Membina sebuah keluarga bukan hanya tanggungjawab pasangan suami isteri.
Ia memerlukan sokongan daripada anggota keluarga lain, masyarakat dan pihak berkepentingan.
Menurut Pengerusi Majlis Keluarga Sepanjang Hayat (FFL), Encik Ishak Ismail, pihaknya berharap dapat memberi sokongan bagi setiap detik penting dalam membina sebuah keluarga melalui tiga tonggak utama – ‘Rumah’, ‘Kerja’ dan ‘Main’.
Ini dilakukan menerusi program dan kegiatan kekeluargaan melibatkan rakan masyarakat seperti Persatuan Rakyat (PA), M Kuasa Tiga (M³), agensi perkhidmatan sosial dan rakan korporat.
Namun, Encik Ishak akur perlunya lebih banyak kesedaran bagi menggalak ibu bapa menyertai program di bawah FFL.
Visi majlis itu adalah untuk mendengar keprihatinan dan isu yang dilalui keluarga di Singapura sambil membina keluarga berdaya tahan supaya ia dapat mencorak masyarakat lebih utuh.
“Cabarannya adalah ada di antara mereka yang tidak tahu mengenai program yang ditawarkan.
“Terdapat juga yang berasakan mereka tidak perlu menyertai program sedemikian.
“Selepas menyertainya, baru mereka pelajari pelbagai teknik dan ilmu keibubapaan yang berasaskan bukti,” kongsinya kepada Berita Harian (BH).
Ini termasuk program pengayaan keluarga seperti, Purposeful Play, yang membantu ibu bapa dengan kanak-kanak berusia hingga enam tahun membesarkan anak mereka melalui permainan dan kegiatan harian.
Satu lagi program sokongan keibubapaan adalah, Positive Parenting Programme (Triple P), yang melengkapkan ibu bapa dengan teknik merangsang kecekapan psikologi, sosial dan emosi anak-anak mereka.
Program tersebut juga boleh disertai datuk dan nenek.
Pada acara Pesta Keluarga Nasional 2025 (NFF) yang diusahakan FFL dan diadakan dari 31 Mei hingga 29 Jun, lebih 850,000 peserta menyertai acara itu – peningkatan 17 peratus berbanding jumlah peserta bagi acara pada 2024.
Bagi acara tersebut, FFL turut bekerjasama dengan 149 rakan korporat dan 218 rakan masyarakat, hampir dua kali ganda daripada acara pada 2024.
“Inisiatif FFL@Masyarakat (FFL@Community) sudah diperluaskan kepada kesemua 24 bandar di Singapura.
“Kami sering adakan acara di ruang masyarakat dan terdapat sukarelawan yang menyebarkan mesej mengenai program dan bahan rujukan kami melalui media sosial dan kumpulan sembang seperti Telegram.
“Kami akan terus bekerjasama dengan pelbagai badan masyarakat untuk mendekati setiap keluarga.
“Dari situ, penyertaan bagi program fizikal dan dalam talian kami akan meningkat,” ujarnya.
Dalam Laporan Trend Keluarga 2025 yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 7 Julai, bilangan tempat penjagaan kanak-kanak sepenuh hari meningkat seganda sejak 10 tahun lalu (2015) – daripada sekitar 104,066 ruang jagaan pada 2014 kepada lebih 200,847 ruang jagaan pada 2024.
Tempat penjagaan bayi sepenuh hari juga meningkat hampir tiga kali ganda, daripada 5,628 ruang jagaan pada 2014 kepada 16,207 ruang jagaan pada 2024.
Dalam laporan tersebut, ia turut menekankan subsidi bagi kanak-kanak warganegara Singapura telah dipertingkat, dan had yuran bagi prasekolah di bawah Skim Pengendali Utama (AOP) dan Pengendali Rakan Kongsi (POP) telah dikurangkan secara berperingkat.
Bagi Encik Ishak, beliau menyambut baik langkah itu dan berkata ia dapat membantu ibu bapa yang mungkin menghadapi cabaran.
“Adakalanya terdapat isu mengenai masa menunggu yang lama untuk anak mereka mendapat tempat ke tadika yang berdekatan dengan tempat kerja atau rumah.
“Dengan pelbagai sokongan yang diberi, ia akan memberi kelegaan kepada ibu bapa dengan anak kecil,” katanya.
Namun, Encik Ishak percaya dengan lebih kesedaran mengenai program dan sokongan yang ada, ibu bapa akan lebih peka dan ia akan membantu mereka dalam mengeratkan ikatan kekeluargaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg