 kerana buat julung-julung kalinya ditemani dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.

Secara kesimpulannya, majlis yang mengiktiraf populariti bintang sewajarnya bukan hanya untuk golongan penggiat seni muda belia yang namanya memang sedang ‘up’, apatah lagi seiring penampilan tampan atau jelita.

Saya lihat persada seni di Barat tetap menjulang tinggi artis veteran yang suatu ketika pernah berada di puncak kegemilangan dan disebut-sebut namanya.

Kalau kita nakkan dunia hiburan lebih bersifat terangkum dan tetap memberi ruang buat artis veteran menjalani penuaan aktif dan menyumbang secara berkesan kepada ekosistem seni, satu cara adalah dengan menguar-uarkan sokongan bagi mereka yang sudah lama berkorban masa, keringat dan kepakaran.

Tiada lama, tiadalah yang baru. Lagi pun, sebagai penonton setia drama dan filem, kita harus menghargai bukan sekadar pada rupa dan usia malah pengalaman, ilmu dan mutu yang disalurkan bintang ‘otai’ atau orang lama seperti Raja Ema, Rita Rudaini dan Fasha Sandha.

“Tiada lama, tiadalah yang baru. Lagi pun, sebagai penonton setia drama dan filem, kita harus menghargai bukan sekadar pada rupa dan usia malah pengalaman, ilmu dan mutu yang disalurkan bintang ‘otai’ atau orang lama seperti Raja Ema, Rita Rudaini dan Fasha Sandha.”
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg