Asia telah mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat tumpuan utama bagi pelancongan Muslim, mencatatkan hampir 128 juta ketibaan pada tahun 2026, menurut laporan Indeks Pelancongan Muslim Global ke-11 yang dikeluarkan Mastercard dan CrescentRating baru-baru ini.

Didorong oleh ketersambungan serantau yang kukuh dan infrastruktur mesra Muslim yang mantap, Asia Tenggara telah muncul sebagai koridor utama bagi pelancong Muslim.

Malaysia berjaya mempertahankan gelaran sebagai ‘Destinasi Mesra Muslim Terbaik’ bagi tahun ke-11 berturut-turut.

Indonesia pula mendaki tiga tangga untuk berkongsi tempat kedua bersama Turkey dan Arab Saudi.

Dalam kalangan destinasi bukan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Singapura kekal di tempat pertama dan menduduki tempat ke-11 secara global.

Menurut laporan itu, pencapaian Singapura disokong oleh ekosistem kulinari halalnya, piawaian keselamatan tinggi, persekitaran budaya majmuk serta infrastruktur destinasi pintar.

Hong Kong naik ke tempat kedua dalam kalangan destinasi bukan OIC, sementara Taiwan dan United Kingdom berkongsi tangga ketiga.

Thailand, Filipina, Jepun dan Korea Selatan juga menyaksikan momentum, mencerminkan pelaburan lebih luas dalam pengalaman pelancongan yang lebih inklusif merentas Asia.

Kecerdasan buatan (AI) bentuk semula perancangan

Menurut laporan tersebut, seramai 80 peratus pelancong kini menggunakan alat AI untuk tujuan pelancongan, mencerminkan peralihan besar dari segi bagimana pelancong mencari destinasi, menilai dan merancang perjalanan mereka.

Justeru, terdapat keperluan untuk setiap destinasi memastikan khidmat mesra Muslim bukan sahaja tersedia, malah boleh diakses secara digital.

Wadah dijana AI kini boleh membantu pelancong mengenal pasti pilihan makanan halal, mencari ruang solat, membandingkan laluan pengangkutan, menerima saranan yang disesuaikan dan menavigasi destinasi dengan lebih keyakinan.

Naib Presiden Kanan, Pusat Huraian Pelanggan, Asia Tenggara di Mastercard, Cik Aisha Islam berkata:

“Pelancongan Muslim kini sedang dibentuk semula oleh kepercayaan digital, akses lancar dan keperluan untuk kepastian yang lebih tinggi sepanjang perjalanan.

“Memandangkan AI semakin sebati dalam perancangan pelancongan, destinasi dan perniagaan perlu memastikan maklumat boleh dipercayai, pembayaran selamat, serta perkhidmatan mesra Muslim lebih mudah ditemui dan digunakan.

“Bagi Asia Tenggara, ini memberikan peluang besar untuk memperkukuh kedudukannya sebagai koridor pelancongan yang terhubung, inklusif dan berdaya digital.”