Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Filem ‘Polong’ kupas kisah Mona Fandey

Mar 7, 2025 | 6:04 PM
Pengarah filem aksi Malaysia, Zulkarnain Azhar, berhasrat menghasilkan filem seram pertamanya berjudul, ‘Polong’, setelah menonton filem ‘Dukun’ arahan Dain Said.
Pengarah filem aksi Malaysia, Zulkarnain Azhar, berhasrat menghasilkan filem seram pertamanya berjudul, ‘Polong’, setelah menonton filem ‘Dukun’ arahan Dain Said. - Foto INSTAGRAM ZULKARNAIN AZHAR

Selepas menjayakan beberapa filem aksi seperti, Takluk, Air Force The Movie: Selagi Bernyawa dan J Revolusi, pengarah filem Malaysia, Zulkarnain Azhar, ingin bertukar angin untuk mencuba mengarah filem bergenre seram.

Filem berjudul, Polong, yang terinspirasi daripada kisah Mona Fandey, merupakan terbitan Golden Star Pictures Sendirian Berhad dan menjadi taruhan pertamanya sebagai pengarah filem seram.

Mona Fandey ialah seorang penyanyi pop yang mengamalkan ilmu hitam dan telah menjalani hukuman gantung sampai mati pada 2001. Beliau didapati bersalah dalam kes pembunuhan seorang ahli politik pada 1993.

Menurut Zulkarnain, 43 tahun, beliau berhasrat menghasilkan naskhah seram berkenaan setelah menonton filem, Dukun, arahan Dain Said.

Filem Polong itu mengisahkan tentang Maria Hadi, seorang wanita yang hidup dengan amalan ilmu hitam.

Dibayangi dosa lampau, Maria mencari keampunan semasa akhir hayatnya.

Maria kemudian terpaksa melepaskan polong belaan kepada orang yang tidak sepatutnya.

Akibat itu, polong itu ingin membalas dendam selepas kematian Maria, selain melunaskan sumpah laknat terhadap pewarisnya.

“Saya berkerja di sebuah stesen penyiaran dan bertanggungjawab menjaga salinan cakera video digital (DVD) bagi filem, Dukun, ketika itu.

“Selepas menonton Dukun, timbul inspirasi untuk mengarahkan filem seram. 

“Sejak itu, saya banyak buat kajian mengenai Allahyarhamha Mona Fandey dan menonton filem seram tempatan lain. 

“Saya rasakan banyak perkara tidak dirungkai,” jelas Zulkarnain dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).

Filem Dukun yang diarahkan oleh Dain Said diterbitkan pada 2018.

Namun begitu, sesi penggambaran telah dilakukan seawal 2006.

Berdasarkan hasil kajian, Zulkarnain mendapati banyak kisah terjadi yang tidak diberikan pendedahan secara mendalam kepada penonton.

Dengan itu, ini mendorong Zulkarnain untuk mengupas serba sedikit kes yang tidak dirungkai dalam filem terdahulu menerusi filem Polong.

Polong diinspirasikan daripada beberapa filem seram dan ia adalah kisah benar,” ujarnya.

Dibintangi Mimi Lana, Nadiya Nisaa, Nam Ron, June Lojong (isteri Nam Ron) dan Fad Anuar, Polong bakal diberikan sentuhan tempatan tanpa acuan daripada filem seram Hollywood mahupun Korea Selatan.

Ini kerana, Zulkarnain ingin membawa filem Polong ke persada antarabangsa. 

Lantas, beliau berharap suntikan budaya dapat membantu Polong mendapat perhatian di luar negara.

Bagi Penerbit Eksekutif Golden Star Pictures, Onn Norshal Hamzah, pihaknya memilih cerita seram sebagai projek sulung kerana percaya kemampuan genre tersebut untuk memancing penonton ke pawagam.

“Pemilihan Polong melalui satu proses perbincangan sistematik dengan melihat kekuatan komersil tinggi, selain dijangka mampu memberikan kesan saingan dalam pasaran filem tempatan dan luar negara.

“Dengan kualiti penceritaan, penerbitan dan kuasa pasaran bagi genre seram, kami yakin Polong dapat memberikan kelainan, merangkumi semua aspek penerbitan,” jelasnya.

Penggambaran bagi filem Polong dijadual bermula pada Mei 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg