Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ateeqah Mazlan teroka impian perkasa hubungan ibu bapa dan anak

Pelakon dan pempengaruh capai cita-cita buka syarikat ‘Ms Nat Learning Exploration’ bagi si cilik belajar sambil bermain 
Aug 17, 2025 | 5:30 AM
Ateeqah Mazlan, Ms Nat Learning Exploration
Pelakon dan pempengaruh, Ateeqah Mazlan ingin memberi peluang kepada ibu bapa untuk meluangkan masa belajar sambil bermain menerusi program dan kelas yang ditawarkan jenamanya, Ms Nat Learning Exploration. - Foto BM oleh HAKIM NORMAN HASSAN

Sejak kecil, pelakon dan pempengaruh Ateeqah Mazlan tertarik dengan dunia persembahan teater kanak-kanak.

Minatnya dipacu apabila sering menonton filem seperti Mary Poppins, Sound of Music dan rancangan kanak-kanak, High-5. 

Ia turut membuatnya menanam azam semasa remaja untuk membuka syarikat permainan dan persembahan untuk si cilik. 

Setelah hampir sembilan tahun bekerja sepenuh masa dalam bidang pembangunan dan pengayaan kanak-kanak, Ateeqah, 36 tahun, mengambil keputusan untuk membuka syarikatnya sendiri, Ms Nat Learning Exploration.

“Saya bertanya kepada suami jika saya boleh berhenti kerja sepenuh masa dan merealisasikan impian ini. 

“Beliau memberikan restu dan turut membantu saya mengusahakan perniagaan ini dari segi kerja belakang tabir,” kongsi Ateeqah yang ditemui Berita Minggu (BM) baru-baru ini. 

Jenama yang dimulakan pada 2024 itu menganjurkan program berasaskan permainan dan menghasilkan kandungan digital yang bermanfaat bagi bayi dan kanak-kanak hingga usia enam tahun.

Ateeqah mengendalikan kelas mingguan bagi si cilik yang berumur hingga 36 bulan di taman permainan berhawa dingin, Kidztropic Cove di Havelock Road, dan Pirate Land di Eastpoint Mall, Simei. 

Beliau turut membawa watak Ms Nat dan menjadi muka depan bagi video interaktif yang dihasilkan jenamanya di YouTube dan Instagram. 

Suaminya, Rostam Effendie Yacob, 44 tahun, memainkan peranan dalam penerbitan video, muzik dan tugasan belakang tabir, menggunakan kemahirannya sebagai penerbit muzik elektronik. 

“Tujuan kami adalah untuk memberi peluang kepada si cilik dan ibu bapa masa untuk bermain bersama menerusi program interaktif dan bermanfaat yang melibatkan persembahan dan nyanyian. 

“Ia turut membantu si cilik dalam pembangunan awal mereka dengan memupuk sifat ingin tahu, membangkitkan daya kreativiti dan menggalak interaksi sosial,” ujar Ateeqah, yang turut menggunakan pengalamannya sebagai pelakon, bagi amanah baru ini.

Menerusi pengalaman peribadinya, beliau melihat bagaimana sesi bermain dengan si cilik dapat membantu dalam pembangunan awal kanak-kanak. 

“Saya dapat meluangkan masa di rumah bersama anak pertama saya ketika dia masih kecil.

“Namun, selepas melahirkan anak kedua, saya harus kembali bekerja sepenuh masa kerana ketika itu, suami saya sedang menjalani rawatan barah dan perlu berehat. 

“Saya tidak berkesempatan untuk bermain dan berinteraksi dengan anak saya itu, justeru dia mengalami perkembangan lewat dari segi pertuturan dan memahami isyarat,” kongsi Ateeqah yang mempunyai dua anak berumur sembilan dan empat tahun.  

Effendie disahkan menghidap barah hidung pada 2021 dan kini semakin pulih selepas menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi.

Beliau menerapkan pelbagai elemen menarik dalam programnya termasuk seni kraf tangan, penceritaan, permainan deria, yang melibatkan kededua ibu bapa dan anak mereka. 

Walaupun programnya dilakukan dalam bahasa Inggeris, Ateeqah kini berjinak-jinak untuk melakukan program dwibahasa, menggabungkan bahasa Melayu dan Inggeris dengan sesi pertamanya pada awal Ogos sempena Hari Kebangsaan. 

Pelakon dan pempengaruh, Ateeqah Mazlan, menggunakan peralatan yang sering digunakan untuk membuat kandungan digitalnya dan bahan yang ada di rumah untuk menghasilkan video bermanfaat untuk kanak-kanak.
Pelakon dan pempengaruh, Ateeqah Mazlan, menggunakan peralatan yang sering digunakan untuk membuat kandungan digitalnya dan bahan yang ada di rumah untuk menghasilkan video bermanfaat untuk kanak-kanak. - Foto BM oleh HAKIM NORMAN HASSAN

Ditanya apakah cabaran utama apabila ingin membuka perniagaan itu, Ateeqah berkata beliau tidak mempunyai modal yang banyak untuk membuka kelas pertamanya. 

“Kami sebenarnya bermula dengan menghasilkan video di YouTube dan menggunakan peralatan yang ada di rumah seperti berus cat dan kertas lukisan anak saya.

“Saya gunakan skrin hijau dan peralatan video yang sering saya gunakan untuk membuat video kandungan sebagai pempengaruh.

“Apabila membuka sesi pertama kami sebagai percubaan, ia mendapat sambutan memberangsangkan dan alhamdulillah dari situlah saya dapat mengembangkan jenama ini,” kongsinya yang dikenali dengan lakonannya dalam drama Belah Hati dan Step Puteri. 

Antara video pendidikan yang dikeluarkannya adalah pada 1 Januari yang mengajar kanak-kanak mengenai haiwan peliharaan melalui nyanyian dan tarian. Video itu telah menerima 40,685 tontonan.

Walaupun tidak perlu mendapatkan lesen daripada Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda), Ateeqah memastikan beliau dan mereka yang terlibat dalam menguruskan programnya menjalani latihan pernafasan kecemasan (CPR) bagi bayi dan mempunyai minat mendalam untuk bersama kanak-kanak. 

Kandungan digitalnya mengikut garis panduan masa skrin yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (MOH), iaitu kurang dari sejam sehari bagi kanak-kanak antara 18 bulan dengan enam tahun, dengan videonya di YouTube kurang dari 30 minit. 

Jenama Ms Nat Learning Exploration turut merupakan salah satu rakan masyarakat bagi Pesta Keluarga Nasional 2025 yang merupakan usaha di bawah Majlis Keluarga Sepanjang Hayat (FFL). 

Ms Nat Learning Exploration turut mengeluarkan kandungan digital di YouTube dan Instagram yang boleh ditonton kanak-kanak bersama ibu bapa mereka.
Ms Nat Learning Exploration turut mengeluarkan kandungan digital di YouTube dan Instagram yang boleh ditonton kanak-kanak bersama ibu bapa mereka. - Foto TANGKAP LAYAR YOUTUBE MS NAT LEARNING EXPLORATION

“Saya sangat bersyukur dengan sambutan daripada ibu bapa yang sentiasa menyokong program kami.

“Saya mahu semua bayi dan kanak-kanak diberi peluang untuk mengalami kegiatan bermain sambil belajar. 

“Lantas, saya dan suami sedang memikirkan cara untuk menghasilkan aplikasi yang dapat mengajar ibu bapa teknik untuk bermain bersama anak mereka.

“Kadangkala ada keluarga yang tidak berkemampuan untuk menghantar anak mereka ke program pengayaan. 

“Lantas, mereka boleh menonton kandungan digital kami secara percuma.

“Saya berharap dapat mengembangkan jenama ini dan insya-Allah dapat membuka ruang sendiri untuk mengendalikan lebih banyak kelas dan program bagi kanak-kanak,” tambah Ateeqah. 

“Saya mahu semua bayi dan kanak-kanak diberi peluang untuk mengalami kegiatan bermain sambil belajar.  “Kadangkala ada keluarga yang tidak berkemampuan untuk menghantar anak mereka ke program pengayaan. Lantas, mereka boleh menonton kandungan digital kami secara percuma.”
– Ateeqah Mazlan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg