Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

REVIU

‘Atas Nama Cinta’, Rossa beri jiwa raga buat peminat

Diva Indonesia tiup semangat penonton berhibur lebih dua jam
Aug 15, 2023 | 05:30 AM



Dari dahulu hingga sekarang, satu perkara yang tidak berubah mengenai diva Indonesia dan pelantun lagu balada Ayat-Ayat Cinta, Sri Rossa Roslaina Handiyani, atau mesra dengan nama pentas Rossa, adalah keramahan dan interaksinya bersama penonton.


Tidak terbilang berapa kali penulis sudah menghadiri konsertnya yang tidak pernah sepi daripada perkara baru untuk disajikan buat santapan halwa telinga dan mata hadirin.

Yang pasti, beliau adalah penghibur yang tahu cara tepat untuk dekat di hati peminat dan pencinta lagu Indonesia dari pelbagai lapisan generasi, baik yang muda belia, pertengahan usia ataupun warga emas.

Pada Sabtu lalu, bonus buat Rossa, 44 tahun, adalah lautan penonton dari tingkat bawah hingga tiga Teater The Star yang begitu terhibur dengan persembahannya dan memberi respons yang pasti membakar lagi semangat penyanyi itu untuk terus menghiburkan peminat tegarnya.

Teman di sebelah penulis yang menyaksikan beberapa konsert ‘otai’ iaitu Datuk M. Nasir dan Wings sebelum ini sempat mengulas:

“Saya beri penonton konsert Rossa yang tidak boleh diam dalam teater ini markah 10/10. Mereka jauh lebih ‘happening’ daripada penonton konsert rok Wings dan konsert legenda M. Nasir...”


Tepat sekali kata-katanya yang cukup memerhatikan situasi sekeliling dan membuat perbandingan.

Penonton konsert Rossa: Another Journey, The Beginning Live In Singapore anjuran SAH Enterprise sememangnya bagaikan bateri yang tidak pernah berhenti walau malam kian menjelma.


Mereka menyanyi kuat tanpa menghiraukan suara yang mungkin ‘ke laut’ dan membuat penonton sekeliling memandang sambil tertawa atau melontar pandangan tajam tanda bingit.

Mereka bangkit dari kerusi empuk di malam hari untuk menari. Mereka menyalakan lampu picit dari telefon untuk mengiringi Rossa dalam lagu-lagu cintanya yang menusuk kalbu. Yang penting, mereka happy’!


Rossa menyanyikan lagu yang dimuatkan dalam album terkininya Another Journey: The Beginning iaitu Akhirnya. Beliau membuat penonton begitu teruja apabila menyanyikan rangkaian lagu popular yang masih bermain di minda ramai iaitu Terlalu Cinta, Ayat-Ayat Cinta, Atas Nama Cinta dan Takdir Cinta.


Lagu baru buat kaum Hawa, Wanita, adalah irama yang masih segar tetapi cepat terpahat di dalam jiwa kerana seni katanya yang bermakna dan melodi lagunya yang menyejukkan hati hasil ilham Rian Ekky Pradipta.


Boleh dikatakan tiada detik dalam konsert ini yang menjenuhkan atau menghambat semangat sehingga anda ingin terus menatap telefon bimbit untuk menyemak akaun Facebook dan Instagram.

Konsert ini berjalan lancar dan semakin meriah dengan setiap lagu seperti Masih, Sekali Ini Saja, Tegar 2.0, Ku Menunggu, Aku Bukan Untukmu dan Bertengkar Manis berkumandang.


Rossa juga bercerita secara ringkas kisah di sebalik tabir beberapa lagu yang menjadi kegemaran penonton. Beliau sempat menyanyikan Hati Yang Kau Sakiti dalam bahasa Korea, disambut penonton pula dalam lirik bahasa Indonesia.


Beliau juga membawa ke pentas penganjur Sufi Rashid yang mendendangkan lagu duet Terlanjur Cinta yang dipopularkan Rossa dan Pasha Ungu dengan begitu baik tanpa mencacat celakan lagu asal.


Sufi bahkan mendapat tepukan gemuruh daripada penonton yang menghargai kehadirannya dan juga usahanya dan pasukan membawa Rossa ke Singapura.

Apabila Rossa mengundang pasangan kekasih (secara berasingan) Rizky Febian dan Mahalini ke pentas, sambutannya menjadi lebih luar biasa. Sayangnya, mereka tidak ditampilkan untuk satu lagu duet, sesuatu yang dinanti-nanti penonton.

Mahalini yang jelita begitu pandai menarik hati penonton dengan caranya yang bersahaja dan lagu ‘ngetop’ berjudul Sial yang tular. Lagu ciptaan Tere tentang wanita yang payah mencari jodoh dengan frasa-frasa putus asa dan kecewa sarat digunakan ini kadangkala disalah anggap sebagai lagu pesimis dan negatif.


Namun, beberapa kali Tere dan Mahalini mempertahankannya sebagai lagu tentang pengalaman peribadinya sendiri.

Hiburan yang diberikan Rossa bagi menggambarkan penglibatan 25 tahun dalam industri seni benar-benar padat dan membawa penonton kembali ke era nostalgia dan pastinya untuk melihat ke depan tentang masa depan muzik Indonesia. Beliau turut mengingati mendiang Glenn Fredly yang merupakan sahabat seni yang sama-sama dewasa dan seangkatan dengannya menerusi lagu Sekali Ini Saja.


Kadangkala terasa Teater The Star berubah menjadi kelab muzik dansa elektronik (EDM), genre paling ‘in’ yang digemari anak muda. Ia mungkin kurang disenangi sesetengah pihak yang masih dambakan ketenangan daripada lagu balada Rossa lantas kecewa dengan apa yang disajikan.

Bagi penulis pula, pembaharuan yang diperkenal Rossa untuk menarik perhatian penonton generasi muda adalah inisiatif yang baik. Mungkin tidak perlu diubah semua susunan lagu popularnya. Ia perlu dilakukan dengan peka dan prihatin untuk memenuhi pelbagai cita rasa dan kelompok peminat yang berbeza usia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >