Membawa anak-anak keluar dari pintu rumah untuk ke sekolah tidak semudah yang disangka.

Apabila seorang anak sudah bersedia, seorang lagi tidak dapat mencari kasut, seseorang lagi teringat tentang kerja sekolah yang belum disiapkan, dan seorang lagi mula menangis kerana mahukan lebih banyak sarapan pagi.

Lebih anda tergesa-gesa, lebih banyak perkara tidak diingini berlaku – membuatkan anda benar-benar letih sebelum 9 pagi.

Adakah terdapat cara yang lebih tenang untuk mengharungi waktu pagi bersama anak-anak kecil?

Mengapa waktu pagi rasa begitu sukar?

Menurut kajian, perubahan dari rumah ke sekolah adalah peralihan yang ketara dalam kehidupan kanak-kanak.

Ini kerana ia menggabungkan tuntutan perkembangan, hubungan dan praktikal.

Contohnya, seorang kanak-kanak mungkin sukar untuk beralih daripada tidur kepada keadaan terjaga.

Seorang lagi mungkin sukar meninggalkan atau mencari barang, seperti ingin terus bermain dengan mainan atau sukar mencari botol air mereka.

Pada masa sama, orang dewasa pula banyak bergelut secara mental.

Mereka perlu mengawasi masa, menyelaras tugas, menjangka apakah perkara buruk yang mungkin berlaku, dan menguruskan keseluruhan suasana isi rumah.

Ini dengan cepat boleh bertukar menjadi rasa terdesak.

Gangguan kecil pun boleh memuncak memandangkan semua yang ada perlu berada di sekolah dan tempat kerja tepat pada waktunya.

Kenapa anak tidak buat walau sudah disuruh?

Anda mungkin telah meminta anak memakai stoking sembilan kali.

Dan ia masih belum dilakukan.

Tetapi apakah yang boleh kelihatan seperti “penentangan” atau “ketidakpatuhan” mungkin sebaliknya mencerminkan kemahiran fungsi eksekutif mereka yang sedang berkembang.

Set kemahiran ini termasuk merancang, memberi perhatian dan mengatur.

Contohnya, anak mendengar anda memintanya memakai stoking, tetapi dia terganggu oleh Lego di lantai bilik tidur.

Apabila anda berkata “pakai stoking kamu”, anak perlu mendengar anda, kekal beri tumpuan, menyimpan arahan dalam fikirannya, memikirkan langkah dan mencari barang-barangnya.

Dia perlu beralih daripada bermain kepada memakai stoking dan menguruskan sebarang kekecewaan yang mungkin dirasakan.

Kemahiran fungsi eksekutif berkembang secara bertahap merentasi zaman kanak-kanak dan remaja.

Maka adalah lumrah bagi kanak-kanak untuk bergelut dengan kemahiran ini.

Kurangkan kekecohan pagi

Pagi yang lebih tenang bukan mengenai membetulkan tingkah laku dan sebaliknya lebih kepada mewujudkan keadaan yang betul untuk kanak-kanak melakukan apa yang mereka perlu lakukan.

Anda boleh melakukan ini melalui struktur, sokongan dan interaksi responsif.

Satu cara ialah dengan memastikan peranan orang dewasa bukanlah untuk bertindak balas terhadap semua yang berlaku, sebaliknya mengurangkan beban kognitif dan emosi di dalamnya.

Sediakan apa yang anda boleh pada malam sebelumnya – susun pakaian, siapkan beg dan periksa apakah yang diperlukan.

Ini dapat mengurangkan proses membuat keputusan pada waktu pagi.

Dengan demikian, ia membantu anda menjadi tenang dan responsif pada masa itu.

Rutin yang boleh diramal menyokong perkara ini.

Apabila waktu pagi mengikut urutan biasa, kanak-kanak lebih berupaya menjangka apakah yang akan datang dan bergerak dengan lebih lancar antara tugasan.

Di samping itu, mereka turut mendapat manfaat daripada rasa selamat yang diberikan oleh rutin sedemikian.

Kekal tenang

Tidak kurang pentingnya adalah bagaimana orang dewasa bertindak balas apabila sesuatu tidak berjalan seperti yang dirancang.

Kajian pengawalseliaan bersama mengetengahkan bagaimana kanak-kanak belajar mengurus emosi mereka.

Ini boleh dilakukan melalui interaksi mesra dan responsif dengan orang dewasa yang boleh berkongsi ketenangan mereka dalam saat-saat wujud tekanan.

Menjaga ketenangan, menurunkan nada suara dan mengurus jangkaan boleh membantu meredakan keadaan.

Emosi boleh ‘berjangkit’ dalam keluarga, dan keupayaan orang dewasa mengawal diri adalah penting untuk menyokong kanak-kanak mendapatkan semula ketenangan bagi meneruskan tugas yang sedang dilakukan.

Jadi, daripada menjerit, “Finn, kalau kamu tak pakai stoking dalam masa lima saat, saya akan larang TV selama seminggu!”, cuba memandang muka anak anda, gunakan nada tenang dan berikan arahan jelas dan mudah.

Contohnya, “Finn, saya nampak awak sibuk. Masanya untuk pakai stoking awak. Jom kita buat sama-sama.”

Atau tawarkan bimbingan dan struktur yang lembut: “Pakai stoking dulu, lepas tu kita pergi ambil kasut awak dan pergi ke kereta.”

Beri anak tanggungjawab

Dalam hal ini, terdapat peluang untuk membantu kanak-kanak mengambil inisiatif dan tanggungjawab.

Ini termasuk mengemas beg mereka, menyediakan snek mereka (seperti buah-buahan), dan menyemak senarai ringkas pada malam sebelumnya.

Contohnya – adakah saya sudah menyediakan stoking, botol air dan baju sekolah saya?

Kajian menunjukkan jika ibu bapa menyokong autonomi anak, ia boleh membuat anak lebih berdikari dan bermotivasi.

Dalam erti kata lain, ia menggalakkan kanak-kanak untuk terlibat dengan lebih rela dalam tugasan harian kerana mereka mempunyai suara dalam proses tersebut.

Detik-detik ini juga membolehkan kanak-kanak berasa bangga dengan pencapaian.

Pelukan mesra untuk hari penuh gembira

Di samping struktur, detik-detik kecil yang mengeratkan hubungan adalah penting.

Ritual mudah seperti sarapan istimewa atau ungkapan bersama semasa anda keluar rumah dapat menguatkan ikatan keluarga, dan melembutkan suasana pagi yang sibuk.

Kajian menunjukkan rutin dengan sentuhan meningkatkan kesejahteraan kerana ia bersifat peribadi dan menghubungkan anda antara satu sama lain.

Saat-saat kegembiraan yang kecil pun dapat mengurangkan tekanan masa dan mewujudkan suasana yang lebih tenang.

Dr Fiona Boylan, pensyarah kanan, dan Dr Amelia Ruscoe, pensyarah, di Sekolah Pendidikan, Universiti Edith Cowan. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, laman web yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.