Gunakan setiap minit berjauhan dengan anak sebaik mungkin.

Itulah yang cuba dilakukan ibu dua anak yang juga atlet jujitsu, Ervika Trinny Kamarol Zaman, setiap kali beliau mengikuti latihan bagi seni mempertahankan diri yang telah lama diceburinya itu.

“Sebelum menjadi ibu, tumpuan saya adalah kepada prestasi dan pingat yang berjaya dikumpul.

“Namun sejak mempunyai anak, saya lebih bijak mengurus masa saya.

“Apabila saya keluar berlatih, saya akan memanfaatkan setiap minit saya berjauhan daripada anak-anak,” kata Ervika, 31 tahun.

“Saya juga memberi tumpuan kepada pemulihan dan merawat kecederaan saya dengan penuh perhatian.

“Ini kerana selepas latihan habis, saya kembali kepada tugas saya sebagai seorang ibu.

“Walaupun cedera, saya perlu tetap melaksanakan tanggungjawab tersebut,” tambahnya, yang mempunyai anak berumur enam dan tiga tahun.

Berkongsi pengalamannya berlatih untuk temasya Sukan SEA pada Disember 2025, Ervika berkata selama enam bulan, beliau menjalani latihan hampir setiap hari, selepas selesai kerja sebagai pegawai bank.

Ini bermakna beliau cuma mempunyai masa bersama anak-anaknya pada waktu pagi, sebelum menghantar mereka ke sekolah.

“Anak sulung saya merajuk apabila saya beritahu saya perlu keluar berlatih. Dia sangat terjejas.

“Saya pun rasa bersalah kerana tidak dapat selalu bersama anak-anak,” ujarnya.

Menurut Ervika, beliau cuba mengatasi masalah kesuntukan masa bersama, dengan membawa anak sulungnya ke latihan jujitsu sementara suaminya menjaga anak kedua mereka.

Namun ketika sedang berlatih ‘sparring’, si kecil memberitahu yang dia mahu membuang air besar.

‘Sparring’ merujuk kepada latihan bertinju dengan menggunakan kawan selatihan sebagai lawan.

“Terpaksalah saya meninggalkan kawan selatihan saya itu dan bawa anak saya ke tandas. Itu satu-satu kalinya saya membawa dia ke sesi latihan saya,” cerita Ervika sambil ketawa.

Semasa Ervika bertanding di Sukan SEA di Thailand, suami dan anak-anaknya turut hadir untuk menyaksikan perlawanan dan memberikan sokongan.

Beliau kembali ke tanah air dengan membawa pulang pingat gangsa, manakala anak-anaknya menimba pengalaman serta pengajaran penuh bermakna.

“Pertandingan bukan sekadar tentang memenangi pingat. Ia turut mengajar kita tentang cara menangani kegagalan dan keberanian.

“Apabila anak-anak melihat saya bertanding, mereka tahu saya juga berasa takut.

“Tetapi saya mahu menunjukkan kepada mereka bahawa kita tetap perlu mencuba, walaupun dalam diri kita ada rasa ketakutan,” ujarnya.

Memandangkan Ervika dan suami menceburi silat sejak kecil, mereka juga mahu anak-anak mereka didedahkan kepada bidang tersebut.

Selain dapat membantu dalam kesihatan tubuh dan minda, Ervika berkata banyak nilai dapat dipelajari daripada sukan itu, seperti disiplin, ketekunan dan kerendahan hati.

Sejak pertengahan 2025, beliau, suaminya dan anak sulungnya, mengikuti latihan silat dalam perguruan sama iaitu Cekak Serantau.

“Memang seronok apabila berada dalam satu pasukan.

“Kami mendorong satu sama lain, dan saya serta suami juga melatih anak kami di rumah apabila kami melihat dia masih belum menguasai pergerakan tertentu,” tambahnya.

Ervika Trinny Kamarol Zaman dan anak sulungnya, Ilka Moenawir (kanan), berlatih silat bersama-sama dalam perguruan sama iaitu Cekak Serantau sejak pertengahan 2025.
Ervika Trinny Kamarol Zaman dan anak sulungnya, Ilka Moenawir (kanan), berlatih silat bersama-sama dalam perguruan sama iaitu Cekak Serantau sejak pertengahan 2025. - Foto ihsan ERVIKA TRINNY KAMAROL ZAMAN

Bagi ibu bapa yang mahu memperkenalkan sukan kepada anak-anak kecil, Ervika berkata mereka perlu terlebih dahulu menunjukkan contoh dengan melakukan sukan itu sendiri.

“Walaupun anda bukan orang yang suka bersukan, ia tetap perlu bermula dari rumah.

“Anda boleh bermain secara fizikal dengan anak-anak anda, atau membawa mereka melakukan kegiatan luar rumah seperti berjalan-jalan dan berbasikal.

“Bagi ibu bapa yang bersukan, mungkin anda boleh membawa anak-anak ke sesi latihan dan dedahkan mereka kepada sukan yang diceburi sejak mereka kecil lagi.

“Ibu bapa boleh dedahkan anak-anak kepada pelbagai jenis sukan untuk mereka teroka apa yang mereka minat,” katanya.

Ervika dan suami serta anak-anaknya akan berada di acara, ‘FunFam SportFest SportSG’ yang dianjurkan sempena Karnival Keluarga Pesta Keluarga Nasional (NFF) di Singapore Expo pada 31 Mei.

Acara itu menawarkan peluang untuk keluarga meluangkan masa bersama dan mengeratkan hubungan melalui sukan dan permainan.