Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Impak besar kematian selebriti walau bukan keluarga atau teman

Rasa kehilangan boleh dirasakan kerana kesan lakonan, lagu atau kerja amal bintang yang disayangi
Jul 20, 2024 | 5:30 AM
Kematian bintang ‘Beverly Hills, 90210’, Shannen Doherty, kerana barah pada 13 Julai,membawa kesan sehingga menjadi topik hangat di sebalik mata dunia terarah pada insiden percubaan membunuh mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Kematian bintang ‘Beverly Hills, 90210’, Shannen Doherty, kerana barah pada 13 Julai,membawa kesan sehingga menjadi topik hangat di sebalik mata dunia terarah pada insiden percubaan membunuh mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump. - Foto AFP

Pemergian bintang televisyen Beverly Hills, 90210, Shannen Doherty, pada 13 Julai, meninggalkan kesan mendalam buat sebilangan besar peminatnya termasuk beberapa teman saya (termasuk lelaki) yang saban hari memuatnaikkan fotonya di Instagram Story atau Facebook.

Dalam usaha mengenang kembali impak watak si remaja bijak dan matang, Brenda Walsh, yang dimainkan Doherty dalam siri selama 10 musim (1990-2000), mereka mencoret perkara-perkara yang dipelajari daripada drama remaja berkenaan.

“Saya rasa kehilangan. Brenda Walsh tiada lagi. Sebabnya, Shannen Doherty, pemegang peranan gadis bijak yang kemudian tersepit dalam percintaan tiga segi itu sudah meninggal dunia.

“Brenda Walsh adalah watak yang disenangi dan dibenci. Tengok musim apabila wataknya berkembang. Saya teringat detik saya selalu bergegas pulang dari sesi tuisyen setiap pagi Ahad untuk segera ada di rumah untuk menonton Beverly Hills, 90210.

“Apabila saya dewasa, saya membeli set lengkap DVD 10 musim drama ini untuk hayati kisah persahabatan dan percintaan yang ada pasang surutnya. Ia banyak mengajar saya tentang penerimaan hidup seadanya dan erti perjuangan walaupun dalam konteks budaya belia barat,” tulis seorang teman yang senang dengan panggilan ‘Din Helter-Skelter’.

Seorang lagi teman pula akur makan berhari untuknya mengubati kesedihan sesudah mendapat tahu Doherty, 53 tahun, tewas dek barah buah dada tahap empat.

“Brenda Walsh... itulah watak kegemaran saya dalam Beverly Hills, 90210. Dia adalah paparan watak remaja biasa yang tidak sempurna, ada kelebihan dan ada kekurangan.

“Dia boleh berikan ‘tamparan wanitanya’ pada teman yang cuba rapat dan berkasih dengan guru sekolah yang dia sukai. Dia boleh juga membela teman yang teruk dibuli dan dipandang rendah.

“Pemergiannya sangat saya rasakan sebab drama ini menjadi sebahagian besar hidup saya.

“Walau saya tidak mengenali pelakonnya secara peribadi, mereka ibarat teman yang mengajar saya tentang asam garam hidup remaja,” tulis seorang lagi teman, Fynda, di Facebook.

PENGARUH SELEBRITI TERPAHAT DI INGATAN

Sebagaimana yang saya baca dalam satu rencana laman Incendo, selebriti adalah lambang satu gerakan atau gagasan pemikiran yang begitu berpengaruh dalam kehidupan ramai orang.

Dalam satu dunia sibuk mengamati berita besar tentang percubaan membunuh mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang ditembak di telinga dalam satu kempen pilihan raya negara itu, orang tidak lupa dan turut membincangkan tentang pemergian Doherty dan jurulatih kecergasan ikonik, Richard Simmons.

Apabila mereka meninggal dunia, terasa kesedihan yang menyelubungi hati bagaikan terhentinya nadi pergerakan dek kehilangan tokoh budaya pop yang berjasa kerana menjadi sebahagian daripada hidup kita.

Saya masih ingat pada 11 Februari 2012, saya dikejutkan dengan berita penyanyi bersuara emas, Whitney Houston, meninggal dunia pada usia 48 tahun. Mendiang Houston ditemui mati lemas di tab mandi bilik hotel di Beverly Hilton.

Seingat saya selama tiga hari berturut-turut, saya hanya mahu dengar suaranya berkumandang melalui lagu yang memberi inspirasi buat saya seperti One Moment In Time, The Greatest Love of All dan When You Believe (didendangkan bersama Mariah Carey).

Kesan yang sama saya rasakan apabila penyanyi veteran, Olivia Newton-John, yang terkenal kerana lagu runut bunyi rasmi (OST) filem ikonik Grease, meninggal dunia kerana barah buah dada pada 8 Ogos 2022.

Saya juga terkesan dengan pemergian vokalis band Sweden, Roxette, Marie-Fredriksson, pada 9 Disember 2019, juga kerana barah serta penyanyi Ireland daripada band The Cranberries, Dolores O’Riordan, yang ditemui mati lemas di bilik hotel sekitar London kerana kesan alkohol berlebihan pada 15 Januari 2018.

Jadi berhari-hari lamanya, lagu It Must Have Been Love, The Look, Spending My Time dan Dangerous daripada Roxette serta Linger, Zombie dan Dreams daripada The Cranberries menjadi lagu dalam ‘mode’ berulang di Spotify.

Walaupun tidak pernah berpeluang mewawancara Newton-John, Frederiksson atau O’Riordan dan hanya sempat menonton konsert mereka atau membaca tentang cebisan kisah hidup mereka yang penuh onak duri di dalam talian, mereka terasa begitu dekat dengan kehidupan saya.

Lagu mereka menjadi peneman di kala suka duka atau untuk meredakan tekanan.

HUBUNGAN ‘PARASOSIAL’ SATU HALA

Mungkin ada orang yang tertanya-tanya mengapa sebilangan peminat selebriti ini akan mengambil masa untuk mencari penawar duka apabila bintang kegemaran mereka meninggal dunia?

Seorang teman saya pernah menceritakan betapa penatnya melihat kakaknya meratapi pemergian penyanyi kegemaran seperti Datuk Sudirman Haji Arshad dan Datuk Sharifah Aini.

“Kakak saya akan duduk di depan radio dan mengesat air mata kalau mendengar lagu Sudirman dan Kak Pah. Saya sukar memahami,” kongsinya.

Rencana Incendo itu menerangkan bahawa wujud ‘hubungan parasosial’ dengan selebriti, satu terminologi yang digunakan oleh pakar psikologi. Hubungan ini satu hala sahaja dengan si individu berasakan kedekatan yang amat sangat dengan selebriti yang sering diikuti di media sosial khususnya TikTok dengan kandungannya diamati setiap hari.

Justeru, apabila selebriti itu meninggal dunia, terasa persis kehilangan teman rapat atau anggota keluarga.

HILANG SUARA DERMAWAN

Saya yakin berita kematian ikon fesyen dan kerja amal diraja, Puteri Diana Spencer, pada 31 Ogos 1997 dalam satu kemalangan tragik meninggalkan kesan dalam hati kita sehingga hari ini.

Kebiasaannya, pemergian tokoh yang banyak mengusahakan kerja kebajikan pada skala besar sepertinya akan memberi impak. Jika mereka tiada, ia terasa seperti tidak ada lagi suara ihsan yang memperjuangkan sesuatu gerakan kebajikan.

Bagi saya, menarik juga untuk melihat impak selebriti dalam sesebuah band atau kumpulan. Walaupun anggotanya tidak mati secara fizikal, pembubaran sesebuah kumpulan seperti Take That pada Februari 1996 membawa pada penubuhan talian bantuan khas oleh penyedia khidmat bantuan The Samaritans.

Bukan apa, talian ini membantu peminat yang tertekan sampai menangis berhari-hari lamanya dan tak lalu makan atau nyenyak tidur kerana murung dek pembubaran Take That! Aduhai...

Ada ramai selebriti yang meninggal dunia muda pada puncak kejayaan mereka seperti penyanyi Indonesia, Nike Ardilla dan Alda Risma, pelakon Hollywood, James Dean serta penyanyi Ritchie Valens. Ramai yang kata, ia kehilangan besar bagi dunia seni kerana potensi mereka tidak dapat terus dikembangkan.

Ia iktibar tentang kerapuhan hidup di alam fana. Penghargaan dan pengiktirafan kepada anak seni juga harus diberi selagi hayat mereka masih ada dan bukan sesudah mereka tiada untuk melihat hasil usaha mereka.

Gajah mati meninggalkan gading, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Walau apa pun, ingat sahaja yang baik-baik yang dilakukan anak seni ini dan lupakan sahaja perkara buruk yang pernah tercalit dalam diari hidupnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg