Kebahagiaan menyelimuti kehidupan pelakon filem, My Stupid Boss, Datin Atikah Suhaime atau nama sebenarnya, Nur Atikah Mohd Suhaime, 33 tahun, yang baru sahaja menyambut kelahiran cahaya mata sulung pada 8 Mac.
Pelakon asal Singapura itu telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 2.9 kilogram secara normal di pusat perubatan Petaling Jaya, Kuala Lumpur, pada 5.17 petang.
Berita gembira itu turut Atikah kongsi melalui beberapa hantaran di Instagram miliknya, dan beliau meluahkan rasa teruja dan tidak menyangka kini sudah bergelar ibu.
Kelahiran anak pertamanya turut disambut meriah keluarga terdekat yang hadir menziarahi Atikah di hospital, menambah lagi keceriaan dalam detik istimewa tersebut.
Sebagaimana yang dilaporkan Atikah kepada Berita Harian Malaysia (BHM), beliau menamakan bayi perempuannya, Lyla Mulan Teh.
Lyla merupakan hasil perkongsian hidupnya bersama usahawan, Datuk Lokman Teh, setelah mendirikan rumah tangga pada Januari 2024.
“Alhamdulillah, saya rasa sangat teruja dan tidak sangka bahawa kini saya sudah mempunyai seorang bayi perempuan.
“Saya juga berasa lega selepas melahirkan anak kerana rasanya seperti sudah lama hamil,” ujarnya.
Terdahulu, Atikah mengumumkan kehamilannya pada September 2024, setelah video mukbang (penstriman yang mengetengahkan seseorang makan dalam jumlah yang banyak sambil berinteraksi dengan penonton), yang dimuat naik memaparkan dirinya kelihatan lebih berisi dan mendapat perhatian netizen.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg